Jumaat, 2 Mei 2014

Muhammad Ziyad pahat sejarah tersendiri

 
 MUHAMMAD ZIYAD semakin meniti puncak kejayaan selepas kejayaannya meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Lyon tahun lalu.

ATLET paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memahat satu lagi sejarah dalam kariernya.

Nama Muhammad Ziyad kini secara rasmi disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) 2014 menerusi Anugerah Pencapaian Sukan Luar Biasa (Individu).

Anugerah tersebut diraih selepas Muhammad Ziyad, 24, muncul sebagai atlet paralimpik pertama negara meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia.

Dia meraih emas acara lontar peluru kategori F20 lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis pada 22 Julai tahun lalu.

"Saya sangat bersyukur apabila diberikan anugerah terbesar ini. Secara jujur, saya langsung tidak menyangka boleh tersenarai dalam MBOR.

"Dengan anugerah ini, saya akan terus berusaha selagi kudrat saya ada dan akan pastikan cita-cita dan sasaran saya tercapai.

"Bagi mereka yang selalu menyokong, saya ucapkan terima kasih," kata Muhammad Ziyad kelmarin.

Atlet elit kelahiran Gombak, Selangor itu menempa nama di bumi Lyon tahun lalu apabila meraih emas dengan lontaran sejauh 15.32 meter (m).

Setahun sebelum itu, Muhammad Ziyad membawa pulang pingat gangsa pada temasya Sukan Paralimpik 2012 di London apabila merekodkan catatan 15.21m.

Pada Sukan Para ASEAN di Myanmar tahun lalu, Muhammad Ziyad meraih dua pingat emas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan