SABTU, 12 DISEMBER 2015 @ 10:02
AM
Hang Tuah wujud, bukti melalui
dokumen
Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my
HANG Tuah wujud dan
kewujudannya dapat dibuktikan melalui dokumen primer selain disokong dokumen
sekunder.
KUALA LUMPUR: Hang Tuah wujud
dan kewujudannya dapat dibuktikan melalui dokumen primer selain disokong
dokumen sekunder sekali gus menolak pendapat yang menyebut Hang Tuah hanyalah
watak fiksyen yang diceduk dari Hikayat Hang Tuah dan dimasukkan dalam Sejarah
Melayu.
Profesor Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof
Emeritus Dr Hashim Musa berkata, beliau berpegang kepada data primer yang
diterimanya daripada Kerajaan Ryukyu di Jepun (kini Okinawa) iaitu dokumen
rasminya Rekidai Hoan yang menyebut tentang surat yang ditulis laksamana bagi
pihak Sultan Melaka ketika itu, Sultan Alaudin Riayat Shah selain catatan
pengembaraan Alfonso de Albuquerque yang juga menyebut tentang seseorang yang
dirujuk sebagai laksamana.
Semalam Karyawan Tamu Jabatan Sejarah
Universiti Malaya, Prof Emeritus Dr Ahmat Adam dalam satu seminar anjuran
jabatan berkenaan menyebut Hang Tuah tidak wujud sebaliknya hanyalah watak
fiksyen kesusasteraan Melayu.
"Itu pendapat beliau. Kami tetap
berpegang kepada data primer selain data sekunder yang diambil dari teks
Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat al Nafis yang menyaksikan nama Hang Tuah disebut sekali gus
menolak dakwaan Ahmat sebelum ini yang mendakwa nama Hang Tuah hanya disebut
pada hujung abad ke-17 dalam Hikayat Acheh.
"Catatan pada tahun 1480
dan 1481 yang menyebut tentang Laksamana berada di Ryukyu bersamaan dengan masa
Hang Tuah berkhidmat dengan Sultan Alauddin Riayat Syah yang baru naik takhta
semasa masih kanak-kanak sama seperti
yang disebut dalam teks Sejarah Melayu.
"Oleh itu laksamana yang
disebut dalam dokumen Ryukyu itu tidak lain daripada Hang Tuah," katanya.
Tambah Hashim, perkataan tuah juga sudah wujud dalam bahasa Melayu sejak 2000
tahun lalu iaitu dalam bahasa Maori, satu daripada rumpun Melayu Polinesia yang
mana merekodkan perkataan tua, tuha dan tuah. Semalam, Ahmat dalam Seminar
Sejarah anjuran Jabatan Sejarah UM juga
menyebut kegagalan penyelidik membaca tulisan jawi menyebabkan munculnya
perkataan tuah sedangkan huruf jawi ta wau ha yang tertulis dalam kebanyakan
manuskrip Melayu lama membawa maksud tuha atau toh.
Mengulas mengenai dakwaan itu
Hashim berkata, dalam naskhah Hikayat Hang Tuah oleh Tun Kola yang masih belum
dirumikan dan disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Hang Tuah dieja dengan huruf Jawi ta wau ha yang
oleh dilafazkan tuha atau tuah, sekali gus tidak timbul persoalan kegagalan
membaca tulisan jawi dengan betul.
"Pegangan kami laksamana
seperti yang tercatat dalam data dari Ryukyu dan juga catatan Alfonso de
Alburqueque merujuk kepada Laksamana Hang Tuah seperti juga disimpulkan
oleh pengkaji Jepun," katanya. Sementara itu, seorang lagi penyelidik dari
UPM Dr Rohaidah Kamaruddin berkata, pandangan Prof Ahmat Adam adalah pandangan
yang disorot dari sudut linguistik yang tidak pula bermaksud beliau tidak
bersetuju dengan Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu sebaliknya tidak
bersetuju dengan kata nama Tuah sahaja.
"Prof Ahmat bukankah
menolak Hikayat Hang Tuah atau Sejarah Melayu tetapi menolak nama Hang Tuah
dari sudut linguistiknya sahaja.
"Sebagai penyelidik beliau berpendapat kami perlu mencari maklumat
daripada sumber yang lain pula," katanya. DISYORKAN
Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/104347
Tiada ulasan:
Catat Ulasan