Khamis, 3 Disember 2015

Ratusan kesan tapak kaki dinosaur dijumpai di Scotland


 

Ratusan kesan tapak kaki dinosaur dijumpai di Scotland
03 Disember 2015 12:23 AM
Sauropod adalah antara jenis dinosaur yang dipercayai pernah hidup di Pulau Syke, Scotland. AGENSI

EDINBURGH 2 Dis. – Ratusan kesan tapak kaki dinosaur pelbagai jenis termasuk haiwan gergasi Sauropod yang mempunyai ukuran panjang hampir 15 meter ditemukan di Pulau Skye, Scotland, baru-baru ini.
Penemuan itu dapat membantu kajian saintis dalam membuktikan dinosaur pernah hidup di Scotland lebih 170 juta tahun lalu.
Lokasi penemuan itu digelar sebagai ‘disko dinosaur’ oleh penyelidik kerana penemuan pelbagai jenis tapak kaki haiwan prasejarah dengan beberapa jejak berkenaan dilaporkan berukuran diameter sehingga 70 sentimeter.
Bagaimanapun, saintis tidak mahu mendedahkan lokasi sebenar penemuan berkenaan yang merupakan lokasi tapak kaki dinosaur terbesar pernah ditemukan di negara ini bagi mengelak kunjungan orang ramai yang boleh menjejaskan tempat tersebut.
Mail Online melaporkan, pe­nemuan oleh pasukan dari Universiti Edinburgh itu dibuat semasa kerjasama lapangan dengan Muzium Staffin di Pulau Skye serta beberapa institusi Scotland lain.
Ketua kajian itu, Dr. Steve Brusatte dari Universiti Edinburgh berkata, jejak baharu itu merupakan satu daripada penemuan luar biasa di Scotland.
“Terlalu banyak jejak yang melintasi antara satu sama lain di celah-celah batu,’’ kata Brusatte.
Penemuan itu membantu saintis dalam penyelidikan evolusi haiwan-haiwan besar, haiwan berleher panjang serta dinosaur yang diandaikan menghabiskan lebih banyak masa di pantai berbanding tanggapan sebelum ini.
Menurut saintis, mereka mengesan jejak Sauropod, haiwan prasejarah pemakan tumbuh-tumbuhan di dalam lapisan batu ketika air cetek di lagun air masin.
Bagaimanapun, saintis tidak pasti jenis sebenar dinosaur di Pulau Skye, namun mengetahui haiwan berkenaan boleh membesar sehingga 15 meter panjang dan mempunyai berat lebih 10 tan.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ratusan-kesan-tapak-kaki-dinosaur-dijumpai-di-scotland-1.164786#sthash.GiBG0OLs.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan