KUALA LUMPUR 6 Mei -
Allahyarham Datuk Aziz Sattar yang meninggal dunia akibat penyakit jantung
disifatkan seorang perunding dan penghibur yang bijak oleh rakan-rakan baiknya.
Menurut Datuk Rosnani Jamil,
78, Allahyarham juga merupakan seorang yang berdedikasi dalam menunaikan
tanggungjawabnya sebagai pemimpin.
"Setiap kali kami pergi membuat
persembahan, Aziz akan bertugas seperti setiausaha. Dia suka sangat memimpin.
Dengan sikap kepimpinan itu juga kami percaya dengannya. Setiap kali hendak
membuat persembahan, dia akan memaksa saya menyanyi. Lagu yang buat saya tidak
pernah melupakan dia adalah Aci-aci Buka Pintu kerana lagu itu sahaja yang saya
tahu memandangkan saya tidak pandai menyanyi.
"Kali terakhir saya
berjumpa dengannya adalah dua minggu lepas. Saya selalu meminta untuk
melawatnya tetapi dilarang. Apabila saya memberitahu saya mahu membawa rendang
daging dan rendang ayam kesukaannya, dia terus menjemput saya ke rumah.
"Satu lagi sikap dia yang
saya puji adalah keyakinannya. Kami sedar, walaupun tidak mempunyai pelajaran
tinggi tetapi kami genggam cita-cita dengan begitu erat dalam mewarnai dunia
seni. Pemergiannya memang membuatkan saya betul-betul sedih dan terkilan,"
katanya ketika ditemui di Surau Al-Amin, Bandar Tun Hussein Onn tempat jenazah
Allahyarham disempurnakan dan disolatkan.
Allahyarham Aziz yang berusia
89 tahun meninggal dunia pukul 2 pagi ini di Pusat Perubatan KPJ Kajang akibat
penyakit jantung dan jenazahnya selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.10 petang
di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana di sini hari
ini.
Tambah Rosnani, arwah
sebenarnya banyak perkara yang hendak dibuat terutama dalam memperjuangkan dan
membela nasib artis-artis veteran.
Sementara itu, Datuk Sarimah
Ahmad, 72, berita tentang kematian Allahyarham yang merupakan sahabat baiknya
memang mengejutkan kerana laporan media mengatakan arwah sudah stabil.
"Saya sungguh tidak
menyangka. Dia akan sentiasa berada di dalam hati dan menjadi ingatan saya
sepanjang hayat. Latar belakangnya sebagai penghibur memang tidak boleh
dinafikan dan sungguh besar sumbangannya kepada kita semua.
"Saya pasti tiada yang
dapat menggantikan sifat komedi semula jadi yang dimiliki. Saya sungguh bangga
mempunyai rakan seperti arwah," katanya.
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140507/dn_08/Aziz-perunding-penghibur-bijak---Rakan-seni#ixzz3114mWEdy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan