Ahad, 29 November 2015

Patriotisme 50 tahun




DEMI rasa cinta kepada negara, rakyat negara ini melahirkan kecintaan tersebut dalam pelbagai cara sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50. Tujuh rakyat negara ini menyahut cabaran mendaki Gunung Everest pada bulan Mei lalu dalam satu ekspedisi Merdeka de’ Everest 2007. Bagaimanapun, hanya enam daripada mereka yang mengibarkan Jalur Gemilang di bumbung dunia itu pada ketinggian 8,848 meter (29,028 kaki) dari paras laut.

Datuk Khalid Yunus, 64, selaku Presiden Persatuan Kembara Negara, merupakan pendaki tertua dalam ekspedisi tersebut bagaimanapun gagal menyempurnakan misi itu.

Setelah berenang selama kira-kira 14 jam, perenang dua beradik, Zahra Masoumah Abdul Halim, 15, dan adiknya Salman Ali Shariati, 10, berjaya menamatkan renangan merentasi Selat Melaka dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis dengan catatan tiga rekod. Zahra Masoumah mencatat rekod sebagai perenang perempuan yag pertama berjaya merentasi selat sejauh 46 kilometer itu manakala Salman Ali Shariati mencatat rekod sebagai perenang paling muda.

Sebanyak 2,007 pokok bunga raya ditanam dalam masa 50 saat, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai satu rekod terpantas.

Pokok bunga itu, ditanam oleh 2,100 warga kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di kampus mereka di Bangi sempena menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan.

Kejohanan Futsal Mahasiswa Merdeka 50 Jam Tanpa Henti 2007 berakhir dengan penuh bermakna apabila cabaran itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) sebagai kejohanan futsal paling lama secara berterusan.

Cuma dua kotak biskut seorang, itulah habuan setelah berpenat-penat selama empat hari tanpa henti untuk satu tujuan iaitu mencatat rekod memancing paling lama dalam Malaysia Book of Records (MBR). Ia juga hakikat yang terpaksa diterima oleh 12 pemancing kumpulan Durafishers yang mencatat rekod memancing 99 jam tanpa henti di Kolam Pancing Bai-World, Tasik Puteri, Rawang. Pertandingan yang dianjurkan sempena sambutan 50 tahun merdeka menampilkan semangat patriotik para peserta.

Ahli Putera UMNO, Mohd. Norazmin Abdul Aziz, 23, berjaya melakukan renangan dari Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia ke Teluk Kemang sejauh 65 kilometer dalam masa 24 jam 33 minit. Catatan itu sekali gus memecah rekod dunia yang dicatatkan oleh seorang perenang Jepun pada tahun 1972 yang mencatat masa 25 jam.

Jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin, 40, berjaya menamatkan pendakian terakhirnya bagi melengkapkan Misi Pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu yang dicapainya selepas ekspedisi selama 64 hari. Beliau yang kini popular dengan gelaran ‘Mr. Solo’ melangkah ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu untuk mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pendaki pertama yang berjaya mendaki puncak gunung itu sebanyak 50 kali.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Detik_07&pg=d07_03.htm#ixzz3swWKEGFY Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan