Oleh Nurul Huda Kosnon
Kuala Lumpur: Berlaku fenomena Istiwa Kaabah atau Istiwa A'zam pada jam 5.16 petang ini di mana kedudukan matahari akan bergerak dan berada tepat di atas kaabah.Fenomena itu berlaku dua kali pada setiap tahun iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai tepat jam 5.28 petang.Istiwa Kaabah boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat lain di seluruh dunia.
Ketua Unit Kembara Angkasa, Persatuan Falak Syarie Malaysia, Mohd Razlan Ahmad, berkata kedudukan Kaabah Masjidilharam ketika itu pada kordinat latitud 21 darjah, 25 minit dan 24 saat (utara) manakala longtitud 39 darjah, 49 minit dan 24 saat (timur).
GAMBAR fail
"Jika berada di sana (Masjidilharam), umat islam akan lihat kaabah serta apa saja yang berdiri tegak di persekitarannya seolah tidak ada bayang-bayang dan ketika itu waktu di sana adalah sekitar jam 12.16 tengahari."Jika di Malaysia pandang ke arah matahari, bermakna sedang menghadap tepat ke arah kiblat," katanya.
Katanya, cara untuk tentukan kedudukan adalah dengan menggunakan bayang-bayang tiang atau dinding bangunan serta apa saja benda tegak 90 darjah sebagai panduan.
"Umat Islam perlu mengambil peluang ini dan memanfaatkan kejadian yang menunjukkan kebesaran tuhan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad berkata, Istiwa Kaabah berlaku disebabkan laluan peredaran matahari pada dua waktu ini setiap tahun di mana akan melalui tepat garisan Kaabah.
"Tidak timbul dakwaan sama ada arah kiblat berbeza atau sebagainya.
"Penggunaan kompas sering digunakan untuk menentukan arah kiblat dan kadang kala berlaku ketidaktepatan menentukan arah itu disebabkan tarikan magnet kompas itu sendiri.
"Begitu juga arah kiblat di masjid apabila berlaku kekeliruan arah kiblat. Pembinaan sebuah masjid adalah berdasarkan batu sempadan masjid yang kadangkala tidak begitu tepat bagi menentukan arah kiblat," katanya.
Katanya, fenomena Istiwa Kaabah dimanfaatkan untuk umat Islam menyemak dan menentukan kedudukan arah kiblat berdasarkan tiang, bangunan dan sebagainya.
RUJUKAN-Artikel ini disiarkanMy Metro pada : 2014/05/28
Tiada ulasan:
Catat Ulasan