Khamis, 17 Disember 2015

Hubungan diplomatik antara Melaka-Jepun

Oleh FARID AHMAD TARMIJI
Foto MD. SHAHJEHAN MAAMIN
Hashim (kanan) berbincang dengan Rohaidah mengenai catatan dokumen yang membuktikan kewujudan Hang Tuah.

MASYHUR dengan sumpah keramat, Takkan Melayu Hilang Di Dunia, laungan Laksamana Hang Tuah itu memberi kesan mendalam terhadap bangsanya.

Personaliti Hang Tuah digambarkan sebagai seorang yang berdiplomasi tinggi, berani dan tangkas serta boleh menguasai 12 bahasa. Ciri-ciri ini menyebabkan beliau diangkat sebagai pahlawan Melayu yang disanjung sehingga kini.

Masyarakat Malaysia membesar dengan kisah Hang Tuah apabila cerita mengenainya dimuatkan dalam buku teks selain penghasilan dua buah karya agung lain iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalat Al-Salitin atau Sejarah Melayu yang menceritakan mengenai kewujudan pahlawan Melayu tersebut.

Pedagang

Cerita mengenai Hang Tuah juga diangkat ke layar perak oleh beberapa penerbit filem. Namun, isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak berhubung kewujudan Hang Tuah telah mendorong dua ahli akademik Universiti Putra Malaysia dari Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Mo­den dan Komunikasi, Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa dan pensyarah kanan, Dr. Rohaidah Kamaruddin menghasilkan buku, Hang Tuah: Catatan Okinawa.

Buku itu mengupas tentang hakikat kewujudan Hang Tuah atau sekadar watak dongeng hasil kreatif sasterawan Melayu tradisional yang melambangkan keagungan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Hashim memberitahu, sebelum buku itu ditulis pada November tahun lalu, beliau terlebih dahulu mengkaji tentang seni bina kapal perdagangan lama pada era kegemilangan kerajaan Melaka.

“Saya mengkaji mengenai kapal Mendam Berahi yang pernah digunakan kerajaan Melaka pada masa itu melalui buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Saya yakin masyarakat Melayu dahulu merupakan pedagang maritim yang hebat kerana Melaka pernah menjadi bandar utama pusat maritim,” katanya.

Beliau kemudiannya menemu bual Pengerusi Yayasan Karyawan Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid untuk membincangkan mengenai kapal tersebut kerana beliau mempunyai lukisan kapal itu. “Ahmad Sarji ada menceritakan mengenai Hang Tuah sewaktu perbincangan tersebut kerana beliau pernah menulis buku mengenainya. Dalam perbincangan tersebut beliau ada menyebut mengenai dokumen tentang kerajaan Melaka yang melibatkan Hang Tuah berada di sebuah muzium di Okinawa, Jepun,” jelasnya.

Ahmad Sarji menyatakan, beliau mengetahui mengenai kewujudan dokumen itu daripada perwakilan dari Jepun. Selepas mengetahui kewujudan dokumen itu, Hashim telah meminta bantuan Rohaidah menghubungi pegawai Kementerian Pendidikan di Jepun untuk mendapatkan maklumat mengenai dokumen tersebut.

Dokumen

Urusan untuk mendapatkan dokumen itu agak mudah kerana Rohaidah fasih bertutur bahasa Jepun dan beberapa salinan itu telah dihantar melalui e-mel kepada kami.

“Bagi memudahkan kajian mengenai kewujudan Hang Tuah itu, Rohaidah sendiri telah pergi ke Okinawa untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kandungan dokumen tersebut dan melihat beberapa artifak penting yang boleh menjadi bukti dalam penulisan buku ini,” jelasnya.

Bukti yang mengatakan Hang Tuah pernah ke Ryukyu atau kini dikenali sebagai Okinawa terkandung dalam catatan rasmi dokumen Rekidai Hoan.

Dokumen Rekidai Hoan ditulis dalam bahasa Cina yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Atushu Kobata dan Mitsugi Matsada yang diterbitkan pada 1969. Ia menjadi bukti baharu dalam bentuk primer tentang kewujudan Hang Tuah.

Catatan rasmi

Hashim berkata, Rekidai Hoan merupakan catatan rasmi mengenai empayar kerajaan Ryukyu di Jepun suatu masa dahulu. Catatan Rekidai Hoan ada menceritakan mengenai hubungan antara kerajaan Ryukyu dengan Korea dan negara-negara di Asia Tenggara. Di dalam dokumen tersebut ada satu bahagian yang mendedahkan hubungan antara kerajaan Ryukyu dengan Kesultanan Melayu Melaka.

Terdapat sekurang-kurangnya 19 surat daripada kerajaan Ryukyu kepada Melaka dan 11 surat lagi dari Melaka kepada Ryukyu.

‘‘Namun daripada kesemua surat itu hanya tiga surat dari Melaka yang diutuskan pada tahun 1480 dan 1481 mempunyai kaitan secara langsung dengan Laksamana Hang Tuah” jelasnya.

Surat bertarikh 11 April 1480 dipercayai ditulis oleh Hang Tuah bagi pihak Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah yang dikatakan baru berumur enam tahun ketika itu.

Dalam kandungan surat tersebut ada menyebut Lo-hsi-ma-na dari Melaka dengan sepenuh takzim mempersembahkan perutusan ini Ke Bawah Duli Raja negeri Ryukyu.

“Selepas diselaraskan dengan sejarah Melayu pada ketika itu Sultan Alauddin Riayat Shah masih kanak-kanak dan yang menjaganya adalah Bendahara dan Laksamana Hang Tuah.

“Kandungan surat itu merupakan salah satu bukti yang berhubung kait dan selaras dengan sejarah Melayu dan saya yakin surat itu memang diutuskan oleh Hang Tuah yang ketika itu bertindak sebagai Laksamana Melaka,” katanya.

Menurut Hashim, buku itu dihasilkan bagi membuktikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan bukti primer daripada sumber asing yang belum didedahkan kepada masyarakat negara ini.

Bagi membuktikan sesuatu watak itu wujud dalam sejarah, sumber utama atau sumber sahih yang sezaman dengan watak itu harus ditemui dan dipaparkan dengan jelas.

“Kandungan dokumen Rekidai Hoan selaras dengan sumber kedua iaitu catatan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rohaidah berhasrat untuk mendedahkan dan terus mencari bukti tentang kewujudan Hang Tuah dalam sejarah negara yang pernah menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Geran

“Kesultanan Melayu Melaka dahulu sememangnya sebuah empayar kerajaan yang hebat dan pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara seperti China, India dan Kemboja.

“Mungkin dalam mengkaji hubungan diplomatik ini kita boleh menemui maklumat baharu mengenai kewujudan Hang Tuah. Kini saya sedang menunggu satu lagi salinan dari Kyushu, Jepun yang menceritakan mengenai pergaduhan antara Hang Tuah dengan Samurai Jepun yang berlaku di Kemboja,” jelasnya.

Rohaidah menjelaskan, antara cabaran untuk menyiapkan buku tersebut ialah tiada geran bantuan daripada mana-mana pihak.

“Kami pernah memohon geran daripada pihak tertentu untuk melakukan kajian ini, namun ia tidak dilayan. Untuk ke Okinawa saya terpaksa mengeluarkan kos sendiri dan hanya tidur di lapangan terbang sebelum pulang ke Malaysia.

“Saya berharap jika ada ada pihak yang memohon untuk melakukan kajian untuk mengangkat martabat Melayu, bantulah mereka kerana menghasilkan buku akademik merupakan satu fisabilillah,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3ub3inuNJ Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan