ARKIB : 15/01/2009
Impian Tun Razak untuk semua
kaum
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
(WARTAWAN UTUSAN)
SEMALAM, pada 33 tahun yang
lalu, negara kehilangan seorang tokoh pejuang bangsa yang dihormati dan
disegani kerana sumbangan dan jasa beliau terhadap pembangunan negara.
Tun Abdul Razak Hussein iaitu
Perdana Menteri Kedua Malaysia, meninggal dunia pada 14 Januari 1975 kerana
penyakit leukemia, ketika masih lagi memegang jawatan Perdana Menteri.
Kepulangan Tun Abdul Razak ke
Rahmatullah, meskipun selepas lebih tiga dekad tidak pernah memadam semangat
dan perjuangan negarawan ulung itu, sebaliknya ia kekal dikenang dan menjadi
kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
Terlalu banyak yang
diperkatakan mengenai sumbangan dan jasa Tun Abdul Razak terhadap pembangunan
sosioekonomi dan sosiopolitik negara, sesuai dengan peranan beliau yang menjadi
tulang belakang kepada pembentukan dan kemajuan Malaysia seperti yang dikecapi
hari ini.
Setanding dengan gelaran Bapa
Pembangunan Negara yang diberikan, Tun Abdul Razak meskipun dalam tempoh yang
singkat menjadi Perdana Menteri iaitu kira-kira tujuh tahun, tidak berkompromi
dengan usaha pembangunan negara. Fokus utama Allahyarham ialah membasmi
kemiskinan, kejahilan dan meningkatkan taraf kesihatan terutamanya di kalangan
penduduk luar bandar.
Matlamat itu juga melahirkan
pelbagai agenda kebangsaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rancangan Buku
Hijau dan banyak lagi yang diperkasakan menerusi parti Barisan Nasional yang
distruktur semula daripada Perikatan pada 1 Januari 1973.
Di pentas antarabangsa, Tun
Abdul Razak dengan kebijaksanaan diplomasi dan dasar luar negaranya menjadikan
suara Malaysia yang secara fizikalnya kecil didengari oleh kuasa-kuasa besar
dunia.
Idea beliau mencetus kepada
penubuhan ASEAN serta konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) selain Tun
Razak juga menjadi individu yang bertanggungjawab dalam rundingan menamatkan
konfrantasi Indonesia-Malaysia yang didalangi oleh Parti Komunis Indonesia
(PKI).
Namun ketika setiap daripada
sumbangan dan jasa Tun Abdul Razak diangkat sebagai pengabdian yang tinggi
kepada negara tercinta, berapa ramai daripada kita, terutamanya generasi
selepas merdeka yang benar-benar menghayati semangat perjuangan yang dirintis
oleh Tun Abdul Razak?
Sebagai pewaris kepada sebuah
bangsa dan tamadun yang banyak terbentuk daripada acuan pemikiran Tun Abdul
Razak, seharusnya setiap daripada anak Malaysia terdidik di dalam jiwanya untuk
meneruskan dan mengekalkan apa yang dipelopori oleh Tun Razak.
Salah satunya adalah usaha
memupuk semangat perpaduan di kalangan pelbagai kaum yang menjadi teras utama
kepada pembinaan sosial, ekonomi dan pembangunan negara.
Semangat Tun Abdul Razak dalam
menyatupadukan seluruh kaum bermula lebih awal iaitu ketika beliau menjadi
Menteri Pelajaran dengan memperkenalkan Penyata Razak 1956.
Agenda pendidikan ini
memberikan makna yang sangat besar kepada perpaduan pelbagai kaum apabila ia
berjaya menyatupadukan sistem pelajaran yang sebelumnya diamalkan secara pecah
dan perintah di bawah dasar penjajah.
Gagasan pemikiran Tun Abdul
Razak menerusi Penyata Razak 1956 itu juga meletakkan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama dalam usaha mewujudkan sebuah bangsa yang bersatu padu.
Dalam memupuk perpaduan antara
kaum juga, Tun Abdul Razak melancarkan 'Rukunegara' pada 31 Ogos 1970 yang
menjadi ideologi kebangsaan dengan harapan membentuk sebuah masyarakat dan
negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama dan progresif.
Seperti yang dijelaskan oleh
pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, Tun
Abdul Razak memikul tugas yang amat berat dalam mengembalikan keharmonian negara
terutamanya selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Ketika itu, beliau perlu
merangka dasar sosial, ekonomi dan politik yang boleh memacu negara kepada satu
bangsa yang maju dan pada masa yang sama aman serta bebas daripada konflik
etnik.
Tun Abdul Razak bagaimanapun
memperlihatkan kesungguhan yang tinggi dalam membentuk sebuah acuan perpaduan
rakyat pelbagai kaum yang sebenar menerusi pelbagai usaha seperti pembentukan
Jabatan Perpaduan Negara, Rukun Tetangga, pembentukan Rukun Negara dan banyak
lagi.
Namun, ia seolah-olah dicabar
ketika ini apabila kumpulan tertentu dengan sengaja memanipulasi sentimen etnik
untuk mendapat sokongan politik, populariti dan kepentingan tertentu dalam masa
yang singkat.
Begitu juga dengan usaha Tun
Abdul Razak menarik penglibatan semua golongan masyarakat dan kaum dalam
pengagihan kekayaan negara supaya rantaian kemiskinan dapat diputuskan.
Dengan pelbagai peluang ekonomi
yang dibuka oleh beliau dan diperhebatkan lagi oleh Perdana Menteri selepasnya,
bumiputera tidak lagi mempunyai alasan untuk terus hidup di bawah kepompong
kemiskinan.
Sebaliknya, dengan keinginan
dan kesungguhan yang tinggi, orang Melayu dan bumiputera berjaya merapatkan
jurang kekayaan, meskipun masih banyak usaha yang diperlukan untuk benar-benar
bersaing dengan kaum-kaum lain.
Sesuatu yang pasti, agenda
pembangunan dan ideologi Tun Abdul Razak telah membina satu landasan kepada
seluruh rakyat Malaysia untuk mencapai taraf kehidupan, pembangunan dan
perpaduan yang lebih baik.
Apa yang tinggal kini ialah
sejauh mana setiap daripada kita yang mengecapi kemewahan hidup daripada penat
lelah Tun Abdul Razak serta pemimpin lainnya, mahu mempertahankan dan
menjadikannya lebih baik untuk Malaysia.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz51TAdvAWq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan