Ahad, 17 Disember 2017

Menanti 'Solahuddin al-Ayyubi' kedua

ARKIB : 23/01/2009
Oleh W. RAHIMAH DRAMAN
(peserta misi menjejaki perjuangan Solahuddin Al-Ayyubi Aman Palestin Malaysia di Asia Barat)
SEJARAH sering kali berulang kerana sejarah tidak pernah berbohong. Cuma manusia yang selalu alpa.

Sejarah bukan untuk dibukukan dan disimpan dalam arkib atau sekadar di catat dan diulang sebut tanpa dihayati dan dijadikan iktibar serta panduan dalam kehidupan.

Tamadun yang cemerlang kerana khalifah dan umara yang berkuasa banyak belajar dengan mengambil iktibar dan teladan daripada sejarah.

Manusia yang berjaya lazimnya adalah yang mengkaji, belajar meneliti dan sentiasa ingat akan sejarah yang mencorak hidupnya.

Tetapi paling malang jika manusia buta sejarah. Buta sejarah bangsa keturunan dan asal usul boleh dimaafkan, kerana asal insan dari satu iaitu Adam dan Hawa yang Allah ciptakan dari tanah.

Tetapi jika buta sejarah agama kepercayaan, akidah anutan dan perjuangan Rasulullah SAW serta khalifah terdahulu, tidak akan ada maafnya.

Kerana itulah yang paling merugikan sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Namun itulah yang banyak berlaku kini.

Islam hanya satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah SWT. Allah berfirman yang mafhum-Nya: Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. (ali-'Imran: 85).

Namun sejarah agama dan akidah yang digaris al-Quran serta al-Sunnah semakin jauh dari umat muslim. Maka itulah nilai iman terhakis dan wujud masalah dengan musibah silih berganti.

Kedajalan zionis Yahudi Israel adalah ulangan sejarah manusia nafsu syaitan yang buas, ganas dan kejam ke atas sesama insan bergelar Islam. Palestin terus bermandi darah oleh kedayusan tentera rejim zionis Yahudi Israel di bumi Palestin yang dijajah sekarang.

Jika kekejaman zionis Kristian Eropah di bumi ambia itu dapat dihapus dan dinyah oleh tokoh pejuang terbilang Islam tahun 1192, Solahuddin al-Ayyubi, apakah ada Solahuddin kedua abad ini akan muncul menghancurkan zionis Yahudi Israel yang gila darah dan sedang bermaharajalela di bumi Palestin sekarang?

Islam kini benar-benar memerlukan Solahuddin era moden untuk menyatukan ummah dan mengembalikan nilai iman serta membetulkan akidah bagi menyelamatkan Palestin dan membebaskan Al-Aqsa serta Baitul Maqdis dari penjajahan rejim Yahudi Israel.

Roh, semangat dan jiwa Solahuddin diperlukan oleh Muslim agar Islam kembali mengetuai urusan dunia agar dihormat dan ditakuti golongan kafir dan puak kufar yang bernafsu dan bertuhankan syaitan.

Sejarah kehebatan Solahuddin adalah jelmaan dari ketokohan khalifah terulung Islam di zaman Nabi dan para sahabat, Saidina Umar al-Khattab.

Kebijaksanaan dan pandangan jauh Solahuddin dalam membina semula daulah Islamiah selepas jatuhnya keagungan tamadun Islam belum ada tandingan hingga kini.

Kehebatannya menyusun strategi sama ada dalam peperangan mahu pun ketika mengurus tadbir pemerintahan dan penyatuan ummah terus jadi sejarah.

Namun keberanian dalam perjuangan, ketokohan memimpin dan kewarakan dalam melaksanakan tuntutan beragama Solahuddin tidak ditonjolkan kepada khalayak.

Solahuddin al-Ayyubi adalah nama gelaran. Nama sebenar dan nasab keturunannya ialah Solahuddin bin Najmuddin Ayub bin Syazi bin Marwan al-Kurdi.

Berasal dari puak Kurdis dari kabilah paling besar dan sangat mulia serta tinggi keimanan iaitu Rawadiyah, dari golongan al-Hazyaniah yang menetap di Duwain bersempadankan Wilayah Azerbaijan.

Dilahirkan di Tikrit, Baghdad tahun 1137 (532 Hijrah), Solahuddin yang bapanya pernah memerintah kota itu sebelum dihalau ketika dia masih kecil oleh Raja Baghdad, Sultan Majuhid Bahruz adalah pejuang dan mujahid sejati era pasca moden.

Berhijrah ke Mosul

Berhijrah ke Mosul bersama bapanya, Najmuddin Ayub, keluarganya disambut baik oleh pemerintah di situ, Imaduddin Zinki kerana jasa bapanya sewaktu memerintah Kota Baghdad.

Sejarah tokoh dan panglima terbilang selepas malapnya tamaddun Islam itu bagaimanapun tidak diuar-uarkan oleh dunia dan umat Islam sendiri.

Sebagai tokoh, pejuang, mujahid dan khalifah paling hampir kepada ummah kini, roh dan semangat Solahuddin penting untuk ditiup ke sanubari Muslim kini.

Terutama ketika rejim Yahudi Israel sedang bermaharajalela mengganas dengan membunuh serta mengusir rakyat Palestin sesuka hati sejak tahun 1948 hingga hari ini dengan bangsa Arab yang berpecah belah.

Solahuddin kedua diperlukan bagi menyatukan bangsa Arab yang berpecah dan berpuak untuk bersekongkol dengan puak kafir kini. Golongan kufar Kristian sememangnya ngeri dengan nama dan bayangan Solahuddin Al-Ayyubi.

Perang Salib yang berlarutan hampir 200 tahun (1096-1192) akan terus menghantui kuasa penjajah zionis Kristian Eropah. Sebab itulah ketokohan Solahuddin tidak dikaji dan dikembangkan oleh sarjana orientalis barat.

Malangnya, umat Islam juga turut 'menyembunyikan' kepahlawanan tokoh terbilang awal abad moden itu daripada generasi kini.

Menyatupadukan ummah (Arab) dan menegakkan Islam serta mengembalikan hak Muslim ke atas Masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis daripada penaklukan zionis Kristian Eropah adalah misi dan hasil perjuangan tinggalan Solahuddin yang hanya ada dalam lipatan sejarah Islam.

Menyedari besar dan agungnya ketokohan serta sumbangan Solahuddin dalam menyatu ummah dan menegakkan Islam serta kewarakannya, Aman Palestin Malaysia (APM) tampil menyelusuri jejak-jejak perjuangannya untuk didedah kepada umum.

Dengan matlamat membangkitkan semangat Solahuddin al-Ayyubi ke jiwa generasi muda Muslim negara ini dan dunia Islam seluruhnya, APM merealisasikan usha itu melalui program Rehlah Jejak Solahuddin pada 2 hingga 11 Disember lalu.

"Kami menyahut cabaran selepas salah seorang pejuang Palestin di Jordan, Sheikh Abu Habib, menyuarakan gagasan itu dua tahun lalu.

"APM terpanggil bagi merealisasikan idea itu selepas tiada pihak tampil menyambut gagasan beliau," kata Ahli Lembaga Pengarah APM yang berpusat di Shah Alam, Selangor, Hashimah Saleh.

Menurut beliau, APM mengambil risiko kerana pentingnya ada ikon Islam tulen paling hampir dengan generasi zaman ini untuk dijadikan idola dalam perjuangan Muslim sekarang.

Hashimah antara tunggak utama APM dalam menyingkap sejarah perjuangan Solahuddin untuk didedahkan kepada umat Muslim.

Menjejaki tinggalan kubu-kubu kota tinggalan perjuangan Solahuddin dan tenteranya melalui Rehlah Jejak Salahuddin berlangsung ketika kemuncak 'jihad' dalam ibadah Haji musim 1429.

Semangat pengorbanan

Mengambil semangat pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s serta ketabahan jiwa rakyat Palestin menghadapi penyiksaan rejim zionis Yahudi Israel, 13 peserta di mana lapan adalah wanita diketuai Mohd. Nadzmaimi Mohd. Nadzir, selaku Pengarah program tersebut.

Perjalanan 10 hari meninggalkan keluarga dan kemeriahan Hari Raya korban di tanah air, melalui perjalanan hingga melewati 24 jam sehari untuk pergi dan balik ke satu-satu lokasi tinggalan Solahuddin merentasi gurun dan laluan bergunung ganang ke pendalaman Jordan dan Syria di jalan berliku yang sempit bukan perkara mudah.

Sedangkan muncung M-16, pelancar roket dan mortar di kubu kawalan yang sedia di petik picu ada di mana-mana dengan kelibat kereta kebal berkeliaran terutama di kawasan bersempadankan Palestin dan sekitar Beirut.

Adakalanya pula, makan dan minum perlu 'diqada dan jamak' sebagaimana amalan ibadah solat ketika bermusafir.

"Alhamdulillah usaha terlaksana, selepas beberapa kali tertangguh kerana melibatkan soal keselamatan selain wang ringgit dan komitmen serta sokongan telus mereka yang benar-benar prihatin," kata Hashimah.

Menyelusuri jejak perjuangan Solahuddin perlu menjelajah seluruh kawasan bersempadankan Palestin di Jordan, Syria dan Lubnan.

Ketiga-tiga negara ini adalah laluan utama dan benteng strategik tentera Solahuddin ketika menyerang dan menawan penjajahan tentera Salib untuk mengembalikan keadilan dan hak Islam ke atas Aqsa serta Baitul Maqdis..

Di Jordan sahaja terdapat tidak kurang 40 buah kubu kota (qol'ah) yang dibina semula oleh Solahuddin selepas menawannya daripada tentera Salib, di samping membina banyak lagi kubu-kubu pertahanan baru bagi mengukuhkan kekuatan Islam.

Kubu kota di banjaran pergunungan atas puncak bukit di pendalaman daerah Lattakia, Syria, di mana puncak bukit batu granit setinggi menara berkembar Petronas di belah untuk membina jalan oleh pemerintahan Bizantin era empayar Rom yang dijajah tentera Salib, turut di tawan dan dibina semula oleh tentera Solahuddin.

Kubu di pergunungan Lattakia adalah kota pertahanan terbesar (lima hektar) dalam sejarah pembinaan kubu-kubu pertahanan era tamadun Rom yang berjaya 'diislamkan' oleh Solahuddin, di samping kubu kota Karak di utara Jordan yang menghadap Laut Mati dan menjadi benteng paling hadapan untuk menawan semula Al-Aqsa dan Baitul Maqadis dari penjajahan zionis Kristian.

bukti ketinggian iman

Sebuah masjid serba lengkap dibina oleh Solahuddin di setiap kubu kota yang diduduki dan dibinanya semula adalah bukti ketinggian iman serta kewarakan beliau dalam perjuangannya.

Kehebatan seni bina kubu-kubu yang turut dilengkapi dengan pusat pentadbiran, perniagaan dan penjara itu utuh hingga kini dan tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana seni bina era moden.

Semua kubu yang ditawan dan dibina semula oleh tentera Solahuddin berada di kawasan strategi, atas bukit di banjaran pergunungan jauh ke pendalaman dan menghadap ke arah kiblat pertama Islam, Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Ini kerana misi perjuangan Solahuddin semata-mata untuk membebas dan mengembalikan hak Al-Aqsa dan tanah haram Baitul Maqdis kepada pemilik mutlak, Islam.

Tentera kaum Arab dari pelbagai suku puak bangsa dan warna kulit bergabung atas kerja keras Solahuddin menyatukan mereka yang berpecah belah, bermula tahun 569 Hijrah (1173 Masihi), iaitu setelah lima tahun dia dilantik memimpin Mesir.

Mereka berjihad melalui semangat Solahuddin dan berpegang pada firman Allah SWT dalam mafhum-Nya: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan besar (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (al-Anfaal: 41).

Bertahun-tahun Solahuddin berusaha menyatukan wilayah-wilayah Islam Arab yang berpecah ketika itu, bagi memerangi penjajahan zionis Kristian dalam tiga Perang Salib sebelum dapat mengembalikan Al-Aqsa dan Baitul Maqdis ke pangkuan Islam.

Ketika tentera salib hampir memusnahkan Masjid Al-Aqsa dengan lautan darah dari pembunuhan lebih 5,000 umat Muslim Palestin, bagai 'singa lapar' Solahuddin dan tenteranya bangkit menamatkan kedajalan zionis Kristian hampir 200 tahun itu (1096/489H - 1192/588H), pada tahun 1192.

Ribuan tentera Salib diketuai raja-raja Eropah ketika itu, (Raja Jerman, Frederick I Barbarossa, Raja Perancis, Philip II Augustus dan Raja England, Richard The Lion Heart) mati serta tunduk kepada perjanjian damai yang diputuskan oleh Solahuddin pada bulan Syaaban 588 Hijrah (1192 Masehi).

Namun kejayaan perjuangan Solahuddin yang benar-benar berlandaskan al-Quran dan al-sunnah serta apa yang menjadi amalan Rasulullah SAW tidak terus dinobatkan.

Hingga akhirnya rejim zionis Yahudi Israel pula bertindak menjajah bumi Palestin dengan membunuh serta mengusir Muslim bermula tahun 1948 hingga hari ini.

"Diharap jihad kecil AMP bagi mendedahkan perjuangan tentera Solahuddin menyelamatkan Palestin, Aqsa dan Islam ini akan menghidupkan semula roh serta semangat Solahuddin Al-Ayyubi di sanubari umat Muslim.

"Ia bagi mengembalikan semula hak Islam ke atas Aqsa dan Baitul Maqdis dari penjajahan zionis Yahudi Israel pula," kata Mohd. Nadzmaimi.

Menurutnya, semangat perjuangan yang tidak pernah kenal penat dan putus asa Solahuddin dalam jihad mempertahankan Islam inilah yang mahu dipupuk oleh APM ke jiwa setiap Muslim hari ini
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz51WeKqViG

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan