Oleh Hafizah Iszahanid
Hafiza@bh.com.my KUALA LUMPUR:
Hang Tuah tidak wujud sekali
gus dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa mereka berasal dari keturunan Hang
Tuah adalah dongeng. Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains
Sosial, Universiti Malaya Prof Emeritus Dr Ahmat Adam berkata, Hang Tuah adalah
watak fiksyen yang wujud dalam teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah
sahaja justeru dakwaan penemuan kubur Hang Tuah dan artifak berkaitan
kewujudannya yang dibuat oleh sekumpulan sarjana dari Universiti Putra Malaysia
(UPM) baru-baru ini memerlukan penyelidikan yang lebih mendalam.
Sementara kubur di Melaka yang
dikatakan milik Hang Tuah sesuai untuk tujuan pelancongan tetapi ia bukanlah
kubur Hang Tuah yang sebenar. Ahmat berkata demikian dalam Seminar Sejarah
anjuran Jabatan Sejarah UM yang bertajuk Wujudkah Hang Tuah? Malah tegas Ahmat,
perkataan Hang Tuah itu sebenarnya tidak wujud pada abad ke-15 dan ke-16
sebaliknya ia dikesan buat pertama kalinya dalam Hikayat Acheh yang ditulis
pada hujung abad ke-17.
'Mereka yang bergelar sejarawan
harus ingat, Sejarah Melayu itu adalah fiksyen yang boleh disebut sebagai teks
sastera sejarah tetapi bukan sebagai teks sejarah. "Watak Hang Tuah juga
sudah disebut dalam Hikayat Hang Tuah yang ditulis terlebih dahulu berbanding
Sejarah Melayu, jadi ia watak yang diceduk masuk ke dalam naskhah itu,"
katanya. Tegas Ahmat, pengarang Melayu zaman dahulu tidak akan menggunakan nama
sebenar untuk watak pembesar mereka kecuali raja. Apa yang wujud adalah
perkataan laksamana yang bermaksud pengikut raja yang setia dan ia tidak
merujuk secara khusus kepada Hang Tuah.
"Perkataan laksamana
merujuk kepada gelaran yang digunakan untuk pengikut raja yang setia sementara
Hang Tuah sebenarnya Tuha yang bermaksud tua atau ketua pemimpin. Ia disebut
sebagai Tuah kerana kegagalan penyelidik untuk membaca tulisan jawi dengan
betul. "Hang pula adalah perkataan Melayu purba yang bermaksud tukang yang
mahir. Laksamana Hang Tuah itu gelaran dan bukan merujuk kepada seseorang yang
kita kenal hari ini sebagai Hang Tuah," katanya yang mengkaji mengenai
kewujudan Hang Tuah dari sudut fisiologi asal usul perkataan.
Tegas Ahmat keghairahan
sesetengah penyelidik untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah perlu berasaskan
lebih banyak penyelidikan dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber sahaja
selain memastikan kesahihan dokumen itu. Ahmat berkata, sejarah seharusnya
berdasarkan kebenaran yang objektif dan tidak memihak. "Saya tidak melihat
dakwaan ketidakwujudan Hang Tuah ini akan mengganggu orang Melayu kerana ini
adalah pendapat akademik. Jika ada yang terganggu, mereka itu jahil,"
katanya.
Sebelum ini sekumpulan
penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa menemui dokumen dan artifak
yang diterima daripada kerajaan Ryukyu di Jepun dan satu lagi dari Portugal.
PENGERUSI Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD), Khalid Hussin
menunjukkan lakaran wajah Hang Tuah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Duyong,
Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/104080
Tiada ulasan:
Catat Ulasan