Rabu, 30 Disember 2015

Mahu Britain pulangkan berlian

London: Satu kumpulan termasuk seorang ahli perniagaan India dan aktres Bollywood akan memfailkan tuntutan untuk memaksa Britain mengembalikan berlian Koh-i-Noor, antara berlian terbesar di dunia yang menghiasi mahkota Ratu Elizabeth II kepada India.
Peguam Satish Jakhu berkata, pihaknya diarahkan memulakan prosiding di Mahkamah Tinggi di England, serentak dengan lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke Britain, minggu ini.
Kumpulan itu yang menggelar diri mereka ‘Gunung Bercahaya’ - iaitu tafsiran nama permata berkenaan - juga bercadang membawa kes berkenaan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague.
Permata 105 karat itu dikatakan satu daripada artifak yang diambil dari India dalam keadaan yang meragukan dan dipersembahkan kepada Ratu Victoria pada 1850 selepas Perang Anglo-Sikh yang melihat Britain menguasai Punjab. Ia dianggarkan bernilai £100 juta (RM662 juta).
Ia juga dipercayai hanya boleh digunakan wanita dan membawa nasib balang jika lelaki memakainya.
Hari ini, ia menghiasi mahkota dipakai Ratu Elizabeth dalam kapasitinya sebagai pemimpin berdaulat bererti dia hanya boleh memulangkannya jika kerajaan Britain bersetuju.
Bagaimanapun, Perdana Menteri David Cameron sebelum ini menggambarkan tidak bersetuju berlian itu dipulangkan.
Sementara itu, pelakon Bollywood Bhumicka Singh berkata: “Batu itu sebahagian daripada sejarah dan budaya kita. Ia mesti dikembalikan.” - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 9:56 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/92154#sthash.BUjymxyx.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan