DNA 101
PROF. MADYA DR. ZAFARINA
ZAINUDDIN | 29 November 2015 6:36 PM
Persoalan tentang siapakah
Melayu dan dari manakah asal usulnya sering kali menjadi perdebatan ramai. Ada
yang berpendapat bahawa bangsa Melayu itu sendiri tidak wujud. Melayu dikatakan
terlahir daripada perkahwinan campur antara "penduduk tempatan"
dengan saudagar-saudagar Cina, India, Arab dan Siam yang singgah di Semenanjung
Tanah Melayu untuk berdagang semasa zaman kemahsyuran empayar-empayar di Tanah
Melayu. Spekulasi tentang siapakah "penduduk tempatan" inilah yang
kerap kali menjadi bahan perdebatan antara ahli akademik, pakar sejarah, ahli
politik dan tidak terkecuali para keyboard warriors di laman-laman sosial.
Melayu sebenarnya bukanlah satu
bangsa yang hanya wujud di Malaysia tetapi orang Melayu telah wujud sekian lama
di Kepulauan Melayu (Malay Archipelago). Kepulauan yang terletak di antara
Lautan India dan Lautan Pasifik ini mengunjur sejauh 4,000 batu dari timur ke
barat dan 1,300 batu dari utara ke selatan dan merupakan kepulauan yang
terbesar di dunia.
Kepulauan Melayu dibentuk oleh
beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Borneo, Sumatera,
Jawa, Sulawesi, Filipina dan termasuk juga Semenanjung Malaysia. Sebelum
berlakunya banjir besar yang menenggelamkan Pentas Sunda dan tamadunnya lebih
kurang 10,000 tahun yang lalu, kumpulan pulau yang terletak di atas Pentas
Sunda dipercayai bersambung sebagai satu tanah besar yang memudahkan pergerakan
dan interaksi manusia di atasnya.
Akibat daripada kejadian banjir
besar ini, sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa berhijrah dan mereka
ini dipercayai telah memulakan penempatan baharu di Asia Timur dan Kepulauan
Pasifik .
Teori Out of Taiwan oleh Peter
Bellwood menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar
dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10,000 tahun dahulu dan
membawa bersama mereka teknologi penanaman padi. Memandangkan bahasa Melayu
merupakan salah satu cabang bahasa Austronesia, maka orang Melayu juga dianggap
sebagai berasal dari Taiwan.
Kepercayaan bahawa orang Melayu
berasal dari Yunnan atau selatan negara China juga dipercayai timbul daripada
pemahaman bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal daripada
kumpulan manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan
seterusnya ke Asia Tenggara (arah pergerakan utara ke selatan).
Populasi lebih awal
Walau bagaimanapun,kepercayaan
yang bertapak sekian lama ini telah berjaya digugat apabila bukti daripada
kajian DNA menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan Asia Tenggara adalah
sebaliknya. Kajian menggunakan Single Nucleotide Polymorphisms (SNPs) yang
telah diterbitkan dalam majalah Science yang bertajuk, Mapping Human Genetic
Diversity in Asia pada tahun 2009 menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah
lokasi terawal kemasukan manusia dari Afrika ke Asia.
Dalam kajian ini, sebanyak 50
peratus haplotype yang ditemui (kumpulan SNPs pada satu kromosom yang
diwariskan bersama-sama dipanggil haplotype) dalam populasi Asia Timur hanya
terdapat dalam populasi di Asia Tenggara. Ini menunjukkan bahawa Asia Tenggara
merupakan sumber utama bagi takungan genetik populasi di Asia Timur seperti
China dan Taiwan. Bukti ini seterusnya menyokong bahawa pergerakan manusia di
Asia adalah dari arah selatan ke utara.
Analisis filogenetik
menggunakan penanda SNPs telah meletakkan Orang Asli Semang dan orang Melayu
pada cabang yang lebih awal berbanding populasi di Asia Timur yang secara
langsung menunjukkan bahawa Orang Asli Semang dan Melayu adalah satu populasi
yang lebih "awal" berbanding populasi di China dan Taiwan.
Selain bukti daripada kajian
menggunakan SNPs, penjujukan penuh DNA mitokondria juga telah membuktikan
bahawa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Semang) adalah berasal daripada
kumpulan manusia moden terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika.
Pergerakan ini berlaku lebih kurang 60,000 - 75,000 tahun dahulu melalui jalan
darat di sepanjang pesisir pantai melalui India ke Asia Tenggara dan seterusnya
ke Australasia (Tajuk penerbitan: Single, rapid coastal settlement of Asia
revealed by analysis of complete mitochondrial genome; Science 2005).
Pada zaman ini, kemungkinan
besar laluan ke arah utara terhalang oleh cuaca yang ekstrem, bentuk muka bumi
yang berbukit bukau dan kawasan gurun. Laluan pantai yang lebih landai dan
cuaca yang kurang ekstrem mungkin antara faktor kenapa kumpulan manusia yang
bergerak ke arah selatan berjaya tiba di Asia Tenggara.
Kajian serupa yang dilakukan ke
atas 10 sub-etnik Melayu (Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang,
Mendeleng, Rawa, Champa dan Pattani) menggunakan DNA mitokondria menunjukkan
sejumlah orang Melayu juga mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000
tahun (Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) dan turut berkongsi
haplogroup (kumpulan DNA mitokondria) yang sama dengan Orang Asli.
Penemuan ini membuktikan bahawa
orang Melayu juga berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari Afrika
lebih kurang 60,000-75,000 tahun dahulu yang kemudiannya menjadi penghuni
terawal di Kepulauan Melayu. Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA
telah membuktikan bahawa kesemua sub-etnik Melayu mempunyai persamaan genetik
yang sangat tinggi (Edinur et al, 2009; NurWaliyuddin et al., 2014).
Penemuan ini telah mengukuhkan
lagi kepercayaan tentang asal usul dan hubung kait antara populasi awal di
Kepulauan Melayu. Kesemua sub-etnik Melayu ini ternyata berasal dari susur
galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama. Namun demikian, pada hari
ini, mereka telah dipisahkan oleh sempadan geografi dan politik dan hasilnya
mereka terlihat sebagai populasi yang berbeza.
Pemisahan ini walau bagaimapun
tidak dapat menafikan hubungan mereka yang telah dibuktikan secara genetik,
sama seperti hakikat kewujudan mereka di Kepulauan Melayu sejak 60,000 tahun
dahulu. Mungkin bagi sesetengah pihak, pengetahuan tentang sejarah dan asal
usul sesuatu bangsa tidak penting. Kenapa kita perlu bersusah payah memahami kejadian
yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu?
Adakah perjalanan dan
pengalaman yang dilalui oleh nenek moyang kita masih relevan untuk dipelajari?
Harus diingat, pandangan kita tentang sejarah sebenarnya membentuk pandangan
kita tentang masa hadapan. Gagal menghayati sejarah bermakna kita gagal
menghargai dan menghormati usaha keras nenek moyang kita, sedangkan hasil
darinya kita nikmati hari ini.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 29
November 2015 6:36 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan