Sultan Azlan Shah bersalaman
dengan rakyat jelata yang menyambut ketibaan baginda untuk menunaikan solat
sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada tahun 2010. - Foto
Ikhwan Munir
Dikenali sebagai Sultan berjiwa
rakyat, kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah pada usia 86 tahun meninggalkan
kesan mendalam dalam setiap hati rakyat negara ini khususnya rakyat Perak.
Negara umpama kehilangan
mutiara berharga kerana baginda banyak menyumbang kepada kemajuan dan
pembangunan negara, khusus dalam bidang perundangan, pendidikan dan sukan.
Ketika hayatnya, Almarhum amat
dikasihi, dihormati dan disanjung rakyat di bawah naungannya terutama di Perak
dan ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong. Baginda sangat dikasihi rakyat kerana
ketokohan, kebijaksanaan, ketulusan hati dan sifat dedikasi sepanjang
memerintah Perak.
Menyusur sejarah hidup baginda,
Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Sultan Perak, susulan kemangkatan Sultan
Idris Shah II pada 3 Februari 1984.
Baginda yang ditabalkan secara
rasmi sebagai Sultan Perak ke-34 pada 9 Disember 1985, di Istana Iskandariah,
Kuala Kangsar, memakai gelaran Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Pelantikan dibuat Dewan Negara
Perak yang bersetuju melantik baginda yang ketika itu bergelar Raja Muda, Raja
Azlan Shah Yussuf Izzuddin Shah.
Yang di-Pertuan Agong ke-9 Pada
1984, Sultan Azlan Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Baginda
kemudian ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-9 pada 1989 untuk tempoh
lima tahun berakhir pada April 1994.
Sepanjang pemerintahan baginda,
Sultan Azlan Shah sangat dikagumi dan dihormati Raja-Raja Melayu dan pemimpin
dalam serta luar negara kerana ketokohannya terutama dalam bidang perundangan.
Ketokohan baginda sebagai
pemerintah terserlah ketika kerajaan Perak dilanda krisis politik pada 2009.
Baginda selaku ketua negeri yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara memainkan
peranan penting dalam penentuan kerajaan negeri dengan memutuskan penukaran
kerajaan daripada pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) tanpa pembubaran
Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam menangani krisis itu,
pengalamannya dalam bidang perundangan membolehkan baginda membuat keputusan
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.
Almarhum yang diputerakan pada
19 April 1928 di Batu Gajah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan
Inggeris di Batu Gajah, sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala
Kangsar (MCKK).
Baginda kemudian meneruskan
pengajian Sarjana Muda Undang-Undang di University of Nottingham, United
Kingdom, sebelum diterima sebagai ahli Lincoln's Inn, London, pada 23 November
1954.
Sekembali dari United Kingdom,
baginda menyertai perkhidmatan kerajaan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan
Negeri Perak, sebelum meneruskan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman dan
perundangan negara.
Hakim Mahkamah Tinggi Malaya
Pada usia 37 tahun, baginda
mencipta sejarah kehakiman negara Komanwel, apabila menjadi individu paling
muda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, mulai 1965 sehingga 1972.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan