Isnin, 7 Disember 2015

Yang terpanjang dan tertinggi


Pembinaan jambatan kaca terpanjang dan tertinggi di dunia siap dibina di Zhangjiajie, wilayah Hunan, tengah China, apabila pekerja ‘berani mati’ yang membina jambatan sepanjang 375 meter dan tergantung 300 meter itu menyambung dek keluli terakhirnya minggu lalu.

Jambatan yang terletak di Taman Hutan Negara Tianmenshan itu menelan belanja sebanyak 26 juta yuan (RM16 juta) dan mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan.

Ia mengatasi laluan pejalan kaki di Gand Canyon, Arizona, Amerika Syarikat yang setinggi 220 meter.

Walaupun jambatan yang direka arkitek Israel, Haim Dotan itu sudah siap, ia hanya akan dibuka kepada orang ramai pada Mei 2016.



Rancangan membina jambatan kaca di Zhangjiajie itu pertama kali diumumkan pada 2012.

Bagaimanapun, kerja membinanya hanya dimulakan pada November 2014.

Ia mulanya dirancang untuk disiapkan pada Julai dan dibuka kepada orang ramai pada Oktober.

Namun, kerana beberapa masalah, ia terpaksa ditunda.

Seorang pereka yang terbabit dalam pembinaan itu, Wan Tianbao berkata, kerana kedudukan jambatan itu, ia direka khusus dengan penggantung yang baik.

“Apabila ramai orang berjalan di atasnya, ia mudah bergoyang, menyebabkan struktur jambatan itu terjejas kelak. Bagi mengelakan kejadian itu, kami meletakkan beberapa bebola kaca besar pada dek untuk menghalang getaran. Berat setiap bebola itu kira-kira 400 kilogram dan diletakkan secara tidak sekata untuk menahan getaran,” katanya.

Jambatan yang menghubungkan tebing curam di Zhangjiajie itu boleh menampung 800 pelancong pada satu masa.

Hanya mereka yang berani menamatkan perjalanan merentasi jambatan itu berpeluang menikmati pemandangan menakjubkan sekitar taman negara itu.

Bukan setakat berjalan merentasi jambatan kaca, pengunjung juga dilapor boleh melakukan terjunan bungee di situ.

Selain itu, terdapat juga rancangan untuk mengadakan pertujukan fesyen di sepanjang jambatan kaca yang hanya enam meter lebar itu.

Semakin banyak laluan pejalan kaki kaca dibina di China ketika ini kerana ia antara cara pihak berkuasa tempatan menarik lebih ramai pelancong mengunjungi kawasan yang mempunyai keindahan alam semula jadi.

Bagaimanapun, peraturan kesihatan dan keselamatan menjadi perhatian baru-baru ini.

Hanya beberapa bulan lalu, beberapa pelancong menjerit ketakutan apabila dua panel kaca retak ketika mereka melaluinya di jambatan kaca di Gunung Yuntai, juga di wilayah Henan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:00 AM

SATU lagi imej yang direka menggunakan komputer.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/98329#sthash.EA4dSpSj.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan