SUFIAN HADI SOJAK | 19 Disember 2015 12:05 AM
M. SARAVANAN (enam dari kiri) dan Tunku Imran Tuanku Jaafar (tujuh dari kiri) bersama penerima anugerah Dewan Kemasyhuran MOM dalam majlis di Kuala Lumpur kelmarin.
KUALA LUMPUR – Pemegang rekod 100 meter kebangsaan paling lama Tan Sri Dr. M. Jegathesan dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, manakala empat skuad juara Piala Thomas melengkapkan 13 nama untuk diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2015.
Pengiktirafan tertinggi kepada penggiat sukan tempatan itu diberikan dalam majlis Anugerah dan Makan Malam MOM yang berlangsung di ibu negara malam semalam sebagai penghargaan di atas sumbangan besar mereka.
Jegathesan, yang diberi jolokan The Flying Doctor pernah menjadi pelari terpantas Asia dan memegang rekod kebangsaan acara 100m dengan masa 10.38 saat pada 1966 yang hanya dipecahkan oleh Watson Nyambek dalam Sukan Malaysia (Sukma) 1996 di Kuantan, Pahang dengan catatan 10.31 saat.
“Saya rasa sungguh terharu kerana pengiktirafan ini merupakan sesuatu yang baharu. Ini agak memeranjatkan saya sebab MOM mengadakan anugerah ini dan memilih saya sebagai penerima pertamanya. Saya menyertai bidang sukan sejak sekian lama.
“Ini adalah satu tanda ingatan untuk saya sepanjang memainkan peranan dalam MOM, iaitu sebagai atlet, ketua kontinjen, doktor pasukan dan wakil dalam pelbagai badan antarabangsa,” kata Jegathesan yang juga individu pertama menerima anugerah Olahragawan Negara pada 1966.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan menyampaikan anugerah dalam majlis itu, yang turut dihadiri Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.
Sementara itu, skuad juara Piala Thomas pada 1952, 1955, 1967 dan 1992 adalah antara yang dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran.
Bekas pemain perseorangan dan bekas jurulatih kebangsaan Rashid Sidek, yang membantu negara meraih kembali Piala Thomas pada 1992, menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan tertinggi.
“Saya rasa bangga dengan penghormatan sebegini. Kami satu pasukan sudah tentu berasa amat gembira. Sebelum ini saya pernah dapat anugerah menerusi pencapaian individu. Kali ini kelainannya saya menerima anugerah secara berpasukan.
“Pencapaian tersebut hadir daripada semangat dan kerjasama berpasukan. Kalau tanpa (sumbangan) ahli pasukan lain tentu sukar untuk meraih kemenangan,” katanya.
Selain Rashid, skuad itu turut dibarisi tiga abangnya iaitu Razif, Jalani dan Rahman. Skuad yang menumpaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Negara itu turut dianggotai oleh Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng, Cheah Soon Kit, Soo Beng Kiang serta Wong Ewe Mun.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/jegathesan-penerima-pertama-8232-anugerah-pencapaian-sepanjang-hayat-1.170363#sthash.9Q1x3Q3e.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan