Khamis, 17 Disember 2015

Gong Tok Udin


  Oleh Amran Yahya -am@hmetro.com.my


Kuala Pilah: Sebuah gong dipercayai berusia lebih 200 tahun dan dikatakan digunakan sebagai alat komunikasi ketika berada di hutan masih elok dalam simpanan pemiliknya, Salleh Ahmad, 60.

Salleh berkata, gong dikenali sebagai ‘tetamak’ adalah pusaka peninggalan datuk sebelah ibunya yang dikenali sebagai Tok Udin.

“Saya menyimpan gong ini lebih 30 tahun lalu. Ramai yang mahu membelinya terutama dalam kalangan datuk adat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanjung Ipoh di sini, semalam.
Menurut Salleh yang juga Datuk Lembaga Seri Selemak Pahang, pada awal kurun ke-19, gong berkenaan pernah digunakan Tok Udin sebagai alat komunikasi ketika di hutan.

“Tok Udin adalah tukang rumah dan sentiasa membawa gong ketika memasuki hutan untuk menebang pokok bagi dijadikan bahan untuk membina kediaman.

“Gong ini akan dipalu sebagai alat komunikasi bagi menghantar isyarat kepada orang kampung jika dia berdepan masalah,” katanya.

Menurut Salleh, arwah neneknya pernah menceritakan kepadanya sesuatu yang unik mengenai penghasilan gong berkenaan.

“Arwah nenek memaklumkan gong ini buatan tangan Tok Udin dan dia tidak menggunakan peralatan lain. Tembaga ini dibentuk hanya menggunakan jari Tok Udin.

“Walaupun cerita ini seolah-olah mistik tetapi ada kemungkinan juga ia cerita benar. Ia mungkin satu daripada kehebatan dimiliki orang dulu. Biasanya, permukaan gong cantik dan rata tetapi jika diperhatikan serta diamati, gong ini tidak rata selain terdapat banyak kesan cap jari, sekali gus menguatkan lagi kisah penghasilannya,” katanya.

Menurut Salleh, walaupun bentuk gong berkenaan sama seperti gong lain tetapi ia agak luar biasa dari segi warna, tombol dan bunyi.

“Warnanya gelap dan tidak sama seperti tembaga lain. Tombolnya pula dibuat berasingan dan ini menyebabkan dengungnya agak lama serta kuat. Walaupun usia gong lebih 200 tahun tetapi bunyinya masih tetap sama. Saya tiada niat untuk menjualnya walaupun ramai mahu membelinya.

“Pada masa sama, gong ini sering digunakan terutama ketika majlis keramaian adat selain disewa untuk gimik perasmian majlis tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 8:17 AM

Salleh membersihkan gong pusaka di rumahnya di Tanjung Ipoh.


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/99710#sthash.9tw4hifY.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan