ARKIB : 16/01/2009
KUALA LUMPUR - Pasangan Wong
Pei Tty-Chin Eei Hui melakar sejarah dalam sukan badminton tanah air apabila
muncul pemain wanita Malaysia pertama, baik perseorangan mahu pun beregu
dimahkotakan sebagai pemain No. 1 dunia, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.
Meskipun pada awalnya
menganggap hajat bergelar No. 1 sudah lebur selepas gagal mara ke final Terbuka
Malaysia minggu lalu, namun ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan
Badminton Dunia (BWF) semalam menceritakan sebaliknya.
Pei Tty-Eei Hui berjaya
mengetepikan pasangan utama dunia sebelum ini, Du Jing-Yu Yang selepas
mengumpul 65,449 mata, hanya 1,359 mata meninggalkan beregu China itu.
Walaupun tidak dapat dipastikan
berapa lama kedudukan tersebut mampu bertahan, kerana mereka tidak beraksi di
Terbuka Korea yang sedang berlangsung, ia menjadi tonik paling mujarab buat
pasangan ini dalam usaha mereka memburu satu lagi sejarah menjadi beregu wanita
pertama Malaysia melangkah ke perlawanan akhir Seluruh England di Birmingham,
Mac ini.
"Secara jujur, perasaan
saya ketika ini biasa saja. Saya tidak pernah terlalu berharap untuk bergelar
No. 1 dunia kerana sedar kemampuan kami belum setanding pasangan utama sebenar,
Du Jing-Yu Yang.
"Pada saya ia (No. 1)
hanya gelaran yang tidak menggambarkan kekuatan sebenar. Saya belum anggap kami
yang terbaik di dunia dan kami masih ada jurang dengan beregu terbaik,'' kata
Pei Tty merendah diri.
Sementara itu Datuk Lee Chong
Wei mengukuhkan kedudukan perseorangan lelaki No. 1 dunia hasil kejayaan mempertahankan
gelaran Terbuka Malaysia.
Chong Wei semakin menjauhkan
diri dengan pemain utama China, Lin Dan selepas mengumpul 79,549 mata; 4,809
mata meninggalkan juara Olimpik dan dunia itu.
Beregu lelaki, Fairuzizuan
Tazari-Zakry Abdul Latif kekal sebagai beregu No. 1 Malaysia selepas menghuni
ranking keempat dunia, manakala Koo Kien Keat-Tan Boon Heong naik satu anak
tangga ke ranking kelima.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51Ts3v6dX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan