Rabu, 30 Disember 2015

Anak Terengganu pertama masuk Oxford

ROSALINDA MD. SAID   29 Disember 2015 1:19 AM
MOHD. FIRDAUS (tengah) bersama ibu bapanya, Samsudin @ Mustapha
MOHD. FIRDAUS (tengah) bersama ibu bapanya, Samsudin @ Mustapha
MOHD. FIRDAUS (tengah) bersama ibu bapanya, Samsudin @ Mustapha Mamat dan Rohani Long Ahmad dalam majlis Penganugerahan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin. Utusan/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU 28 Dis. - Mohd. Firdaus Samsudin @ Mustapha, 27, anak Terengganu pertama yang ditawarkan tempat di salah sebuah universiti paling berprestij di dunia, Universiti Oxford, kini bergelar Doktor selepas menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Biokimia.
Beliau yang berasal dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu bakal memulakan tugas sebagai Felo Penyelidik Kimia di University of Southampton, United Kingdom pada 1 Februari tahun hadapan.
Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat kebangsaan pada 2005 itu dijangka menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan ubat-ubatan baharu bagi menangani jangkitan bakteria Psuedomonas yang biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang berada di hospital dan mempunyai sistem imunisasi lemah.
“Saya ditawarkan pekerjaan di sana (University of Southampton) dan dalam masa sama akan men­yertai kumpulan penyelidik lain untuk menghasilkan antibiotik khusus yang pertama seumpamanya di dunia bagi menghalang jangkitan kuman di hospital.
“Dengan pengalaman yang diperoleh kelak, insya-Allah akan diaplikasikan untuk berkhidmat di Terengganu pada masa hadapan. Kejayaan saya adalah untuk semua dan saya akan terus menjaga nama baik keluarga, rakyat Terengganu dan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penganugerahan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) Ke-17 yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini semalam.
Dalam majlis itu, Mohd. Firdaus turut meraih Anugerah Khas YT selepas berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dari peringkat sarjana selama dua tahun di Universiti Oxford dan seterusnya sehingga ke peringkat PhD di universiti sama.
Bekas pelajar tajaan YT itu menerima ganjaran berjumlah RM5,000, seunit komputer riba dan sijil penghargaan dalam majlis yang turut disaksikan oleh bapanya, Samsudin @ Mustapha Mamat, 65, dan ibunya, Rohani Long Ahmad, 58.
Mohd. Firdaus, anak kedua daripada empat beradik kepada pesara kerajaan dan guru tadika itu bercita-cita menjadi seorang saintis dan berazam untuk memenangi Anugerah Nobel pada masa depan.
Beliau turut berterima kasih dan menghargai segala sumbangan kerajaan negeri termasuk tajaan YT sepanjang pengajiannya di United Kingdom yang melancarkan lagi proses pengajiannya.
“Semua orang boleh berjaya menggapai cita-cita dan apa yang paling penting selaku pelajar tentunya fokus adalah terhadap pelajaran," katanya.
Terdahulu, kejayaan Mohd. Firdaus membuat kajian mengenai penyerapan ubat yang lebih cepat ke dalam sel badan menyebabkan Universiti Oxford menawarkannya tempat untuk mengikuti pengajian peringkat PhD.
Selepas memperoleh ijazah kelas pertama di Imperial College of London dan baru setahun mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti Oxford, beliau terus ditawarkan pengajian doktor falsafah.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/anak-terengganu-pertama-masuk-oxford-1.174010#sthash.sNl0N6z9.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan