CHONG WEI FENG muncul wira
selepas menyumbang mata ketiga buat skuad negara, sekali gus mengesahkan tempat
ke perlawanan akhir untuk bertemu Jepun esok.
MALAYSIA tampil dalam kelas
tersendiri apabila mara ke final Kejohanan Badminton Piala Thomas selepas
menumbangkan Indonesia 3-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium
Siri Fort, New Delhi semalam.
Mereka akan membuat perhitungan
dengan Jepun dalam final di stadium yang sama esok.
Jepun melangkah ke final
selepas melakar kejutan dengan menewaskan China 3-0 dalam satu lagi perlawanan
separuh akhir semalam.
Ini merupakan kemaraan pertama
skuad negara ke final sejak tahun 2002 yang menyaksikan mereka tewas kepada
Indonesia pada kempen yang berlangsung di Guangzhou, China.
Aksi esok akan menjadi
penampilan ke-14 Malaysia di pentas final Piala Thomas.
Daripada jumlah tersebut,
Malaysia sekadar muncul juara lima kali dan tewas lapan kali.
Sejak kali terakhir menewaskan
Indonesia ketika menjuarai Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur, seteru utama itu
dilihat sebagai badi yang sentiasa menyekat laluan Malaysia.
Bagaimanapun, Malaysia sudah
lama tidak bertemu dengan Indonesia pada kejohanan dwitahunan itu sejak kali
terakhir tewas pada suku akhir di Jakarta pada tahun 2004.
Pada aksi separuh akhir
semalam, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi tidak berdepan
masalah untuk mengutip mata pertama skuad negara.
Pemain berusia 31 tahun itu
tampil dengan aksi cemerlang untuk menewaskan Tommy Sugiarto 21-19, 21-13 dalam
masa 52 minit.
Malaysia terus berada dalam
kedudukan selesa apabila gandingan Tan Boon Heong-Hoon Thien How membuat
kejutan selepas menumbangkan beregu No. 1 dunia, Hendra Setiawan- Mohammad
Ahsan 21-19, 8-21, 23-21.
Mata kemenangan Malaysia hadir
menerusi perseorangan kedua, Chong Wei Feng yang sekali lagi menewaskan pemain
yang mempunyai ranking lebih baik daripadanya, Dionysius Hayom Rumbaka 21-10,
21-17.
Biarpun tampil selaku pemain
ke-27 dunia, Wei Feng tidak menunjukkan sebarang kesukaran untuk menumbangkan
pencabar yang berada di ranking No. 19 dunia itu dalam tempoh 43 minit.
Untuk rekod, Malaysia menjuarai
Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992.
KOSMO ONLINE 24.5.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan