Selasa, 29 Disember 2015

UEM TANDATANGANI PERJANJIAN DENGAN JKR UNTUK PEMBINAAN LEBUHRAYA UTARA-SELATAN

Menyediakan kemudahan prasarana di negara ini merupakan tanggungjawab Kerajaan kepada rakyat. Bagi mempercepatkan proses penyediaan kemudahan ini pihak Kerajaan menjalankan dasar pengswastaan terutamanya yang melibatkan kos yang tinggi serta jangkaan keuntungan yang memakan jangka masa yang panjang.

Salah satu syarikat awal yang terlibat dalam usaha-usaha pembinaan lebuhraya di Malaysia ialah United Engineers (M) Sdn. Bhd. syarikat yang bertanggungjawab membina lebuhraya Utara-Selatan daripada Bukit Kayu Hitam, Kedah ke Johor Bharu, Johor. Bagi melaksanakan projek ini di peringkat kedua, satu perjanjian surat hasrat telah ditandatangani di Kuala Lumpur pada 29 Disember 1986. Laluan di peringkat kedua ini melibatkan jarak sepanjang 504 km dengan kos sebanyak RM3400 juta dan dijangka siap pada tahun 1992. Pada majlis tersebut Kerajaan diwakili oleh Datuk Samy Vellu, manakala United Engineers diwakili oleh Naib Pengerusi Eksekutif Encik Halim Saad.

Peringkat pertama lebuhraya ini yang bernilai RM2100 juta menghubungkan Changkat Jering ke Ipoh dan Senawang ke Air Keroh, Melaka siap pada Mei 1987 iaitu sepanjang 400 kilometer. Pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan telah berjaya mewujudkan lebuhraya yang terpanjang di Malaysia dan telah memberi kemudahan pengangkutan yang paling baik dan selesa kepada penduduk di negara ini.

Sumber- http://hids.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan