Sabtu, 16 Disember 2017

Penangan Azizul, Rizal


 

ARKIB : 18/01/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
syedutusan@yahoo.com
AZIZULHASNI AWANG

KUALA LUMPUR - Jaguh negara Azizulhasni Awang dan Mohd. Rizal Tisin (gambar kiri) menggegar di pusingan keempat Kejohanan Trek Piala Dunia di Beijing, China, semalam apabila masing-masing muncul juara dalam acara keirin dan 1 kilometer ujian masa individu.Azizul menobatkan dirinya selaku jaguh acara keirin apabila mencatat kejuaraan kedua di kejohanan yang sama selepas memenangi acara yang sama di pusingan kedua di Melbourne, November lalu.

Azizul yang mewakili pasukan profesional Bike Technologies Australia (BT Team), meninggalkan pelumba Perancis, Gregory Bauge di tempat kedua dan Teun Mulder dari Belanda dalam acara final.

Mohd. Rizal pula melakar kejayaan sulung di kejohanan tersebut apabila muncul juara 1 km ujian masa dengan catatan 1 minit 02.268 saat.

Sebelum layak beraksi di final dekat Beijing, Azizul mempamerkan kayuhan cemerlang apabila memenangi saringan pertama pusingan pertama, mengalahkan Simon Van Velthooven dari New Zealand dan pelumba Iran, Mahmoud Parash.

Azizul kemudiannya menduduki tempat kedua dalam saringan pertama pusingan kedua di belakang Gregory Bauge sebelum bangkit mengalahkan pelumba Perancis itu pada perlumbaan akhir.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab ketika dihubungi, semalam berkata, kejayaan yang dilakar Azizul amat membanggakan selepas menempa kejayaan yang sama di Melbourne November lalu.

Jelasnya, lebih membanggakan kejayaan tersebut dilakar walaupun Azizul mengalami masalah kesihatan kerana dilaporkan demam empat hari sebelum berlepas ke Beijing.

''Ini merupakan kemenangan istimewa buat kita semua kerana ia adalah kejayaan kedua Azizul dalam kejohanan trek Piala Dunia musim 2008/2009.

''Walaupun situasinya berbeza kerana Azizul mewakili Malaysia sewaktu di Melbourne, kemenangan di Beijing ini tetap kejayaan yang amat bermakna buat negara walaupun Azizul mewakili kelab dari Australia,'' katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara Josiah Ng sekadar menduduki tempat ke-13 dalam acara keirin.

Pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa pula di tempat kelapan dalam acara akhir ujian masa 500 meter apabila mencatat kepantasan 0.36. 199 saat

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51UL5F5rJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan