Nadzeri Mustafa disambut oleh
Azlan Man (kiri) selepas berjaya menamatkan jelajah kayak secara solo
mengelilingi Semenanjung Malaysia dalam tempoh dua bulan bagi mempromosi Sukma
Ke-17 di Denai Larian, Pengkalan Asam, Kangar, semalam. - MINGGUAN/Muhamad
Iqbal Rosli
KANGAR 24 Mei - Nadzeri
Mustafa, 50, yang berjaya melakukan kayuhan kayak solo sejauh 2,000 kilometer
bermula dari Tandop Sungai Bugis di sini sejak 25 Mac lalu sehingga ke Danga
Bay, Johor akhirnya selamat tiba di Denai Larian Pengkalan Asam di sini pada
kira-kira pukul 11.30 pagi ini.
Kepulangannya turut disambut
oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.
Nadzeri telah menghabiskan masa
selama 61 hari untuk menempuh lautan di sepanjang Pantai Barat dengan membawa
misi mempromosikan Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis, sokongan terhadap insiden
menimpa pesawat MAS MH370 dan Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM).
Dalam ucapannya, Nadzeri akui
tugasnya itu amat mencabar kerana perlu menempuh segala cabaran di lautan
secara berseorangan.
"Pengalaman berdepan
dengan ribut yang hampir meragut nyawa sesungguhnya amat berharga untuk
menjadikan saya seorang manusia yang lebih tabah," katanya.
Bagaimanapun pengalaman
ditemani oleh empat ekor ikan lumba-lumba ketika bertolak dari Pantai Merdeka
ke Pulau Aman, Pulau Pinang memang meninggalkan kenangan amat manis.
"Pada mulanya hanya dua
ekor yang datang tetapi apabila saya mempelawa supaya membawa kawan lain
rupanya menjadi kenyataan," katanya yang mengakui seronok dihiburkan
dengan telatah ikan lumba-lumba tersebut.
Sementara itu, Azlan
menyifatkan pencapaian Nadzeri ini amat membanggakan Perlis serentak dengan
bermulanya SUKMA.
"Saya berharap ini akan
mendorong atlet SUKMA supaya turut mempunyai semangat juang yang tinggi seperti
Nadzeri ," katanya.
Menurut Azlan, pihaknya juga
bercadang memberikan penghargaan kepada Nadzeri sebagai menghargai sumbangannya
tetapi belum menetapkan dalam bentuk apa.
Azlan juga berharap, anak muda
di negeri ini mencontohi Nadzeri supaya melakukan aktiviti yang sihat seperti
ini.RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140525/dn_11/Kayuhan-kayak-solo-2000-kilometer-tamat#ixzz32g42h1FW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan