ARKIB : 12/11/2008
Oleh Raja Syahrir Abu Bakar
ABDUL AZIZ ZAINAL memeriksa
perbarisan serta memberikan tabik hormat kepada panji-panji yang diarak.
PERBARISAN Hari Ulang Tahun
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-75 di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur
pada Khamis lalu nyata meriah sekalipun ketumbukan itu baru-baru ini menerima
berita yang agak merunsingkan.
Lebih tepat, berita yang
dimaksudkan adalah mengenai penangguhan pembelian 12 unit helikopter Eurocopter
EC725 yang dijangka hanya mula diperoleh pada tahun 2011, seperti diumumkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Abdullah yang juga Menteri
Pertahanan berkata, penangguhan itu terpaksa dilakukan dalam keadaan negara
mengalami krisis ekonomi global, memberi ruang peruntukan itu disalurkan kepada
sesetengah segmen masyarakat yang lebih memerlukan.
Dengan tenang, Panglima ATM,
Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal pada sidang akhbar selepas perbarisan itu
memberitahu, pesawat-pesawat Nuri yang digunakan dalam perkhidmatan Tentera
Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih berkeadaan baik dan boleh digunakan sehingga
2015.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri
Azizan Ariffin yang turut hadir lantas mempersetujui kenyataan Abdul Aziz tadi
malahan mereka berdua sependapat tempoh tersebut masih boleh dipanjangkan
sekiranya ATM, khususnya TUDM meneruskan kerja-kerja penambahkbaikan ke atas
Nuri dari semasa ke semasa.
Penangguhan ini (Eurocopter)
tidak menjejaskan state of readiness ATM.
Mencipta sejarah
Selama ini kita telah
menjalankan tugas dengan baik menggunakan Nuri dan ia juga digunakan sewaktu
kita menghadapi ancaman Komunis, apatah lagi hari ini keadaan negara aman,''
kata Abdul Aziz yakin.
Sementara itu, dua lagi ketua
perkhidmatan iaitu Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail
Jamaluddin dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk
Seri Abdul Aziz Jaafar turut mempamerkan keyakinan di wajah masing-masing
sepanjang sidang akhbar berlangsung.
Terdahulu dalam ucapannya,
Abdul Aziz memberitahu, ATM mencipta sejarah apabila muncul sebagai
satu-satunya angkatan tentera di dunia yang berjaya mengakhiri ancaman
pemberontakan bersenjata.
Beliau menambah, sejak ATM
menyertai misi pengaman ke Congo, Afrika pada tahun 1960 menerusi Pertubuhan
Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), pasukan itu telah terlibat dalam tujuh misi
pengaman serta 23 misi pemerhati serta staf tentera membabitkan kira-kira
20,1000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
Beliau yakin kesemua pembabitan
ini menandakan pengiktirafan dunia yang berpanjangan terhadap angkatan tentera
negara, khususnya daripada PBB.
Nyata, perolehan lain-lain aset
strategik ATM seperti pesawat pejuang Sukhoi, kapal peronda generasi baru,
kapal selam Scorpene, kereta kebal Pendekar (PT-91M) dan sistem pelancar roket
berganda, Astros mampu mewujudkan elemen cegah rintang yang menggerunkan
terhadap negara.
Sementara itu dalam
perutusannya sempena sambutan Jubli Intan ATM baru-baru ini, Muhammad Ismail
mengakui suasana dunia dalam abad ke-21 ini akan terus bergolak dengan ancaman
dari dalam dan luar negara yang sukar untuk ditafsirkan.
Sesungguhnya, Tentera Darat
sentiasa mengikuti perkembangan strategik ini dan secara proaktif telah
merangka satu rancangan komprehensif untuk membangunkan sebuah angkatan darat
yang boleh dibanggakan.
Kita sedang bergerak
berlandaskan satu visi untuk menjadikan Tentera Darat sebuah angkatan yang
mempunyai kebolehan serta keupayaan untuk menangani pelbagai misi dalam sesuatu
masa,'' ujarnya.
Abdul Aziz pula dalam
perutusannya tidak ragu-ragu apabila menyatakan kehadiran kapal selam pertama
negara, (Kapal Diraja) KD Tunku Abdul Rahman yang dijangka pada awal tahun
depan bukan sahaja mampu mempengaruhi keadaan keselamatan maritim serantau,
malah menjadi cegah rintang kepada musuh yang cuba mengancam kepentingan
negara.
Dengan perolehan kapal selam
ini (dan kapal selam kedua KD Tun Abdul Razak yang dilancarkan Oktober lalu),
ditambah dengan aset-aset strategik sedia ada seperti helikopter Super Lynx dan
Fennec sebagai force-multiplier', ia pasti meningkatkan keupayaan peperangan
TLDM dengan signifikan'' tegasnya.
Lebih bermakna, TLDM baru-baru
ini dengan kerjasama Tentera Darat dan TUDM berjaya membebaskan anak-anak kapal
dua kapal pengangkut negara yang menjadi tawanan dua kumpulan lanun berasingan
di Teluk Aden, Somalia.
Malah sehingga artikel ini
ditulis, terdapat dua lagi kapal milik TLDM yang sedang belayar di laluan
berkenaan untuk mengiringi dan menjamin keselamatan kapal-kapal dagang negara
daripada sebarang ancaman.
Azizan dalam amanatnya pula
berbangga sebagai pemerintah tertinggi TUDM kerana beliau bukan hanya merayakan
sambutan Jubli Emas TUDM tahun ini, malahan juga sambutan Jubli Intan ATM.
TUDM baru sahaja menyambut
ulang tahunnya yang ke 50 pada tahun ini. Walaupun usianya masih muda jika
dibandingkan dengan penubuhan ATM, namun TUDM telah mula menunjukkan
kematangannya.
Sungguhpun demikian,
kewibawaan TUDM dalam melaksanakan tanggung jawab menjamin keselamatan negara
sudahpun terserlah semenjak mula-mula ia ditubuhkan lagi.
Sewaktu menentang pengganas
komunis semasa darurat, kuasa udara yang dijunjung oleh TUDM telah dilaksanakan
dengan jayanya melalui misi-misi udara dan juga misi-misi bantuan kepada
pasukan sahabat seperti Tentera Darat, TLDM dan juga polis,'' katanya.
Nyata keempat-empat panglima
itu yakin dengan keupayaan masing-masing dan berita penangguhan pembelian
helikopter tersebut langsung tidak merencatkan fokus mereka.
Berbalik kepada perbarisan
tadi, selain menerima tabik hormat daripada anggota yang terlibat, Abdul Aziz
serta warga ATM lain turut memberikan tabik hormat kepada panji-panji yang
diarak.
Beliau turut menyempurnakan
upacara simbolik pengisian kapsul masa yang mengandungi harapan, amanat dan
cadangannya untuk dibuka oleh panglima angkatan tentera pada 16 September 2033
nanti, sempena 100 tahun penubuhan ATM.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_01.htm#ixzz515ktuk2X
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan