28 November 2015 6:06 PM
Yang Dipertaun Besar, Negeri
Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni
Yang Dipertaun Besar, Negeri
Sembilan, Tuanku Muhammad Shah ibni Tuanku Antah (1888)
TIDAK seperti ketua pemerintah
di negeri lain yang bergelar raja atau sultan, Negeri Sembilan menggunakan
gelaran Yang Dipertuan Besar.
Ada pendapat menyatakan
kemungkinan gelaran Yang Dipertuan Besar disebabkan pengaruh dari kesultanan
Palembang yang wujud dalam masyarakat Minangkabau. Kesultanan Palembang
dikatakan mula-mula membahasakan Yang Dipertuan kepada rajanya yang membawa
maksud raja yang dituankan itu adalah dijemput.
Penggunaan gelaran itu di
Negeri Sembilan menurut Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali ada kisah dan
sejarahnya yang selalunya dimulakan dengan kehadiran seorang anak raja dari
Minangkabau yang bergelar Raja Melewar.
“Namun, sebelum pertabalan Raja
Melewar, sudah ada raja Minangkabau yang menduduki takhta negeri tersebut iaitu
Raja Adil, Raja Kasab dan Raja Khatib.
“Sejarah awal kehadiran raja
berkenaan ke Negeri Sembilan bagaimanapun tidak jelas namun, ada catatan yang
menyatakan mereka sudah berada di negeri tersebut,” katanya.
Menjadi tanda tanya mengapa
negeri yang sudah ada raja, penghulu atau undang sebelum ini memerlukan
seseorang untuk mengetuai luak-luak ini dan menjadi Yam Tuan (sebelum gelaran
Yang Dipertuan) di Negeri Sembilan.
Dalam hal ini, Dr. Abdullah
berkata, ia sering kali dikaitkan dengan kebimbangan masyarakat dan pembesar
keturunan Minangkabau terhadap perkembangan pengaruh dan kuasa orang Bugis yang
bertapak di Linggi bermula pada 1722.
“Opu Bugis lima bersaudara iatu
Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Chelak, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi
dikatakan membantu nelayan Bugis yang berselisih dengan pengikut-pengikut
penghulu Linggi.
“Penghulu Linggi yang menyedari
tidak mampu menentang angkatan Bugis lima bersaudara itu kemudian meminta
bantuan Raja Kechil yang menduduki takhta kerajaan Johor dengan gelaran Sultan
Abdul Jalil Rahmat Shah.
“Bagaimanapun, ketika perang di
Linggi, Raja Kechil telah dikalahkan dan terpaksa berundur ke Siak sementara
Johor ditawan kembali oleh Opu Bugis lima bersaudara. Maka bertapaklah Bugis di
Linggi. Oleh sebab itu, sehingga kini kebanyakan yang duduk di Linggi
berketurunan Bugis,” katanya.
Penguasaan Bugis di Linggi
mencetuskan kebimbangan, sekali gus mendorong Penghulu dan Undang mengambil
keputusan menjemput seorang anak raja dari Pagar Ruyung untuk ditabalkan
sebagai raja di Negeri Sembilan.
Raja Melewar tiba di Negeri
Sembilan dan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan di Penajis, Rembau pada 1773 dan
seterusnya bersemayam di Seri Menanti.
“Raja Melewar bagaimanapun
tidak menjadi pengasas kepada kerajaan Negeri Sembilan meskipun mempunyai
putera, namun keturunannya tidak dilantik sebagai Yang Dipertuan ketika itu.
“Para pembesar bermesyuarat dan
membawa seorang lagi anak raja dari Pagar Ruyung yang dikenali sebagai Raja
Hitam untuk menduduki takhta kerajaan. Keturunan Raja Hitam juga tidak mewarisi
pemerintahan kerajaan itu dan sekali lagi pembesar menjemput anak raja lain
dari Pagar Ruyung iaitu Raja Lenggang.
“Raja Lenggang kemudian menjadi
pengasas kerajaan Negeri Sembilan kerana puteranya Tunku Radin menjadi Yang
Dipertuan Besar (1830) diikuti puteranya yang kedua, Tunku Imam (1861 hingga
1869),” katanya.
Pertabalan Tunku Radin sebagai
Yang Dipertuan Besar menggantikan ayahnya menunjukkan berakhirnya penjemputan
anak-anak raja dari Minangkabau menduduki takhta di Negeri Sembilan.
SUMBER UTUSAN MALAYSIA ONLINE 28
November 2015 6:06 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan