Ahad, 17 Disember 2017

Sejarah Tanah Arab


 

ARKIB : 19/01/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
BENTUK asal telaga zam zam yang dipamerkan di Muzium Kota Mekah, Mekah.

SIRAH Nabi Muhammad SAW memerlukan kita mengenali sejarah Tanah Arab terutama dari aspek geografi, sosial dan peradaban dan ekonomi. Sebagai pendakwah khususnya, bagi menarik perhatian orang yang didakwah menceritakan kedudukan Tanah Arab mampu menarik perhatian pendengar.

Ini kerana membawakan kepada gambaran dan suasana Tanah Arab akan mendekatkan lagi mereka terhadap diri Rasulullah itu sendiri. Menerima sejarah Nabi bererti kita perlu menerima terlebih dahulu negara yang menjadi tanah kelahiran baginda itu sendiri.

Justeru memahami kedudukan Tanah Arab yang merupakan satu semenanjung yang berkeluasan antara sejuta batu persegi sehingga 1,300,000 juta batu persegi amatlah penting.

Tanah Arab merupakan sebuah semenanjung tetapi lebih dikenali juga sebagai Jaziratul Arab yang bermakna kepulauan Arab. Malah ada yang menyebutnya sebagai Shibhul Jazirah (Pulau Semenanjung).

Ini kerana Tanah Arab ini dikelilingi dengan tiga lautan, menyebabkan ada yang memanggil Tanah Arab ini sebagai pulau. Kalau diperhatikan, Jazirah Arab itu berbentuk semenanjung yang berbentuk empat persegi yang setiap sisinya tidak sama atau tidak sejajar.

Di sebelah barat bersempadan dengan Laut Merah, di sebelah selatan dengan Laut Arab dan Lautan Hindi, di sebelah timur dengan Teluk Arab (dahulu dikenali namanya Teluk Persia atau Parsi) dan hanya disebelah utaranya di sebelah utara dengan Gurun Iraq dan Gurun Syam (Gurun Syria).

Kedudukan unik Semenanjung Arab ini memberikan banyak keistimewaan apabila menjadi laluan penting bagi menghubungi benua ke benua, sama ada dari darat mahupun laut.

Bahagian barat lautnya menjadi penghubung ke benua Afrika manakala barat dayanya menjadi laluan ke benua Eropah. Bahagian timurnya, terutama melalui jalan darat dan laut untuk ke Timur Tengah dan Timur Jauh termasuk Asia Tenggara.

Maka tidak menghairankan jika kita mendapati zaman sebelum kelahiran Rasulullah menyaksikan Tanah Arab telah mempunyai kehidupan yang aktif. Begitupun faktor geografi Semenanjung Arab telah berjaya membebaskan mereka dari sebarang penjajahan sehinggalah pada detik hari ini.

Walaupun diapit oleh dua kuasa dunia, iaitu empayar Rom dan Parsi namun kedudukan geografi yang hanya dipenuhi belantara padang pasir Berjaya menjadi tembok penghalang kepada sebarang gerakan penjajahan.

Pada bab pertama buku Sirah Nabawiyyah, pembaca akan dijelaskan mengenai sejarah bangsa Arab, penduduk yang menghuni Semenanjung Arab mengikut salasilah asal kelahiran bangsa tersebut.

Pada asasnya, bangsa Arab merupakan golongan semitik yang paling besar di dunia sebagai menyangkal tuduhan bahawa bangsa Arab mengamalkan dasar anti semitik sedangkan pada hakikat sejarahnya kesemua mereka berketurunan dari Sam bin Noh (anak cucu keturunan Nabi Allah Adam).

Daripada ketiga-ketiga jenis bangsa Arab telah melahirkan pelbagai jenis puak dan kaum yang menghuni seluruh pelosok semenanjung Arab.

Ini membawakan kepada jurai keturunan kepada baginda Rasulullah SAW dan jurai keturunan kepada penduduk asal Mekah yang dikenali sebagai puak Jurhum.

Jika dikirakan terdapat beratus-ratus kaum dan puak Arab yang lahir dari tiga kumpulan Arab yang utama ini. Setiap dari mereka dapat dikenalpasti keturunan asal masing-masing ini termasuklah Bangsa Arab Aribah misalnya melahirkan dua kabilah utama iaitu Himyar dan Kahlan. Namun menyaksikan persaingan sesama mereka membawa kepada usir mengusir antara satu sama lain.

Puak Kahlan yang terusir dari Yaman setelah dikuasai oleh Himyar kemudiannya bertebaran ke kawasan lain dari empat kumpulan yang lahir puak ini, iaitu Al Azd, Lakh (dan Judham), Bani Tayyyi dan Kindah.

Begitupun yang jelas, kedatangan Nabi Ibrahim yang berasal dari Iraq, yang kemudiannya berhijrah ke Haran diikuti Palestin merupakan detik paling bersejarah kepada lahirnya kabilah yang menjadi keturunan besar kepada junjungan besar Nabi Muhammad.

Seperti yang diceritakan dalam buku ini. Nabi Ibrahim, seorang yang banyak mengembara ke segenap pelosok tanah Arab malah sehingga membawakan baginda sampai sehingga ke negara Mesir.

Di negara itu, Firaun yang memerintah ketika itu telah cuba membuat sesuatu yang tidak baik terhadap isteri Nabi Ibrahim, Sarah namun perbuatan tersebut gagal dengan bantuan Allah. Ini menyebabkan timbul kesedaran kepada Firaun mengenai kekuatan yang dimiliki oleh Sarah lalu beliau kemudiannya memuliakan isteri Nabi Ibrahim itu.

Lalu Firaun sanggup menyerahkan salah seorang anak perempuan, Hajar (Siti) kepada Sarah untuk dijadikan pelayan. Diriwayatkan Sarah kemudiannya menerima Hajar sebagai isteri yang baru kepada Nabi Ibrahim.

Mereka kemudiannya kembali semula ke Palestin dan hasil dari perkahwinan Ibrahim dan Hajar lalu mereka dikurniakan Nabi Allah Ismail. Namun kelahiran Ismail telah menimbulkan rasa cemburu kepada Sarah lalu Nabi Ibrahim dipaksa supaya meninggalkan Hajar.

Ibrahim pun membawa isterinya dan Ismail ke Hijaz lalu meninggalkan mereka di sebuah lembah yang kering kontang dan langsung tiada tumbuh-tumbuhan apatah lagi sumber air.

Nabi Ibrahim telah meninggalkan mereka dengan hanya berbekalkan kantung yang berisi buah kurma dan kendi atau bekas air. Baginda kemudiannya kembali semula ke Palestin.

Diceritakan ibunda Nabi Ismail, Hajar berseru kepada suaminya; "Hendak ke mana engkau, hai Ibrahim? Adakah engkau hendak tinggalkan kami berdua di lembah ini?"

Oleh kerana Ibrahim tidak menoleh, maka ibunda Ismail bertanya lagi: "Apakah Allah yang menyuruhmu berbuat begini?"

"Betul!" jawab Ibrahim. "Kalau begitu tentu Dia tidak akan mensia-siakan kami?" ujar ibu Ismail lagi.

Setelah beberapa hari berselang, maka habislah makanan dan air yang ditinggalkan Nabi Ibrahim. Akhirnya air susu Hajar juga menjadi kering untuk diberikan kepada Nabi Ismail yang masih bayi ketika itu. Lalu Hajar berlari-lari antara antara bukit Safa dan bukit Marwa, untuk melihat kalau-kalau ada orang yang dapat memberi mereka makanan dan minuman.

Tujuh kali dia berlari-lari itu, tetapi hasilnya menghampakan. Untuk memperingati peristiwa inilah maka orang yang mengerjakan ibadah haji akan berlari-lari tujuh kali antara dua bukit itu.

Berkat tidak berputus asa, akhirnya di celah-celah lembah yang kering dan kontang itu Allah cetuskan mata air hasil hentakan kaki Nabi Ismail yang menangis kehausan.

Perbuatan Hajar yang mengumpulkan air yang keluar dari celah tanah itu sambil menyebut zam, zam bermakna kumpullah, kumpullah ini yang membawa nama kepada pertemuan telaga zam-zam yang amat terkenal dan masih melimpahkan air sehingga ke hari ini tanpa pernah kering dan putus.

Kisah yang sangat terkenal ini, membuka lembaran baru kepada pembukaan Kota Mekah yang asalnya merupakan lembah yang sangat tandus.

Siapakan puak Jurhum dan apakah dugaan besar besar dan hebat yang terpaksa dilakukan oleh nabi Allah Ibrahim selepas baginda terpaksa meninggalkan Hajar dan Ismail di lembah itu.

Siapakah nama-nama berikut: Nabit atau Binalut, Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma, Duma, Misha, Hadah, Yatma, Yatur, Nafis dan Qayduman dalam sejarah awal Tanah Arab itu. Ikuti dalam keluaran seterusnya!
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz51VlBoFog

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan