Oleh Wan Zulkifli Wan Yaacob dan Radhuan Hussain
pengarang@utusan.com.my
Sultan Mizan Zainal Abidin menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahmad Razif Abdul Rahman dalam Majlis Istiadat Perisytiharan Pelantikan dan Lafaz Sumpah Jawatan Menteri Besar Terengganu di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/HARISH FADZILLAH
KUALA TERENGGANU 12 Mei - Spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang kembali hangat minggu ini, berakhir apabila beliau secara rasmi melepaskan jawatan bagi membolehkan peralihan teraju kepimpinan negeri.
Peralihan kepemimpinan ke arah mengukuhkan lagi jentera kerajaan dan parti itu telah mendapat perkenan pihak istana berasaskan kewajaran langkah tersebut diambil.
Upacara mengangkat sumpah pelantikan penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, 49, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air negeri, diadakan di Istana Syarqiyyah di sini, malam ini.
Walau bagaimanapun, Ahmad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksi mereka berhubung rombakan yang berlaku.
Difahamkan, Ahmad telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya hari ini berkaitan dengan soal peralihan kepimpinan itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja, Datuk Ab. Rauf Yusoh berada di negeri ini hari ini untuk mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di TH Hotel di sini.
Pertemuan itu berlangsung secara tertutup selama tiga jam yang berakhir kira-kira pukul 5.15 petang ini.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, Tengku Adnan berkata, pertemuan tersebut diadakan untuk memaklumkan kepada semua ADUN mengenai pertukaran Menteri Besar.
Menurutnya, semua ADUN memberi maklum balas positif dan menerima peletakan jawatan Ahmad namun beliau tidak memberitahu siapa yang menggantikannya.
Tengku Adnan menjelaskan, dalam pertemuan itu juga, semua ADUN yang hadir akur dengan keputusan Perdana Menteri atas semangat sebuah parti yang bersatu padu.
Difahamkan, peletakan jawatan itu selaras dengan keputusan bersama yang dipersetujui bagi membolehkan Ahmad menyambung tugas selama setahun bagi penggal kedua sebelum melepaskan jawatan yang berakhir pada 11 Mei lalu.
Ahmad menyandang jawatan Menteri Besar pada 2008 setelah mengambil alih teraju kepemimpinan negeri daripada Datuk Seri Idris Jusoh dalam keadaan penuh kontroversi.
RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140513/po_01/Ahmad-Razif-MB-Terengganu#ixzz31XvkOTqD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan