Selasa, 12 Disember 2017

Akademi badminton ditubuh

ARKIB : 12/11/2008
Oleh Mohd. Taufek Razak dan ROHANI IBRAHIM
 
NAJIB Tun Razak dan Penasihat Majlis Sukan Australia, Hallam Pereira (kanan) membincangkan sesuatu ketika menghadiri Konvensyen Sukan Kebangsaan 2008 di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam mengumumkan penubuhan Akademi Badminton Kebangsaan di Cheras membabitkan kos kira-kira RM24 juta.

Beliau berkata, akademi yang bakal dilengkapi 30 gelanggang badminton, asrama dan gimnasium itu akan menjadi pusat kecemerlangan sukan berkenaan dengan melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.

''Apa yang penting bagi kita ialah untuk memperbesarkan lagi kumpulan (pool) pemain badminton negara sehingga lima atau enam kali ganda daripada jumlah yang ada sekarang.

''Kalau pool pemain kita tidak besar, kemungkinan untuk mereka dapat naik ke peringkat dunia adalah tipis. Dengan jumlah pemain yang lebih besar kemungkinan bagi pemain badminton negara sampai ke peringkat yang lebih tinggi adalah cerah,'' katanya.

Najib bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Sukan Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan untuk mendirikan sebuah Akademi Badminton Kebangsaan dikemukakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Konsep

''Saya difahamkan BAM sudah pun mempunyai sebidang tanah di Cheras dan konsep supaya akademi berkenaan menjadi sebuah pusat kecemerlangan sudah pun disediakan,'' ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib menyatakan beliau ingin melihat sukan badminton menyumbang pingat emas Sukan Olimpik yang pertama kepada negara.

''Saya juga ingin menjelaskan bahawa penubuhan Akademi Badminton Kebangsaan tidak ada kena-mengena dengan isteri saya walaupun beliau merupakan penaung BAM.

''Kerajaan memilih untuk menubuhkan Akademi Badminton Kebangsaan memandangkan skuasy bukanlah satu acara dalam Sukan Olimpik,'' katanya sambil menambah Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David sudah bergelar pemain nombor satu dunia.

Menurut Najib, kerajaan sudah lama memikirkan sokongan kepada sukan badminton yang selama ini memberikan kejayaan kepada negara.

''Oleh itu, penubuhan Akademi Badminton Kebangsaan yang diumumkan pada hari ini adalah tanda sokongan kerajaan kepada sukan tersebut,'' ujarnya.

Katanya, untuk melahirkan ahli sukan negara yang bertaraf dunia, semua pihak terutamanya ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz515f9In8t

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan