ARKIB : 26/01/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SEBAGAI kaum yang licik, Yahudi
gemar mengelirukan sejarah supaya segala kebenaran kononnya memihak kepada
mereka. Mereka turut menjadikan sirah para nabi sebagai mangsa penipuan dan memutarbelitkan
fakta. Sebagaimana pelbagai tanggapan yang mereka lemparkan terhadap Nabi
Muhammad SAW, sejarah Nabi Ibrahim a.s. terlebih dahulu mereka kelirukan.
Ini apabila sejarah Nabi
Ibrahim yang mendapat julukan Khalil Ullah (Sahabat Allah) itu dianggap penting
sebagai titik mula bagaimana mereka kononnya menjadi bangsa atau entiti
terpilih oleh Allah. Dikenali sebagai Patriakh Abraham yang merupakan migran Nabi
Ibrahim ke tanah air Yahudi, iaitu Canaan (atau Kanaan yang dipercayai dikenali
sebagai Palestin kini) dari Ur Chaldea (Harran dipercayai terletak di Turki).
Dalam kitab Perjanjian Lama
(Taurat dan Injil) kononnya diceritakan mengenai Nabi Ibrahim telah diangkat
oleh Yahudi sebagai nabi mereka, telah diminta oleh Allah untuk meninggalkan
tempat asal baginda (Mesopotamia Lama) menuju ke suatu tempat yang tidak pasti
bagi memulakan masyarakat baru di sana.
Ketika dalam perjalanan mereka
menuju ke Tanah Terpilih (Chosen Land) itu, Abram (sebelum dikenali sebagai
Abraham) bersama isterinya, Siti Sarah singgah dan tinggal sementara di Harran
sehinggalah mereka akhirnya tiba di Kanaan. Ini sebagaimana yang telah
diwahyukan oleh Tuhan bahawa Kanaan menjadi pilihan dan anugerah buat Ibrahim
yang dikatakan membawa agama Yahudi itu.
'Sejarah' ini dijadikan bukti
oleh Yahudi bahawa mereka mempunyai hak terhadap bumi Palestin kerana pada
asalnya nabi mereka, merupakan orang pertama yang menemui Palestin itu. Malah sanggup
merampas daripada penduduk Islam Palestin dengan alasan sebagai bangsa yang
terpilih, tuhan memilihkan bumi Palestin itu sebagai milik kepada Yahudi
sahaja. Inilah yang cuba dilakukan oleh Yahudi itu sehingga kini.
Kekejaman selama 22 hari
baru-baru ini dengan membunuh penduduk Palestin dan memusnahkan bumi Gaza
adalah bukti usaha yang tidak pernah putus mereka dengan berdalilkan pada
faktor 'sejarah' Nabi Ibrahim itu.
Sedangkan 'sejarah' itu
ternyata antara rekaan yang paling jahat Yahudi kerana terbukti melalui ayat
67-68 dalam surah Ali 'Imran, Allah berfirman yang bermaksud: Ibrahim bukanlah
seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani akan tetapi dia adalah seorang
yang lurus lagi menyerahkan diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia
dari golongan yang musyrik. Sesungguhnya orang yang paling dekat kepada Ibrahim
adalah mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad serta orang-orang
yang beriman kepada Muhammad dan Allah adalah pelindung semua mereka yang
beriman.
Begitupun Nabi Ibrahim bin
Aaazar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rau' bin Falij bin Aaabir bin Syalih bin
Arfakhsyad bin Saam bin Nuh a.s. benar-benar Sahabat Allah apabila banyak
pengorbanan dilakukan olehnya bagi menegakkan kebenaran dan menegakkan agama
Allah.
Sedari Raja Namrud
memerintahkan agar Ibrahim dibakar hidup-hidup dan kemuncaknya terpaksa
meninggalkan Siti Hajar dan bayi mereka, Nabi Allah Ismail di sebuah lembah
yang sangat tandus. Namun hikmah di sebaliknya, meninggalkan isteri dan anaknya
itu dan penemuan telaga Zam Zam benar-benar membuka lembaran sejarah dengan
bermulanya komuniti pertama di bumi Mekah itu.
Malah diceritakan air Zam Zam
itu menyebabkan burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu. Sehingga
menjadi perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan
sedang berkhemah di sekitar Mekah. Menerusi pengalaman mereka, jika terdapat
burung-burung yang berterbangan di udara bermakna unggas tersebut berlegar di
kawasan yang terdapat sumber air.
Setelah diperiksa mereka begitu
gembira kerana terdapatnya telaga Zam Zam dan kehadiran Siti Hajar serta Nabi
Ismail itu sendiri. Mereka segera berpindah dan meminta kebenaran Siti Hajar
untuk menetap bersama di lembah itu. Tentu sahaja permintaan itu diterima oleh
Siti Hajar kerana beliau kini mempunyai jiran-jiran setelah sekian masa hanya
tinggal berdua bersama puteranya itu.
Puak Jurhum menurut buku Sirah
Nabawiyyah ini hanya disebut sebagai penduduk pribumi Mekah yang terdiri
daripada pelbagai kabilah. Namun dalam peristiwa penemuan telaga Zam Zam ini,
generasi Jurhum yang tinggal bersama Siti Hajar merupakan generasi yang ketiga
berasal kabilah dari negeri Yaman. Mereka sebelum ini hidup berpindah randah di
sekitar lembah-lembah Mekah.
Sejak itu, Lembah Mekah berubah
wajah dengan mempunyai kelompok komuniti yang tidak sahaja memulakan kehidupan
'bandar' malah sampai ke pengetahuan Nabi Ibrahim yang ketika itu berada di
Palestin. Baginda yang kehairanan dengan perkhabaran itu lalu memutuskan untuk
melihat sendiri, lebih-lebih lagi mengenangkan nasib Siti Hajar dan putera
mereka yang pernah ditinggalkan di Lembah itu.
Alangkah terkejut baginda
melihatkan perbezaan ketara berbanding ketika meninggalkan Siti Hajar dahulu.
Malah melihatkan Nabi Ismail yang dapat membesar dengan baik menyebabkan Nabi
Ibrahim menyedari Allah telah membayar nilai pengorbanan tinggi beliau setelah
sanggup meninggalkan anak dan isterinya itu.
Setelah beberapa kali
mengunjungi Siti Hajar dan Nabi Ismail pada suatu hari ketika si anak masih
kanak-kanak atau sesetengah riwayat menyebut Ismail ketika itu sudah menginjak
remaja, Nabi Ibrahim didatangi mimpi daripada Allah supaya baginda menyembelih
satu-satunya anaknya itu. Walaupun mimpi itu bermakna satu perintah yang wajib
dipatuhi namun sebagaimana manusia biasa yang lainnya, Nabi Ibrahim tidak dapat
menyembunyikan kesedihan yang teramat sangat dengan mimpi itu.
Dikorbankan
Kelahiran Nabi Ismail merupakan
putera yang diharap-harapkan oleh Nabi Ibrahim sejak berpuluh tahun lamanya dan
tiba-tiba kini perlu dikorbankan di tangannya sendiri.
Namun Ibrahim perlu membuktikan
bahawa cinta baginda kepada Allah perlu melebihi cinta terhadap anak, isteri,
harta dan dunia ini. Sebagai nabi atau pesuruh Allah baginda perlu melakukan
pengorbanan besar ini supaya dijadikan contoh teladan sebagai hamba-Nya yang
taat.
Namun menyembelih anak dengan
tangannya sendiri, sesungguhnya teramat berat. Lalu baginda menyuarakan kepada
Ismail mengenai mimpinya itu dan tanpa diduga anaknya itu seolah-olah seperti
tahu apa yang sedang berperang dalam fikiran bapanya itu.
Dipendekkan cerita, pedang yang
tajam tiba-tiba bertukar tumpul ketika Nabi Ibrahim hendak menyembelih leher
anaknya itu, malah Ismail bertindak menukar posisi badannya agar wajahnya tidak
dilihat oleh ayahnya supaya beliau dapat disembelih kerana bimbang bapanya
sebenarnya tidak sampai hati melakukan perintah dari Allah itu.
Namun sekali lagi, Nabi Ibrahim
berjaya melepasi satu lagi ujian dengan Allah menukarkan Nabi Ismail kepada
seekor kambing kibas sebagai menebus pengorbanan yang cuba dilakukan oleh
hamba-Nya yang taat dan patuh pada suruhan Allah itu.
Kejadian tersebut merupakan suatu
mukjizat Allah yang menegaskan bahawa perintah pergorbanan Ismail itu hanya
suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail akan sejauh mana cinta dan taat
mereka kepada Allah. Ternyata keduanya lulus dalam ujian yang sangat berat itu.
Peristiwa ini kemudiannya menjadi sunah kepada setiap umat Islam supaya
melakukan ibadat korban tiap kali melakukan ibadat Haji dan sambutan Hari Raya
Aidiladha.
Nabi Ismail kemudiannya
membesar dan baginda turut mempelajari bahasa Arab dari kabilah Jurhum. Baginda
kemudiannya dikahwinkan dengan seorang wanita daripada kabilah itu.
Diceritakan dalam buku ini
mengenai kisah Nabi Ibrahim mengunjungi anaknya itu berikutan selepas
kemangkatan isterinya Siti Hajar. Ketika sampai, Ismail tiada di rumah lalu
tanpa dikenali oleh isteri Ismail, Ibrahim bertanyakan kepada menantunya
mengenai kehidupan mereka. Lalu si isteri mengadu bermacam-macam kesusahan dan
kesempitan hidup mereka.
Lalu ketika bertemu dengan Nabi
Ismail, Nabi Ibrahim berpesan supaya anaknya itu menukar ambang pintu rumahnya
itu. Ismail yang mengerti maksud bapanya itu lalu menceraikan isterinya dan
berkahwin lain dengan puteri Ketua Kabilah Jurhum, Mudah bin Amru.
Pada ketika yang lain, Ibrahim
yang datang semula lalu bertanya kepada menantu yang baru mengenai kehidupan
mereka semasa ketiadaan Nabi Ismail. Lalu si menantu memuji Allah atas apa yang
mereka miliki. Nabi Ibrahim begitu berpuas hati dan meminta Ismail supaya tidak
perlu menukar ambang pintu rumahnya itu.
Ismail tersenyum kerana
mengerti dan hasil perkahwinan baginda dengan isteri keduanya itu, mereka
dikurniakan anak lelaki seramai 12 orang. Iaitu nama-nama seperti yang pernah
disebutkan sebelum ini, Nabit atau Binalut, Qaydar, Adbail, Mibsham, Mishma,
Duma, Misha, Hadah, Yatma, Yatur, Nafis dan Qaydum.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz51ZB6klvC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan