Rabu, 28 Mei 2014

Sultan Azlan Shah mangkat

Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my
 
JENAZAH Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang dibawa dari Kuala Lumpur tiba di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, malam tadi. Turut kelihatan terlindung Raja Dr. Nazrin Shah (tengah) dan Tuanku Zara Salim. - BERNAMA
IPOH 28 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah mangkat pada pukul 1.30 tengah hari hari ini pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Kemangkatan baginda yang memerintah Perak selama 30 tahun diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada pukul 3.45 petang melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta seorang putera dan tiga orang puteri.

Zambry berkata, jenazah Sultan Azlan akan disemayamkan di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar esok untuk penghormatan terakhir.

Menurut beliau, bagi pembesar negeri dan orang kenamaan, mereka boleh memberi penghormatan terakhir pada pukul 9 pagi manakala orang ramai pula antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.

"Bagi Ke Bawah Duli Maha Mulia Sultan, raja-raja dan pembesar negara asing pula, tempoh penghormatan terakhir adalah antara pukul 2 hingga 3 petang.

"Jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, esok," katanya.

Zambry turut mengumumkan tempoh perkabungan negeri ini selama 100 hari bermula hari ini dan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut manakala bendera Malaysia pula dikibarkan separuh tiang untuk tujuh hari sahaja.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan.

"Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, esok diisytiharkan sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri Perak.

"Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat. Saya mewakili seluruh rakyat jelata merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah Subhanahuwataala dalam kalangan para Auliya, Syuhada dan solehin," ujarnya.

Di KUALA LUMPUR, jenazah Almarhum dibawa keluar dari IJN ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar menggunakan van jenazah Kementerian Pertahanan pada pukul 5.05 petang.

Turut berangkat mengiringi jenazah Almarhum ialah Tuanku Bainun serta kerabat diraja.

Terdahulu, pada pukul 2.40 petang, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dilihat berada di pekarangan IJN ditemani Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Azlan diputerakan pada 19 April 1928, dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak pada 1 Julai 1983 dan dimasyhurkan sebagai Sultan Perak pada 3 Februari 1984 selepas kemangkatan Sultan Idris Shah.

Almarhum baginda yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara memperoleh pendidikan awal di Government English School, Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah.

Baginda kemudiannya meneruskan pelajaran peringkat menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom.

Pada tahun 1953, baginda mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan seterusnya sah menjadi ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln"s lnn pada 23 November 1954.

Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong yang kesembilan, dilantik pada 26 April 1989 hingga 25 April 1994.

Semasa hayat Almarhum, Sultan Azlan aktif dalam sukan hoki dan memegang pelbagai jawatan penting antaranya Presiden Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Presiden Hoki Asia dan Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140529/dn_01/Sultan-Azlan-Shah-mangkat#ixzz333Uz5a6e © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan