25 Disember 2015 6:30 PM
JAMBATAN besi sementara di Mersing dibina bagi menggantikan jambatan yang diletupkan tentera Jepun suatu ketika dahulu. MAJLIS DAERAH MERSING
MERSING turut tercatat di dalam sejarah Perang Dunia Kedua apabila ia menjadi tempat berlakunya pertempuran antara tentera Jepun dan tentera Australia pada Januari 1942.
Ekoran pertempuran itu, bandar Mersing dibom pada skala agak besar. Semasa kemaraan ketumbukan tentera Jepun, pihak British dengan bantuan Batalion Ke-20 Tentera Australia telah bersiap sedia di sekitar Mersing untuk mempertahankan kawasan itu.
Keadaan di Mersing ketika itu dilaporkan hujan lebat, menyebabkan air di Sungai Endau naik beberapa meter sehingga menghanyutkan baraj muatan yang ada di situ.
Batalion Ke-20 dilengkapi dengan kereta perisai dan periuk api, selain meneruskan kawalan.
Menurut Diari Perang dan Arahan Rutin Batalion Ke-20 Tentera Australia, pada 22 Januari 1942 berlaku pengeboman besar-besaran di Mersing oleh pihak tentera Jepun. Kira-kira 200 tentera Jepun dilaporkan terbunuh.
Batalion Ke-18 Tentera Australia pula ketika itu bergerak ke Estet Nittsdale yang terletak di Jalan Mersing-Jemaluang. Namun pada 23 Januari 1942, dilaporkan jalan tersebut juga teruk dibom pihak Jepun.
Jambatan di bandar Mersing pula musnah akibat dibom sehingga jalan perhubungan terputus.
Pada 25 Januari, tentera Jepun meneruskan usaha untuk menawan sebahagian Mersing sementara Batalion 20 pula diarahkan untuk meninggalkan Mersing pada waktu malam dan berkubu di Jemaluang.
Pihak Jepun ketika itu turut menjadikan sebuah bangunan di bandar Mersing sebagai markas pertahanan mereka. Bangunan itu yang masih wujud hari ini dijadikan bangunan Majlis Daerah Mersing.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/rencana/dibom-tentera-jepun-1.172824#sthash.trpwFJWL.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan