Khamis, 14 Disember 2017

Cai Lin lebur rekod 20 tahun

ARKIB : 20/12/2008
KHOO Cai Lin meraikan kejayaan mengungguli acara 400m gaya bebas bersama rekod baru kebangsaan pada Sukan Universiti ASEAN di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.


KUALA LUMPUR – Perenang negara, Khoo Cai Lin memecah rekod kebangsaan berusia 20 tahun dalam laluan merangkul pingat emas keempatnya pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Malah keseluruhannya, skuad renang Malaysia menambah enam lagi emas, mencatat dua rekod kebangsaan dan memecah lima rekod kejohanan pada hari kedua terakhir, semalam.
Cai Lin memadam rekod 400 meter gaya bebas wanita 4 minit 17.86 saat yang dilakukan Nurul Huda Abdullah di Hong Kong pada 1988 selepas mencatat kepantasan 4:16.96s.
Ini merupakan emas keempat Cai Lin pada temasya ini selepas turut memenangi acara 100, 200 dan 4x100m gaya bebas. Malah, ia juga adalah rekod kebangsaan keduanya selepas turut mencatat rekod baru dalam 200m gaya bebas.
Cai Lin berjaya mengenepikan saingan Methawee Metheesart dari Thailand di tempat kedua (4:39.16s) dan perenang Filipina, Sherlynne Nicole Santiago di tempat ketiga (4:39.56s)
Menurut Cai Lin, dia sangat gembira dapat memecahkan rekod dalam acara yang diidamkan, terutama selepas dua tahun mencuba.
“Selepas memecah rekod ini saya rasa lebih bersemangat dan berazam untuk beraksi dengan baik pada kejohanan lain,’’ katanya.
Atlet yang berasal dari Selangor itu pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Beijing Ogos lalu dalam acara 400m gaya bebas wanita.
Namun cabarannya dalam temasya terbesar sukan dunia itu hanya di peringkat saringan dengan catatan 4:23.37s.
Sementara itu Marellyn Lambert Lie menjadi perenang kedua memecah rekod kebangsaan semalam dengan mencatat masa 27.89s dalam acara 50m kuak kupu-kupu wanita.
Empat lagi pingat emas Malaysia pula disumbangkan oleh Chui Lai Kwan (100m kuak lentang wanita), Daniel Bego (400m gaya bebas lelaki), 4x100 wanita gaya bebas wanita dan 4x100 lelaki gaya bebas.
Sementara itu Presiden Kesatuan Renang Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau sangat bangga dengan pencapaian perenang negara kerana bukan sahaja memenangi emas tetapi sudah menyatakan persediaan untuk beraksi dalam Sukan SEA di Laos tahun depan.
“Acara renang juga menjadi penyumbang utama pingat emas dalam kejohanan ini dan tidak menghampakan peminat yang datang menyaksikan mereka beraksi,’’ katanya dalam satu sidang akhbar semalam.
Hari ini acara renang akan menawarkan lagi lapan pingat emas dan ia adalah terakhir bagi Sukan Universiti ASEAN ke-14






© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan