ARKIB : 16/02/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PATUNG Hubal yang diperbuat
daripada batu akek merah dan berbentuk manusia tidak sahaja memulakan tradisi
penyembahan berhala di kalangan masyarakat Arab di zaman pra-Islam malah patung
itu turut 'berjaya' merendahkan taraf pemikiran masyarakat itu.
Tidak cukup mereka mengadu
nasib dan hal kepada berhala, masyarakat Arab itu juga melakukan pelbagai cara
untuk meramal nasib.
Iaitu animisme atau khurafat
yang begitu kuat berakar umbi dalam pemikiran dan kuat menjadi amalan.
Antara yang popular, mereka
meramal nasib dengan azlam, iaitu anak panah yang belum dipasangkan bulunya
yang digunakan ketika mereka hendak bermusafir, berkahwin dan sebagainya
berdasarkan.
Jika anak panah yang dilepaskan
mengenai perkataan "ya" atau "tidak" semua itu nanti akan
mempengaruhi perbuatan mereka.
Mereka juga percaya kepada
kepakaran individu yang dikenali sebagai kahin, arraf dan munajjim, iaitu bagi
menentukan perbuatan dan cara gaya hidup mereka tanpa sebarang keraguan untuk
mereka mempercayainya.
Ini apabila Kahin merupakan
individu yang mempunyai kepakaran memberitahu mengenai berita-berita alam
semesta yang akan berlaku pada masa akan datang. Kahin juga mendakwa mengetahui
banyak perkara ghaib dan rahsia sebagaimana yang diberitahu oleh jin yang
menjadi 'sahabat' si Kahin itu.
Arraf pula tidak ubahnya
seperti pawang atau bomoh yang tempat mengadu kepada pelbagai masalah termasuk
bantuan mencari barang yang hilang atau dicuri.
Munajjim pula yang meramalkan
nasib seseorang itu menerusi ilmu-ilmu bintang. Namun yang lebih teruk lagi
masyarakat Arab Jahiliah ini sangat mempercayai Al Yiyarah iaitu menganggap
sial. Sehinggakan jika perjalanan mereka dipintas atau dihalang oleh binatang
liar seperti ular dan sebagainya mereka menganggap ada kesialan dan menyebabkan
mereka tidak meneruskan perjalanan.
Segala kepercayaan karut dan
amalan-amalan khurafat dan tahyul oleh masyarakat Arab ini menjadi penyakit
yang sukar disembuhkan. Menyebabkan turunnya banyak ayat dari Allah agar
ramalan atau merenung nasib diharamkan dan menjadi sebahagian ajaran penting
Islam agar umat ini tidak mempercayai khurafat.
Namun kehadiran agama lain
terutamanya, Kristian (Nasrani atau Masihi), Yahudi, Majusi dan Sabiah
memberikan lagi kepelbagaian rupa dan wajah masyarakat Arab.
Kemasukan agama-agama itu dan
menjadi anutan kepada sebahagian masyarakat Arab dengan sebahagian lagi
mengekalkan amalan menyembah berhala di samping ada sebahagian lagi
mempertahankan agama Ibrahim dan sebagainya menjadi naluri mempercayai tuhan
ada dalam setiap sanubari masyarakat ini.
Sesuatu yang agak positif
walaupun sering terpesong. Mereka menyedari keterbatasan sebagai manusia yang
memerlukan yang paling di atas untuk menyempurnakan kehidupan dan memberikan
kepada mereka perlindungan.
Agama Kristian berada di tanah
Arab khususnya tertumpu di Wilayah Yaman akibat yang dijajah oleh Habsyah (kini
Sudan) dengan bantuan tentera Rom pada tahun 340 (SM). Ini menyebabkan gerakan
penyebaran Kristian turut meresapi wilayah itu terutama ke Najran.
Dikatakan mereka tertarik
memeluk agama Masihi atas faktor seorang lelaki Kristian yang bernama Pabimion
yang dikatakan mempunyai pelbagai karamah menyebabkan ajakan beliau untuk
memeluk Kristian dapat diterima oleh penduduk Najran.
Apabila Yaman kemudiannya di
bawah pemerintahan Yusuf Dhu Nuwas tragedi menimpa umat Kristian. Semasa
pemerintahan Dhu Nuwas inilah sebagai seorang penganut Yahudi beliau telah
bertindak ganas membunuh penganut-penganut Kristian Najran. Iaitu setelah
seruan beliau supaya mereka memeluk agama Yahudi enggan diterima oleh penduduk
Najran.
Akibat enggan, beliau telah
menggali beberapa batang parit yang besar yang dinyalakan api di dalamnya.
Beliau kemudiannya menghumban penganut agama Nasrani itu ke dalam parit yang
sedang menyala-nyala api. Lalu meratah sehingga hangus setiap mereka, tanpa
mengira mangsa, termasuk lelaki, wanita, kanak-kanak dan orang tua habis
kesemuanya dibakar di dalam parit itu.
Dalam peristiwa ini dikatakan
seramai 20 hingga 30,000 penganut Kristian mati di tangan penguasa kejam yang
beragama Yahudi ini. Peristiwa disebut dalam surah al Buruj ayat 14, melalui
firman Allah yang bermaksud; "Celakalah kaum yang menggali parit...".
Akibatnya, saki baki pengikut
Kristian yang ada mengadukan tragedi yang menimpa mereka itu kepada
pemimpin-pemimpin atau Maharaja Rom supaya membalas perbuatan Yahudi itu.
Sekali lagi bala tentera dari Habsyah yang terdiri daripada hampir 70,000
armada lautnya menyerang Yaman buat kali kedua. Akhirnya mereka menawan wilayah
itu pada tahun 525 (SM).
Raja Najashi (Habsyah)
meletakkan Ariyat sebagai pemerintah Yaman sehinggalah beliau berjaya dibunuh
oleh Abrahah, yang merupakan salah seorang dari panglima perangnya.
Abrahah yang kemudiannya
mendapat perkenan daripada Raja Najashi kemudiannya membina bangunan yang
hampir serupa seperti Kaabah. Ia bagi mengalihkan tumpuan orang ramai ke Kaabah
di Kota Mekah kepada binaannya itu. Namun usahanya gagal kerana penduduk Arab
tetap tidak berganjak dari tumpuan yang mereka berikan kepada Kaabah.
Ini menyebabkan Abrahah
mengepalai bala tentera yang besar, iaitu terdiri dari tentera bergajah
(Ashabul Fil - Angkatan Bergajah) untuk menyerang Kota Mekah. Peristiwa ini
seperti yang diketahui umum, Abrahah bukan sahaja gagal menawan malah kalah
dengan teruk.
Selain Hasbyah, pengaruh
Kristian turut datangnya dari Mesir dan Syria (Syam) ke Tanah Arab.
Namun seperti yang diceritakan
kisah sepupu Siti Khadijah Khuwailid (isteri Rasulullah) iaitu Waraqah Bin
Naufal. Dia memeluk Kristian dan menjadi seorang Kristian yang terpelajar.
Beliau yang mengesahkan mengenai kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagaimana beliau
temui dalam Kitab Injil.
Walaupun dia adalah saudara dan
penasihat rohani Nabi Muhammad, dia tidak pernah memeluk agama Islam. Selepas
kematiannya, Nabi Muhammad dikatakan telah bermimpi melihat Waraqah berpakaian
putih dan mengambilnya sebagai tanda Waraqah selamat di syurga.
Dalam masa yang singkat, iaitu
di zaman pra-Islam itu, tidak dinafikan Kristian berjaya menjadi agama utama di
Timur Tengah. Namun dikatakan ajarannya telah dipenuhi ajaran yang diperbaharui
mengikut kepentingan pemimpin agama dan pengikutnya. Ini yang telah melahirkan
kelompok-kelompok Kristian yang saling bertentangan antara satu sama lain,
iaitu Katolik (Ortodoks), Anglican, Methodist dan Protestan.
Ramai yang keliru tentang
fahaman Kristian yang benar terutamanya mereka yang tidak berpeluang membaca
Al-kitab (gabungan kitab Taurat, Mazmur dan Injil) untuk mengkaji isu-isu yang
diperdebatkan
Ikuti bagaimana Yahudi
melebarkan pengaruhnya sehingga terdapat banyak kabilah di Tanah Arab yang
memeluk Yahudi. Adakah benar mereka Yahudi sedangkan agama itu merupakan agama
bangsa (Bani Israel).
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz51oXPlFd9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan