Rabu, 30 Disember 2015

USIM tubuh Fakulti 
Kejuruteraan dan Alam Bina

AINOL AMRIZ ISMAIL   29 Disember 2015 12:31 AM
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang bakal beroperasi secara
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang bakal beroperasi secara
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang bakal beroperasi secara sementara di Bangunan Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
SEREMBAN 28 Dis. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini terus memperkasakan peranannya dalam menyediakan program akademik yang bertunjangkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli melalui penubuhan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.
Fakulti itu merupakan yang ke-sembilan diwujudkan USIM sejak ditubuhkan pada tahun 2000.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof. Dr. Zulkifli Abd. Ghani berkata, surat kelulusan penubuhan fakulti berkenaan pada 10 Disember lalu ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan pihak universiti dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi surat rasmi oleh Jabatan Pendidikan Tinggi.
“Melalui penubuhan fakulti itu, dua program akademik sedia ada yang diletakkan di bawah Fakulti Sains dan Teknologi iaitu Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan kepujian serta Sarjana Muda Kejuruteraan dengan kepujian (Kejuruteraan Elektronik) akan ditawarkan di bawah fakulti baharu itu mulai tahun hadapan,” katanya dekat sini hari ini.
Katanya lagi, dengan penubuhan itu juga secara tidak langsung membuka peluang baharu kepada pelajar lepasan sekolah agama untuk melanjutkan pengajian dalam bidang profesional.
“Usaha awal kepada penubuhan fakulti itu ialah dengan pengambilan kumpulan pertama pelajar Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan kepujian pada 2012 diikuti Sarjana Muda Kejuruteraan dengan kepujian (Kejuruteraan Elektronik) pada 2013.
“Pada majlis konvokesyen USIM pada November lalu menyaksikan seramai 10 orang graduan kumpulan pertama Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan kepujian mene-rima ijazah masing-masing.
“Graduan sulung program Sarjana Muda Kejuruteraan dengan kepujian (Kejuruteraan Elektronik) pula akan diraikan pada majlis konvokesyen USIM ke-15 pada 2017,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, kata Zulkifli, sebagai sebuah fakulti yang dinamik pihaknya mempunyai perancangan untuk menawarkan beberapa program akademik baharu pada masa hadapan.
“Pada peringkat prasiswazah yang ditawarkan adalah Sarjana Muda Ukur Bahan dengan kepujian sementara pascasiswazah ialah Sarjana Sains Kejuruteraan dan Doktor Falsafah Kejuruteraan,” katanya.
Walaupun masih baharu, program Seni Bina USIM contohnya telah berjaya mengharumkan nama USIM apabila model rumah banjir patuh syariah yang dihasilkan sekumpulan pelajar dan pensyarahnya telah dipilih oleh Tesco Malaysia untuk dibina bagi mang-sa banjir di Kelantan pada Mac lalu.
Fakulti baharu itu akan berope-rasi secara sementara di bangunan Fakulti Sains dan Teknologi.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/usim-tubuh-fakulti-8232-kejuruteraan-dan-alam-bina-1.173866#sthash.UOjwk6GM.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan