ARKIB : 16/09/2008
KUALA LUMPUR - Malaysia mampu
mengintai peluang yang lebih cerah untuk layak ke pusingan akhir bola sepak
Piala Asia 2011 di Qatar apabila Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) memberikan
kelayakan automatik kepada salah satu lawannya dalam Kumpulan C, India.
AFC dalam kenyataan medianya,
semalam, menyebut: "India layak ke Piala Asia 2011 atas tiket sebagai
juara Piala Cabaran 2008 sekali gus cuma meninggalkan Uzbekistan, Emiriah Arab
Bersatu (UAE) dan Malaysia dalam Kumpulan C pusingan kedua kelayakan apabila ia
disusun semula."
India yang dibimbing Bob
Houghton dari England, menewaskan juara bertahan, Tajikistan 4-1 dalam
perlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Ambedkar, New Delhi, bulan lalu.
Keputusan oleh Jawatankuasa
Pertandingan AFC ini bererti kesemua pasukan kumpulan ini cuma akan bermain
empat perlawanan (liga timbal balik) berbanding enam bagi pasukan lain dalam
Kumpulan A, B, D dan E pusingan kedua Kelayakan Piala Asia yang bermula Januari
ini.
Malah sekiranya Malaysia mampu
mencapai kemenangan mengejut ke atas UAE dalam dua perlawanan di tempat sendiri
dan lawan, ia sudah memadai untuk menjamin kelayakan ke pusingan akhir di
Qatar.
Hanya dua pasukan teratas
setiap kumpulan kelayakan pusingan kedua ini, akan mara ke Qatar.
Namun UAE yang masih berjuang
merebut tiket ke pusingan akhir Piala Dunia Afrika Selatan 2010, pernah
menewaskan Malaysia 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Petaling Jaya,
tahun lalu.
Selain itu, kelebihan dari segi
ranking sesama mereka lebih menyebelahi UAE yang berada di ranking ke-109 dunia
dan ke-13 Asia sementara skuad negara bimbingan B. Sathianathan kini menduduki
ranking ke-161 dunia dan ke-29 Asia.
Malaysia turut dianggap sukar
menyaingi Uzbekistan (keenam Asia dan ke-59 dunia) yang pernah membelasah skuad
negara 5-0 dalam perlawanan Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia di Bukit
Jalil, tahun lalu.
Sementara itu ketiadaan India
dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2011 turut menggugurkan kesemua perlawanan
yang dijadualkan dalam kelayakan Kumpulan C termasuk menentang Malaysia pada 28
Januari 2009 dan 3 Mac 2010.
Turut layak ke Qatar secara
automatik ialah juara dan naib juara Piala Asia 2007, Iraq dan Arab Saudi di
samping pemenang tempat ketiga Korea Selatan, tuan rumah Qatar dan juara Piala
Cabaran 2010.
Malaysia pernah mara ke
pusingan akhir Piala Asia pada tahun 1976 serta 1980 dan tahun lalu secara
automatik selaku tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50PkDDPQo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan