Khamis, 31 Disember 2015

Penyabong, tempat persinggahan lanun

25 Disember 2015 6:20 PM 
DI atas batu besar inilah kumpulan lanun gemar menyabung ayam sehingga timbulnya nama Penyabong.
KISAH di Mersing juga berkait rapat dengan kewujudan sebuah perkampungan nelayan yang dinamakan Penyabong. Perkampungan ini terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Mersing dan lima kilometer dari pekan Endau.
Penyabong terkenal dengan pantai Pasir Lanun yang mempunyai kisah di sebalik namanya. Menurut cerita orang kampung, asal nama Penyabong timbul ketika kumpulan lanun di Laut China Selatan pada kurun ke-19 menjadikan kawasan di situ sebagai tempat persinggahan mereka.
Laut China Selatan ketika itu merupakan laluan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan dari Pantai Timur ke Singapura serta dari China.
Maka lanun-lanun yang berada di sekitar laluan itu sering menjadikan pantai di sekitar Mersing sebagai tempat perlindungan dan mengatur strategi serangan ke atas kapal-kapal pedagang. Bagi mengisi masa lapang, kumpulan lanun itu sering mengadakan aktiviti sabung ayam.
Kerana itu, pantai itu akhirnya diberi nama Penyabong. Malah, terdapat sebuah batu besar di tepi pantai Penyabong yang dikatakan menjadi tempat lanun-lanun itu bermain sabung ayam. Batu itu masih wujud sehingga ke hari ini.
Menurut Ketua Kampung Mukim Penyabong, Wan Azman Wan Jusoh, pantai Pasir Lanun yang terletak di Kampung Penyabong itu pula mendapat nama apabila kawasan itu sering menjadi tumpuan lanun-lanun dari sekitar Laut China Selatan untuk berehat.
“Pernah terjadi pergaduhan antara kumpulan-kumpulan lanun yang singgah di Penyabong. Mereka berebut untuk mengambil bekalan air sehingga menyebabkan pergaduhan berlaku. Malah, peperangan antara lanun dan kapal-kapal pedagang juga pernah berlaku di sini,” katanya kepada S2.
Wan Azman berkata, Penyabong asalnya dihuni oleh beberapa nelayan yang menjadikan tempat itu sebagai pangkalan untuk menangkap ikan sejak dahulu lagi. Sehingga ke hari ini, aktiviti nelayan dan menangkap merupakan hasil pendapatan utama bagi penduduk di situ.
“Ketika Penyabong mula dihuni, terdapat beberapa lagi kampung yang wujud berdekatan seperti Tanjung Resang, Teluk Sari dan Kampung Sisik. Kesemuanya mempunyai kisah tersendiri bagaimana ia mula diduduki,” katanya.
Katanya, menurut cerita orang-orang tua, Tanjung Resang dibuka oleh seorang individu yang berasal dari Terengganu dikenali sebagai Pak Lah. Ketika itu katanya, Pak Lah yang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan perahu payang singgah di suatu kawasan untuk berlindung daripada ribut.
“Pada masa itu, dia berteduh di bawah pokok Resam. Kebetulan, kawasan itu merupakan sebuah tanjung. Jadi, mengikut loghat Terengganu, dia memanggil tempat itu Tanjung Resang,” katanya.
Kemudian, tempat itu mula didatangi orang-orang berasal dari Terengganu yang terus menetap di situ. Manakala, asal kewujudan Kampung Sisik pula diambil sempena seekor Penyu Sisik yang mendarat di pantai dekat situ untuk bertelur.
Menurut cerita juga, kewujudan Teluk Sari pula ekoran kisah bagaimana seseorang perlu mengambil masa sehari suntuk dan bermalam di situ sebelum sampai ke destinasi sama ada ke Mersing atau Endau.
Katanya, kini, aktiviti pelancongan menjadi tarikan utama di Penyabong apabila semakin banyak chalet-chalet dan resort yang menarik dibuka dan ditawar pada harga berpatutan, selain wujudnya perusahaan kecil dan sederhana memproses makanan laut dan juga gerai-gerai makanan tradisi masyarakat setempat seperti nasi dagang, keropok lekor, sata, kuih-muih dan banyak lagi.
Selain itu, kata Wan Azman, ada juga penduduk tempatan mengusahakan kelong di pesisir pantai Penyabong. Terdapat beberapa pulau berdekatan Penyabong antaranya Pulau Acheh, Pelandok dan Pulau Tengah.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/penyabong-tempat-persinggahan-lanun-1.172817#sthash.cetCcJpT.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan