Jumaat, 23 Mei 2014

Ke final selepas 12 tahun



Norzie Mohd. Khasbi
Chong Wei Feng meraikan kejayaannya menumpaskan Dionysius Rumbaka dalam perlawanan perseorangan kedua, sekali gus membawa Malaysia ke perlawanan akhir Piala Thomas di New Delhi semalam.- Ihsan The Star
NEW DELHI - Malaysia hadir di New Delhi bersama pasukan yang dianggap paling lemah, namun pemain-pemain negara membuktikan semangat juang tinggi berjaya me­ngatasi segala keraguan dengan me­langkah ke final Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menundukkan juara 13 kali, Indonesia 3-0 malam tadi.

Malah, beberapa jam sebelum perlawanan, keyakinan bahawa peluang untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan gergasi dunia, China 3-0 turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara.

Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun terpaksa mengha­rungi perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan.

Chong Wei dipaksa berhempas pulas di set pertama sebelum menjinakkan Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk menghadiahkan mata semangat buat pasukan negara.

Selepas gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan menentang Denmark di suku akhir, gandingan senior, Boon Heong-Thien How kembali menunjukkan taring dengan mengejutkan juara dunia dan pasa­ngan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21.

Daripada sekadar pemain simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng sekali lagi menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Dionysius Rumbaka 21-10, 21-17.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan