Sabtu, 31 Mei 2014

Simbolik Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA PILAH (Bernama) -- Istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang menjadi satu daripada warisan budaya dan sejarah dalam pentadbiran beraja di Negeri Sembilan dizahirkan kembali setelah hampir lima tahun tidak diadakan.

Istiadat itu, yang dimulakan sejak 1898, adalah bagi mengulang taat setia Penghulu-Penghulu Luak kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai payung yang memerintah.

Penghulu Luak itu terdiri daripada Penghulu Luak Ulu Muar, Penghulu Luak Terachi, Penghulu Luak Gunung Pasir, Penghulu Luak Jempol dan Penghulu Luak Inas serta luak-luak kecil iaitu Luak Gemenceh dan Luak Air Kuning.

SEJARAH AWAL

Bertempat di Bandar Diraja Seri Menanti, kehadiran ribuan rakyat dari seluruh Negeri Sembilan serta pelancong luar memberi peluang untuk mendekati dan memahami istiadat Penghulu-Penghulu Luak Menghadap. Ia serentak dengan Pesta Persukuan Adat yang diadakan di halaman Istana Lama Seri Menanti, baru-baru ini.

Generasi tua, muda mahupun kanak-kanak datang untuk bersama-sama menyaksikan keunikan istiadat yang menjadi kebanggaan terutama pengamal dan pendukung Adat Perpatih di negeri yang mendapat jolokan Negeri Beradat.

Kali terakhir Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Menghadap diadakan pada 26 Okt, 2009 semasa istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sekarang, Tuanku Muhriz ibni AlMarhum Tuanku Munawir.

Mengikut sejarahnya, keputusan mengadakan istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap ini dipersetujui dalam kalangan datuk-datuk penghulu luak pada zaman pemerintahan Tuanku Muhamad pada tahun 1898.

Ketika itu diputuskan istiadat itu akan dilaksanakan setiap tiga tahun sekali, menurut Penyelaras Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti, Datuk Ibrahim Jahaya.

Ujar beliau, ia melibatkan penghulu-penghulu luak tanah mengandung, iaitu penghulu yang menjaga pentadbiran wilayah adat termasuk Istana Besar Seri Menanti, tempat bersemayamnya Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Tujuannya adalah untuk memperbaharui taat setia dalam kalangan penghulu luak yang dipilih oleh anak buah dalam kawasan pentadbiran adat masing-masing, katanya.

"Setelah dilantik oleh anak buah, ada istiadat menyempurnakan perlantikan itu dengan datuk penghulu datang menghadap kepada tuanku serta melafazkan taat setia untuk menjaga pentadbiran adat di luak masing-masing.

"Setiap tiga tahun sekali mereka perlu datang menghadap kepada Tuanku untuk memperbaharui ikrar taat setia itu yang dipanggil Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap," katanya.

ATUCARA ISTIADAT

Selama tiga hari, Istana Besar Seri Menanti menerima kedatangan pemimpin-pemimpin adat yang mewakili anak buah (rakyat), kerabat-kerabat raja yang lengkap berpakaian istiadat, berbaju Melayu, bertanjak serta keris di pinggang.

Ia dimulakan dengan istiadat menurunkan alat-alat kebesaran.

Menurut Ibrahim, ia menjadi satu tatacara wajib yang harus dilakukan setiap kali berlakunya istiadat di Istana Besar Seri Menanti yang melibatkan Yang Dipertuan Besar.

Istiadat dimulakan setelah Yang Dipertuan Besar berkenan untuk menepung tawar dan memeriksa setiap alat kebesaran yang diletakkan di ruang tengah Istana Besar Seri Menanti.

Alat-alat kebesaran itu terdiri daripada lapan payung kuning, lapan keris panjang, lapan pedang panjang, empat panji-panji kuning, dua panji-panji merah, dua panji-panji hitam dan lapan tombak berambu.

Setelah mendapat titah perkenan tuanku, Pegawai 99 yang diketuai Datuk Setia Bijaya kemudian akan memasang alat kebesaran berkenaan di halaman istana.

Baginda turut sama menyaksikan istiadat pemasangan alat kebesaran itu dengan diiringi penghulu-penghulu luak.

Setelah kesemua payung kebesaran dikembangkan, tiga das tembakan meriam dilepaskan bagi menandakan istiadat menurun dan memasang alat kebesaran selamat disempurnakan, katanya.

ISTIADAT BERSIRAM

Pada hari kedua, Istiadat Bersiram pula dijalankan di Panca Persada yang terletak di luar kawasan Istana Besar Seri Menanti. Selain dihadiri Putera Yang Empat, kerabat-kerabat diraja dan kenamaan kerajaan, masyarakat di sekitar Negeri Sembilan turut tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan istiadat penuh sejarah itu.

Ia dimulakan dengan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Mukhriz dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, dihela (ditarik) menaiki kenderaan khas Takhta Rencana dari istana ke Panca Persada, sejauh kira-kira 400 meter.

Pegawai 99 yang didahului Datuk Setia Bijaya bersama 20 Pegawai 99 di hadapan, 20 orang di belakang serta 20 orang setiap kiri dan kanan ditugaskan menghela kedua-dua baginda.

Di atas Takhta Rencana pula, tuanku berdua bersemayam dengan diapit kiri dan kanan oleh Datuk Laksamana II yang memegang Padang Sebarau Bujang dan Datuk Kanda Maharaja memegang keris senawi. Manakala Datuk Mangku memegang Payung Kuning dan Datuk Bentara Perempuan membawa kipas keemasan.

Perarakan pada pagi itu, didahului kumpulan rebana sambil bersalawat, kemudian diikuti Pegawai 99 yang membawa alat kebesaran diraja serta dituruti pembawa cepu bedak limau oleh Datuk Raja Penghulu bersama Datuk Menti Laksamana.

Sebaik perarakan dimulakan, tembakan meriam sebanyak lapan das dilepaskan sehingga sampai ke Panca Persada dan tuanku berdua naik ke singgahsana.

Upacara dimulakan dengan Datuk Raja Penghulu yang membawa cepu bedak limau menyerahkannya kepada Datuk Menti Laksamana untuk diletakkan di atas meja di hadapan Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan Besar.

Orang Empat Istana kemudian memulakan tujuh pusingan sambil membawa cepu bedak limau dengan mengelilingi tuanku berdua. Selesai pusingan itu, cepu bedak limau dipersembahkan kepada tuanku berdua dimulai oleh Datuk Seri Amar Diraja, Datuk Raja Diwangsa, Datuk Penghulu Dagang dan Datuk Akhir zaman secara bergilir-gilir dan tuanku berdua mencelup tangan setiap kali dipersembahkan.

Selesai istiadat itu, lapan das tembakan meriam dilepaskan bagi mengiringi perarakan keberangkatan balik tuanku berdua menaiki Takhta Rencana.

Ibrahim berkata mungkin ramai yang beranggapan adat bersiram itu sama seperti adat bersiram ketika majlis perkahwinan. Hakikatnya sangat berbeza, yang mana adat bersiram semasa perkahwinan dikenali sebagai adat bersiram mandi-manda. Manakala adat bersiram yang dijalankan oleh tuanku berdua adalah sebagai acara simbolik bagi menyucikan diri.

ISTIADAT MENGHADAP

Hari ketiga pula berlangsungnya kemuncak keseluruhan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Menghadap yang diadakan secara tertutup di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti.

Yang Dipertuan Besar dan Tuanku Ampuan yang bersemayam di singgahsana diapit oleh Tuanku Besar Seri Menanti dan Tuanku Muda Serting di sebelah kanan manakala Tuanku Laksamana, Tuanku Panglima Besar di sebelah kiri.

Sebaik Datuk Bentara Dalam mengisytiharkan istiadat Penghulu Luak dizahirkan, sebanyak 11 das tembakan meriam dilepaskan.

Datuk Penghulu Luak Ulu Muar mendahului menghadap dengan berkesot naik sebanyak tujuh tangga ke singgahsana. Apabila sampai di atas sekali, beliau mencium tangan Yang Dipertuan Besar sebanyak tiga kali sebelum berkesot untuk turun dari singgahsana.

Lafaz kemudian dibacakan dengan menzahirkan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Yang Dipertuan Besar sebagai payung adat dan negeri.

Upacara itu kemudian dituruti oleh penghulu-penghulu Luak Terachi, Luak Gunung Pasir, Luak Inas dan Luak Jempol serta Luak Gemenceh dan Air Kuning.

"Inilah acara kemuncaknya bagi Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang cukup istimewa serta perlu dihayati sebagai tanda taat setia rakyat kepada raja.

"Nilai-nilai ini yang ingin diterapkan terutama kepada generasi muda hari ini dalam usaha memperkenalkan keindahan Adat Perpatih," katanya.

PENGALAMAN BAHARU

Bukan sahaja generasi muda, kebanyakan masyarakat di Negeri Sembilan semakin hari meminggirkan Adat Perpatih dalam kehidupan mereka.

Tidak menghairankan, ada segelintir di beberapa daerah di Negeri Sembilan telah hilang identii adat dan budaya yang dipegang selama ini.

Bagi Shahara Akmal Shahril, 19, dari Kampung Terachi, Pesta Persukuan Adat dan Istiadat Ulangan Penghulu-Penghulu Luak Menghadap yang diadakan itu memberi satu pendedahan baharu mengenai nilai-nilai murni serta keunikan yang terdapat dalam Adat Perpatih.

"Saya datang ke sini untuk mengetahui lebih lagi tentang Adat Perpatih. Saya rasa orang di Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih patut berbangga dengan adat dan budaya yang dimiliki.

"Persepsi negatif masyarakat luar terhadap Adat Perpatih disebabkan ketidakfahaman mengenai adat itu. Pendedahan melalui Pesta Persukuan Adat dan istiadat yang dijalankan ini sedikit sebanyak boleh membuka mata dan menjelaskannya", katanya.

Sementara itu, seorang daripada pelancong dari Medan, Indonesia, Syafizal S.Sos yang berpeluang menyaksikan istiadat bersiram turut mengakui keunikan adat yang dirasakan dekat di hatinya.

Keramahan masyarakat di sini membuatkan beliau seperti berada di kampung halaman sendiri selain adat dan istiadat yang tidak banyak berbeza.

"Memang tidak jauh seni dan budaya yang ada di Negeri Sembilan. Istiadat yang ada cukup indah dan unik untuk dikongsi bersama pelancong yang datang," katanya.


sumber-- BERNAMA

Jumaat, 30 Mei 2014

PEMETERAIAN HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA DAN REPUBLIK RAKYAT CHINA

PEMETERAIAN HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA DAN REPUBLIK RAKYAT CHINA


Pada  hari  ini  31.5 dalam  tahun 1974,   Perdana  Menteri  Tun  Razak  mewakili  kerajaan  Malaysia  telah  menandatangani  perjanjian  hubungan  diplomatik  di antara  kerajaan  Malaysia  dan  Republik  Rakyat  China  yang  diwakili oleh  Perdana  Menterinya , Chou  En  Lai.  Upacara  yang  penuh  bersejarah  bagi  kedua-dua  buah  negara itu  telah  dimeterai  di Peking.  Perdana  Menteri  Republik  Rakyat  China,  dalam  ucapannya  pada  majlis itu mengalu-alukan  pengukuhan  hubungan yang  telah terjalin sejak lebih dua ribu  tahun lamanya.  Tun Abdul Razak,  telah merintis semula usaha ke arah terjalinnya kembali  hubungan  secara  rasmi  ini,  dalam  ucapannya   beliau  telah   melahirkan  harapan   agar  segala  rintangan  fizikal  yang  wujud  selama  ini  diantara kedua-dua  buah  negara  dapat  dihapuskan  dan  tali  perhubungan  dapat  diteruskan. Berikutan daripada perubahan dasar luar Malaysia ini, adalah selaras dengan dasar negara-negara lain di Asia  Tenggara  iaitu  membebaskan  rantau  ini  daripada  ancaman perang  yang  berpanjangan.  Sesungguhnya sepanjang 50 tahun  kemerdekaan negara  Malaysia sentiasa berusaha untuk  terus menjalinkan  jalinan persaudaraan dan  muhibbah dengan pemimpin dari negara-negara serantau.

APABILA PELAJAR TIDAK FAHAM KONSEP SEJARAH.

OLEH - AHMAD BIN YAAKOB
Sepanjang mengajar sejarah SPM dan STPM dari tahun 1988-2014 saya dapati ramai pelajar yang menjawab soalan sejarah hanya menggunakan logik dan bersandarkan apa yang mereka pernah dengar.
Kartun ini saya lukis pada tahun 1997 ketika mengajar Sejarah Malaysia di SMKJ2. Ketika itu nak beli laptop mahal sangat, jadi mengajar guna OHP sahaja.

Khamis, 29 Mei 2014

Sultan Nazrin Shah berkelulusan Harvard

 
IPOH - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana dan berjiwa rakyat.

Baginda berkelulusan ijazah doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak petang kelmarin yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah kelmarin.

Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera, Raja Azlan Muzaffar Shah, 4, dan seorang puteri, Raja Nazira Safya, 2, dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Februari 1984.

Mengikut hierarki Sistem Penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Sementara itu, kedudukan di bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Bongsu.

RUJUKAN-KOSMO ONLINE 30.5.14

Sultan Nazrin, Sultan Perak Ke-35

 
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membaca watikah pelantikan sebagai Sultan Perak pada Istiadat Pengisytiharan Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam. - BERNAMA
IPOH 29 Mei - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana dan berjiwa rakyat.

Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University, baginda diisytiharkan sebagai Sultan Perak yang baharu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda.

Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak petang semalam yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen. (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah semalam.

Sultan Nazrin Shah yang berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, empat tahun dan seorang puteri Raja Nazira Safya, dua tahun, dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Feb 1984.

Mengikut hirarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Sementara itu, kedudukan di bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Bongsu.

Pada 1987 apabila Raja Muda Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.

Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.

Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, telah melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.

Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Oxford University.

Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Harvard University.

Sultan Nazrin Shah yang merupakan Pro-Canselor Universiti Malaya adalah juga Felo Kehormat Kolej Worcester, Oxford University.

Pada tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Oxford University serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam Oxford University.

Selain itu, Sultan Nazrin Shah merupakan Felo ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) Terbilang.

Baginda juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.

Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberi kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.

Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007. - BERNAMA
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140530/dn_01/Sultan-Nazrin-Sultan-Perak-Ke-35#ixzz339AXQTMM © Utusan Melayu (M) Bhd

Masyarakat Agraria di Belanda dan China pada abad ke-16-17

Oleh – AHMAD BIN YAAKOB
Definisi Masyarakat Agraria
      Masyarakat Agraria bergantung kepada kegiatan pertanian sebagai sumber kehidupan mereka. Masyarakat agraria mengutamakan aktiviti bercucuk tanam dan penternakan sebagai sumber ekonomi mereka.Masyarakat agraria menetap di kawasan pertanian yang subur dan sesuai untuk menjalankan kegiatan pertanian. Mereka tinggal di kawasan lembah sungai yang mempunyai mendapan tanah lanar yang subur. Perubahan secara besar-besaran dalam kegiatan agraria bermula di England pada abad ke-18. Perubahan-perubahan ini meletakkan asas bagi kelahiran Revolusi Pertanian. Revoluis Pertanian seterusnya tersebar ke kawasan-kawasan di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat. Thomas Jefferson mempromosikan pembentukan masyarakat agraria di Amerika Syarikat pada peringkat awal penubuhan negara tersebut.[1]

Masyarakat Agraria di Belanda pada abad ke-16 dan 17.
Kajian menunjukkan  Belanda mengalami perkembangan pesat dalam bidang pertanian pada abad ke-16 dan ke-17. Catatan pengembara dari England, Perancis, Jerman, Itali  dan Sweden yang melawat Belanda pada abad ke-16 dan ke 17 membuktikan kenyataan tersebut. Masyarakat Belanda menggunakan kaedah dan teknik pertanian yang lebih maju berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain.

      Selain dari itu mereka juga memperkenalkan pelbagai jenis tanaman seperti biji kol, semanggi dan hop ke negara Eropah. Belanda juga membekalkan hasil pertanian dan produk tenusu ke negara-negara lain sejak abad ke-16 dan ke 17 lagi. Perkembangan pesat dalam aktiviti pertanian dan penternakan menyebabkan muncul masyarakat agraria di Belanda.

Perginya Sultan yang bijaksana

Oleh SOPI SAMAILE, SHAHRUL NOOR ISHAK,
MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan
DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
 
NAUNGAN diraja di bumi Darul Ridzuan dan harapan rakyat nyata terlihat kesinambungannya apabila Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuff Izzuddin Shah diputerakan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, Perak.

Putera kedua Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Muhtaram Shah dan Yang Teramat Mulia Toh Puan Besar Hatijah Datuk Setia Wangsa Ahmad itu digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang manja dengan sanak saudaranya.

Almarhum Sultan Azlan Shah dibesarkan di Batu Gajah dan menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris Kerajaan Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuff.

Sewaktu kecil, bondanya memanggil Almarhum baginda dengan nama manja, Lan. Saudara terdekat pula memanggil Almarhum dengan nama Raja Lan atau Ku Cik.

Almarhum gemar berlumba basikal selepas waktu persekolahan. Usai penat bermain hoki bersama kawan-kawan pada waktu petang, Almarhum akan pergi ke rumah sepupu atau ibu saudaranya untuk makan makanan kegemarannya iaitu kue tiau goreng.

Walaupun berketurunan raja, Almarhum dibesarkan dalam persekitaran masyarakat orang kebanyakan. Persekitaran itu memberi peluang kepada Almarhum untuk mematangkan diri melalui kehidupan di luar sangkar emas.

Almarhum Sultan Azlan Shah merupakan seorang pelajar yang aktif dan cergas sewaktu zaman persekolahan. Almarhum merupakan seorang pelari pecut acara 100 ela (91 meter), 200 ela (183 meter) dan lari berganti-ganti.

Pada tahun 1948 hingga 1950, Almarhum terpilih mewakili Pasukan Melayu Perak dan negeri Perak dalam permainan hoki. Dengan bentuk tubuh yang kecil, Almarhum bermain di posisi penyerang tengah kerana kemampuannya berlari pantas.
  
ALMARHUM Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Bainun semasa pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tahun 28 April 1989.

Selain cemerlang dalam arena sukan, Almarhum juga diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pengawas untuk memimpin pelajar di Sekolah Inggeris Kerajaan Batu Gajah pada tahun 1948.

Almarhum mengambil peperiksaan Senior Cambridge untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar selama setahun untuk melayakkan diri ke peringkat universiti. Ketika itu, ayahanda Almarhum telah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-32 pada 31 Mac 1948.

Sewaktu menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Almarhum mengikuti kursus khas dalam dua mata pelajaran iaitu sastera Inggeris dan bahasa Latin. Kedua-dua mata pelajaran itu merupakan persediaan awal untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di England.

Sejurus tamat pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Almarhum meninggalkan tanah air pada 31 Disember 1950 untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di University of Nottingham, England.

Sewaktu pengajian, Almarhum dan sukan hoki bagai tidak dapat dipisahkan. Sultan Azlan Shah bermain hoki untuk pasukan universiti dan daerah Nottingham. Almarhum merupakan satu-satunya pemain hoki yang bukan berkulit putih menerima pingat emas ketika peringkat universiti.

Tamat pengajian

Tiga tahun bertungkus lumus, Almarhum akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang ketika berusia 25 tahun. Pada bulan November 1954, Almarhum diterima masuk ke Badan Peguam Inggeris The Honourable Society of Lincoln’s Inn, London setelah melalui satu ujian.

Selama empat tahun Almarhum Sultan Azlan Shah berada di luar negara, pelbagai perkara yang dipelajarinya. Melalui pergaulan dengan masyarakat Inggeris, Almarhum turut mempelajari nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka seperti mementingkan kebersihan, menghargai masa dan ketepatan waktu.

ALMARHUM Sultan Azlan Shah bergambar bersama keluarga semasa istiadat mengangkat sumpah sebagai Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34 pada 31 Januari 1984.

Selepas menamatkan pengajian di University of Notthingham, Almarhum Sultan Azlan Shah kembali ke tanah air dan memulakan kerjayanya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh pada tahun 1954.

Tidak sampai setahun berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Almarhum memilih untuk memasuki bidang perkhidmatan yang menepati kelulusan akademiknya iaitu bidang perundangan dan kehakiman.

Bermula saat itu, Almarhum telah bertukar ke Kuala Lumpur lalu dilantik sebagai majistret kelas pertama bermula tahun 1955 hingga 1956.

Rekod cemerlang

Kematangan dan kecekapan Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kerjaya semakin menyerlah. Almarhum dilantik memegang jawatan penting iaitu sebagai Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara tahun 1962 hingga 1963.

Pada tahun 1963, Almarhum Sultan Azlan Shah dinaikkan pangkat dan bertukar jawatan sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sehingga tahun 1965 dan ketika itu, Ketua Hakim Negara yang pertama ialah Tun Sir James Thomson.

Thomson melahirkan rasa kagum dengan rekod cemerlang, kebolehan dan kearifan Almarhum Sultan Azlan Shah serta yakin baginda mempunyai potensi dan peluang untuk menduduki tangga yang paling tinggi dalam institusi kehakiman.

Dengan keyakinan itulah, Thomson mencadangkan supaya Almarhum Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Tanah Melayu pada tahun 1965 ketika usia baginda 37 tahun.

Almarhum Sultan Azlan Shah terus mendaki tangga kerjaya apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1979 sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang kelima pada tahun 1982.

Setahun kemudian iaitu pada Julai 1983, Almarhum Sultan Azlan Shah telah dilantik sebagai Raja Muda Perak.

Dua tahun kemudian, selepas Sultan Idris Iskandar Shah mangkat pada 31 Januari 1984, Dewan Negara telah bersetuju melantik Almarhum yang ketika itu Raja Muda Azlan Shah sebagai Sultan Perak ke-34.


ALMARHUM Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berangkat meninggalkan Istana Iskandariah selepas Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir pada 6 Februari 2009.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur telah berkenan melantik baginda sebagai Duli Yang Maha Mulia Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 26 April 1984.

Pada 26 April 1989 pula, Almarhum Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kesembilan.

Dalam pada itu, Almarhum Sultan Azlan Shah mempunyai perawakan yang peramah dan disenangi ramai, ditambah pula dengan minatnya dalam bidang sukan menjadikan Almarhum seorang yang popular serta mempunyai ramai kenalan.

Semasa menjadi hakim, Almarhum Sultan Azlan seorang yang serius dan begitu teliti mendengar hujah-hujah yang disampaikan, manakala dalam keadaan biasa, Almarhum suka berjenaka dan mendengar cerita kawan-kawannya.

Bagi yang pernah menghadap Almarhum, mereka berasa selesa dan tenang apabila berhadapan dengan Almarhum.

Sebagai Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah merupakan ketua hal-ehwal agama Islam bagi negeri itu dan Almarhum menolak sebarang gerakan pelampau agama yang memecahbelahkan perpaduan ummah.

Almarhum mahu melihat perkembangan Islam yang sederhana, penuh toleransi dan umat Islam menjadi ikutan kepada orang bukan Islam.

Rujukan-http://www.kosmo.com.my/kosmo/29.5.2014

Rabu, 28 Mei 2014

BELASUNGKAWA: Sultan Azlan Shah berjiwa rakyat

BELASUNGKAWA: Sultan Azlan Shah berjiwa rakyat
Sultan Azlan Shah bersalaman dengan rakyat jelata yang menyambut ketibaan baginda untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada tahun 2010. - Foto Ikhwan Munir
Dikenali sebagai Sultan berjiwa rakyat, kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Shah pada usia 86 tahun meninggalkan kesan mendalam dalam setiap hati rakyat negara ini khususnya rakyat Perak.

Negara umpama kehilangan mutiara berharga kerana baginda banyak menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara, khusus dalam bidang perundangan, pendidikan dan sukan.


Ketika hayatnya, Almarhum amat dikasihi, dihormati dan disanjung rakyat di bawah naungannya terutama di Perak dan ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong. Baginda sangat dikasihi rakyat kerana ketokohan, kebijaksanaan, ketulusan hati dan sifat dedikasi sepanjang memerintah Perak.

Menyusur sejarah hidup baginda, Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Sultan Perak, susulan kemangkatan Sultan Idris Shah II pada 3 Februari 1984.

Baginda yang ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Perak ke-34 pada 9 Disember 1985, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, memakai gelaran Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Pelantikan dibuat Dewan Negara Perak yang bersetuju melantik baginda yang ketika itu bergelar Raja Muda, Raja Azlan Shah Yussuf Izzuddin Shah.

Yang di-Pertuan Agong ke-9 Pada 1984, Sultan Azlan Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Baginda kemudian ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-9 pada 1989 untuk tempoh lima tahun berakhir pada April 1994.
Sepanjang pemerintahan baginda, Sultan Azlan Shah sangat dikagumi dan dihormati Raja-Raja Melayu dan pemimpin dalam serta luar negara kerana ketokohannya terutama dalam bidang perundangan.

Ketokohan baginda sebagai pemerintah terserlah ketika kerajaan Perak dilanda krisis politik pada 2009. Baginda selaku ketua negeri yang pernah menjadi Ketua Hakim Negara memainkan peranan penting dalam penentuan kerajaan negeri dengan memutuskan penukaran kerajaan daripada pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN) tanpa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam menangani krisis itu, pengalamannya dalam bidang perundangan membolehkan baginda membuat keputusan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.

Almarhum yang diputerakan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan Inggeris di Batu Gajah, sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Baginda kemudian meneruskan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang di University of Nottingham, United Kingdom, sebelum diterima sebagai ahli Lincoln's Inn, London, pada 23 November 1954.

Sekembali dari United Kingdom, baginda menyertai perkhidmatan kerajaan sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, sebelum meneruskan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Malaya


Pada usia 37 tahun, baginda mencipta sejarah kehakiman negara Komanwel, apabila menjadi individu paling muda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, mulai 1965 sehingga 1972.

Negara kehilangan 'Bapa Hoki Malaysia'

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my
Sultan Azlan Shah (duduk paling kiri) bersama rakan-rakan baginda dalam pasukan hoki University Nottingham (1951-1952).
KUALA LUMPUR - Almarhum Sultan Azlan Shah bukan hanya menaruh minat yang mendalam terhadap hoki malah sering mencemar duli untuk menzahirkan sokongan moralnya kepada mana-mana atlet sukan lain setiap kali berlangsungnya temasya sukan besar.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, beliau pernah beberapa kali menemani Almarhum yang bukan hanya menonton aksi atlet di padang malah melawat mereka di perkampungan Sukan Olimpik atau Sukan Asia.

"Almarhum memang mudah didekati dan seorang yang merendah diri tetapi tidak banyak bercakap. Kemangkatannya satu kehilangan besar kepada sukan tempatan, terutama sukan hoki Malaysia dan dunia.

"Ketokohannya sebagai pemimpin sukan memang tiada tolok bandingnya dan saya rasa tiada orang yang lebih layak untuk digelar Bapa Hoki Malaysia kecuali Almarhum," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap kemangkatan Sultan Azlan Shah tidak melemahkan semangat pemain-pemain hoki yang akan berjuang dalam Piala Dunia di The Hague, Belanda, sebaliknya membuktikan sesuatu sebagai penghormatan terakhir mereka kepada baginda, yang menjadi Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selama lebih 41 tahun.

Zolkples juga memaklumkan, pihaknya telah mengarahkan agar bacaan Al-Fatihah dan bertafakur selama seminit diadakan sebelum setiap acara Sukan Malaysia XVII yang sedang berlangsung di Perlis dimulakan sebagai penghormatan kepada Almarhum Sultan Azlan Shah.

"Bagi upacara penyampaian pingat Sukan Malaysia jika melibatkan atlet Perak, bendera negeri itu akan dinaikkan separuh tiang," katanya.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140529/su_01/Negara-kehilangan-Bapa-Hoki-Malaysia#ixzz3345t6OtM © Utusan Melayu (M) Bhd

Najib kagum Masjid Besar Xi'an berusia 1,200 tahun


 

NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor sambil diiringi Ding Jing Ping serta Mustapa Mohamed ketika melawat Masjid Besar Xi'an di Xi'an, China, semalam. - BERNAMA
XI'AN (China) 28 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu menzahirkan rasa kagumnya dengan Masjid Besar Xi'an yang berusia 1,200 tahun ketika mengunjunginya di ibu kota wilayah Shaanxi yang terletak di barat Laut China.

Beliau menyifatkan masjid itu sebagai satu peringatan nyata bahawa Islam telah wujud bersama-sama agama lain di China sejak sekian lama.

"Islam adalah agama yang aman dan harmoni, ia terus bertahan sehingga hari ini berikutan tahap toleransi dalam kalangan masyarakat China," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Sejurus tiba di masjid itu, Najib dan anggota rombongannya disambut oleh Imam Masjid Besar Xi'an, Ding Jiping.

Selepas melawat masjid itu, Najib menyampaikan sumbangan kerajan Malaysia berjumlah AS$10,000 kepada masjid itu bagi tujuan pemeliharaan warisan.

Pagi tadi, Najib merasmikan Minggu Pesta Makanan Halal Malaysia-Xi'an Ketiga di Jalan Beiyuanmen (Jalan Muslim) dan melawat gerai-gerai Malaysia.

Sebanyak 35 usahawan Malaysia menyertai pesta itu tahun ini.

Sebelum berlepas ke Beijing bagi meneruskan lawatannya ke China, Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak lelaki mereka, Nor Ashman melawat Museum Qin Terracotta Warriors and Horses di sini.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Duta Khas Perdana Menteri di China, Tan Sri Ong Ka Ting.

Delegasi Malaysia turut dijadual menemui pemimpin tertinggi China di Beijing.

Najib memulakan lawatan rasmi enam hari beliau ke China pada Selasa sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China. - BERNAMA
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140529/dn_10/Najib-kagum-Masjid-Besar-Xian-berusia-1200-tahun#ixzz333jXow9f © Utusan Melayu (M) Bhd

Sultan Azlan Shah mangkat

Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my
 
JENAZAH Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang dibawa dari Kuala Lumpur tiba di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, malam tadi. Turut kelihatan terlindung Raja Dr. Nazrin Shah (tengah) dan Tuanku Zara Salim. - BERNAMA
IPOH 28 Mei - Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah mangkat pada pukul 1.30 tengah hari hari ini pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Kemangkatan baginda yang memerintah Perak selama 30 tahun diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada pukul 3.45 petang melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun serta seorang putera dan tiga orang puteri.

Zambry berkata, jenazah Sultan Azlan akan disemayamkan di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar esok untuk penghormatan terakhir.

Menurut beliau, bagi pembesar negeri dan orang kenamaan, mereka boleh memberi penghormatan terakhir pada pukul 9 pagi manakala orang ramai pula antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.

"Bagi Ke Bawah Duli Maha Mulia Sultan, raja-raja dan pembesar negara asing pula, tempoh penghormatan terakhir adalah antara pukul 2 hingga 3 petang.

"Jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, esok," katanya.

Zambry turut mengumumkan tempoh perkabungan negeri ini selama 100 hari bermula hari ini dan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh tersebut manakala bendera Malaysia pula dikibarkan separuh tiang untuk tujuh hari sahaja.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan dibatalkan.

"Sebagai tanda penghormatan ke atas kemangkatan Almarhum, esok diisytiharkan sebagai hari cuti umum bagi seluruh negeri Perak.

"Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat. Saya mewakili seluruh rakyat jelata merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah Subhanahuwataala dalam kalangan para Auliya, Syuhada dan solehin," ujarnya.

Di KUALA LUMPUR, jenazah Almarhum dibawa keluar dari IJN ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar menggunakan van jenazah Kementerian Pertahanan pada pukul 5.05 petang.

Turut berangkat mengiringi jenazah Almarhum ialah Tuanku Bainun serta kerabat diraja.

Terdahulu, pada pukul 2.40 petang, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dilihat berada di pekarangan IJN ditemani Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Azlan diputerakan pada 19 April 1928, dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak pada 1 Julai 1983 dan dimasyhurkan sebagai Sultan Perak pada 3 Februari 1984 selepas kemangkatan Sultan Idris Shah.

Almarhum baginda yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara memperoleh pendidikan awal di Government English School, Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuf, Batu Gajah.

Baginda kemudiannya meneruskan pelajaran peringkat menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di University of Nottingham, United Kingdom.

Pada tahun 1953, baginda mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan seterusnya sah menjadi ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln"s lnn pada 23 November 1954.

Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong yang kesembilan, dilantik pada 26 April 1989 hingga 25 April 1994.

Semasa hayat Almarhum, Sultan Azlan aktif dalam sukan hoki dan memegang pelbagai jawatan penting antaranya Presiden Persatuan Hoki Malaysia (PHM), Presiden Hoki Asia dan Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140529/dn_01/Sultan-Azlan-Shah-mangkat#ixzz333Uz5a6e © Utusan Melayu (M) Bhd

Masjidilharam tanpa bayang

Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Berlaku fenomena Istiwa Kaabah atau Istiwa A'zam pada jam 5.16 petang ini di mana kedudukan matahari akan bergerak dan berada tepat di atas kaabah.Fenomena itu berlaku dua kali pada setiap tahun iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai tepat jam 5.28 petang.Istiwa Kaabah boleh dimanfaatkan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat lain di seluruh dunia.

Ketua Unit Kembara Angkasa, Persatuan Falak Syarie Malaysia, Mohd Razlan Ahmad, berkata kedudukan Kaabah Masjidilharam ketika itu pada kordinat latitud 21 darjah, 25 minit dan 24 saat (utara) manakala longtitud 39 darjah, 49 minit dan 24 saat (timur).
Foto

GAMBAR fail
"Jika berada di sana (Masjidilharam), umat islam akan lihat kaabah serta apa saja yang berdiri tegak di persekitarannya seolah tidak ada bayang-bayang dan ketika itu waktu di sana adalah sekitar jam 12.16 tengahari."Jika di Malaysia pandang ke arah matahari, bermakna sedang menghadap tepat ke arah kiblat," katanya.

Katanya, cara untuk tentukan kedudukan adalah dengan menggunakan bayang-bayang tiang atau dinding bangunan serta apa saja benda tegak 90 darjah sebagai panduan.

"Umat Islam perlu mengambil peluang ini dan memanfaatkan kejadian yang menunjukkan kebesaran tuhan untuk menyemak dan menentukan arah kiblat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad berkata, Istiwa Kaabah berlaku disebabkan laluan peredaran matahari pada dua waktu ini setiap tahun di mana akan melalui tepat garisan Kaabah.

"Tidak timbul dakwaan sama ada arah kiblat berbeza atau sebagainya.

"Penggunaan kompas sering digunakan untuk menentukan arah kiblat dan kadang kala berlaku ketidaktepatan menentukan arah itu disebabkan tarikan magnet kompas itu sendiri.

"Begitu juga arah kiblat di masjid apabila berlaku kekeliruan arah kiblat. Pembinaan sebuah masjid adalah berdasarkan batu sempadan masjid yang kadangkala tidak begitu tepat bagi menentukan arah kiblat," katanya.

Katanya, fenomena Istiwa Kaabah dimanfaatkan untuk umat Islam menyemak dan menentukan kedudukan arah kiblat berdasarkan tiang, bangunan dan sebagainya.

RUJUKAN-Artikel ini disiarkanMy Metro pada : 2014/05/28