Oleh SOPI SAMAILE, SHAHRUL NOOR
ISHAK,
MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan
DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
NAUNGAN diraja di bumi Darul
Ridzuan dan harapan rakyat nyata terlihat kesinambungannya apabila Almarhum
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuff Izzuddin Shah diputerakan
pada 19 April 1928 di Batu Gajah, Perak.
Putera kedua Almarhum Sultan
Yussuff Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Muhtaram Shah
dan Yang Teramat Mulia Toh Puan Besar Hatijah Datuk Setia Wangsa Ahmad itu
digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang manja dengan sanak saudaranya.
Almarhum Sultan Azlan Shah
dibesarkan di Batu Gajah dan menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris
Kerajaan Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan
Sultan Yussuff.
Sewaktu kecil, bondanya
memanggil Almarhum baginda dengan nama manja, Lan. Saudara terdekat pula
memanggil Almarhum dengan nama Raja Lan atau Ku Cik.
Almarhum gemar berlumba basikal
selepas waktu persekolahan. Usai penat bermain hoki bersama kawan-kawan pada
waktu petang, Almarhum akan pergi ke rumah sepupu atau ibu saudaranya untuk
makan makanan kegemarannya iaitu kue tiau goreng.
Walaupun berketurunan raja,
Almarhum dibesarkan dalam persekitaran masyarakat orang kebanyakan.
Persekitaran itu memberi peluang kepada Almarhum untuk mematangkan diri melalui
kehidupan di luar sangkar emas.
Almarhum Sultan Azlan Shah
merupakan seorang pelajar yang aktif dan cergas sewaktu zaman persekolahan.
Almarhum merupakan seorang pelari pecut acara 100 ela (91 meter), 200 ela (183
meter) dan lari berganti-ganti.
Pada tahun 1948 hingga 1950,
Almarhum terpilih mewakili Pasukan Melayu Perak dan negeri Perak dalam permainan
hoki. Dengan bentuk tubuh yang kecil, Almarhum bermain di posisi penyerang
tengah kerana kemampuannya berlari pantas.
ALMARHUM Sultan Azlan Shah dan
Raja Permaisuri, Tuanku Bainun semasa pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong
pada tahun 28 April 1989.
Selain cemerlang dalam arena
sukan, Almarhum juga diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai
ketua pengawas untuk memimpin pelajar di Sekolah Inggeris Kerajaan Batu Gajah
pada tahun 1948.
Almarhum mengambil peperiksaan
Senior Cambridge untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar
selama setahun untuk melayakkan diri ke peringkat universiti. Ketika itu,
ayahanda Almarhum telah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-32 pada 31 Mac
1948.
Sewaktu menuntut di Maktab
Melayu Kuala Kangsar, Almarhum mengikuti kursus khas dalam dua mata pelajaran
iaitu sastera Inggeris dan bahasa Latin. Kedua-dua mata pelajaran itu merupakan
persediaan awal untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di
England.
Sejurus tamat pengajian di
Maktab Melayu Kuala Kangsar, Almarhum meninggalkan tanah air pada 31 Disember
1950 untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di University of
Nottingham, England.
Sewaktu pengajian, Almarhum dan
sukan hoki bagai tidak dapat dipisahkan. Sultan Azlan Shah bermain hoki untuk
pasukan universiti dan daerah Nottingham. Almarhum merupakan satu-satunya
pemain hoki yang bukan berkulit putih menerima pingat emas ketika peringkat
universiti.
Tamat pengajian
Tiga tahun bertungkus lumus,
Almarhum akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang ketika
berusia 25 tahun. Pada bulan November 1954, Almarhum diterima masuk ke Badan
Peguam Inggeris The Honourable Society of Lincoln’s Inn, London setelah melalui
satu ujian.
Selama empat tahun Almarhum
Sultan Azlan Shah berada di luar negara, pelbagai perkara yang dipelajarinya.
Melalui pergaulan dengan masyarakat Inggeris, Almarhum turut mempelajari
nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka seperti mementingkan kebersihan,
menghargai masa dan ketepatan waktu.
ALMARHUM Sultan Azlan Shah
bergambar bersama keluarga semasa istiadat mengangkat sumpah sebagai Paduka
Seri Sultan Perak yang ke-34 pada 31 Januari 1984.
Selepas menamatkan pengajian di
University of Notthingham, Almarhum Sultan Azlan Shah kembali ke tanah air dan
memulakan kerjayanya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai Penolong
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh pada tahun 1954.
Tidak sampai setahun berkhidmat
di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Almarhum memilih untuk memasuki bidang
perkhidmatan yang menepati kelulusan akademiknya iaitu bidang perundangan dan
kehakiman.
Bermula saat itu, Almarhum
telah bertukar ke Kuala Lumpur lalu dilantik sebagai majistret kelas pertama
bermula tahun 1955 hingga 1956.
Rekod cemerlang
Kematangan dan kecekapan
Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kerjaya semakin menyerlah. Almarhum dilantik
memegang jawatan penting iaitu sebagai Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
antara tahun 1962 hingga 1963.
Pada tahun 1963, Almarhum
Sultan Azlan Shah dinaikkan pangkat dan bertukar jawatan sebagai Ketua
Pendaftar Mahkamah Persekutuan sehingga tahun 1965 dan ketika itu, Ketua Hakim
Negara yang pertama ialah Tun Sir James Thomson.
Thomson melahirkan rasa kagum
dengan rekod cemerlang, kebolehan dan kearifan Almarhum Sultan Azlan Shah serta
yakin baginda mempunyai potensi dan peluang untuk menduduki tangga yang paling
tinggi dalam institusi kehakiman.
Dengan keyakinan itulah,
Thomson mencadangkan supaya Almarhum Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Hakim
Mahkamah Tinggi Tanah Melayu pada tahun 1965 ketika usia baginda 37 tahun.
Almarhum Sultan Azlan Shah
terus mendaki tangga kerjaya apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan
Tanah Melayu pada tahun 1979 sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang
kelima pada tahun 1982.
Setahun kemudian iaitu pada
Julai 1983, Almarhum Sultan Azlan Shah telah dilantik sebagai Raja Muda Perak.
Dua tahun kemudian, selepas
Sultan Idris Iskandar Shah mangkat pada 31 Januari 1984, Dewan Negara telah
bersetuju melantik Almarhum yang ketika itu Raja Muda Azlan Shah sebagai Sultan
Perak ke-34.
ALMARHUM Sultan Azlan Shah dan
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berangkat meninggalkan Istana Iskandariah
selepas Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir
pada 6 Februari 2009.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja
Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur telah berkenan melantik baginda sebagai
Duli Yang Maha Mulia Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 26 April
1984.
Pada 26 April 1989 pula,
Almarhum Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kesembilan.
Dalam pada itu, Almarhum Sultan
Azlan Shah mempunyai perawakan yang peramah dan disenangi ramai, ditambah pula
dengan minatnya dalam bidang sukan menjadikan Almarhum seorang yang popular
serta mempunyai ramai kenalan.
Semasa menjadi hakim, Almarhum
Sultan Azlan seorang yang serius dan begitu teliti mendengar hujah-hujah yang
disampaikan, manakala dalam keadaan biasa, Almarhum suka berjenaka dan
mendengar cerita kawan-kawannya.
Bagi yang pernah menghadap
Almarhum, mereka berasa selesa dan tenang apabila berhadapan dengan Almarhum.
Sebagai Sultan Perak, Almarhum
Sultan Azlan Shah merupakan ketua hal-ehwal agama Islam bagi negeri itu dan
Almarhum menolak sebarang gerakan pelampau agama yang memecahbelahkan perpaduan
ummah.
Almarhum mahu melihat
perkembangan Islam yang sederhana, penuh toleransi dan umat Islam menjadi
ikutan kepada orang bukan Islam.
Rujukan-http://www.kosmo.com.my/kosmo/29.5.2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan