ARKIB : 14/12/2008
Oleh Ku Seman Ku Hussain
ORANG cerdik pandai selalu
berkata, sejarah adalah guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu
yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam
yang boleh dimanfaatkan untuk menongkah masa depan. Andaian yang mengatakan
sejarah tidak relevan dengan masa kini dan akan datang adalah disebabkan
persepsi sempit terhadap sejarah. Andaian ini tercetus apabila sejarah difahami
sebagai himpunan tarikh-tarikh dan peristiwa-peristiwa luput yang terpisah
dengan realiti sosio-budaya dan politik semasa.
Kerana tidak memahami sejarah
juga misalnya, ada sesetengah pihak menafikan banyak perkara yang terkandung
dalam Perlembagaan Persekutuan. Kewujudan Perlembagaan Persekutuan itu satu
sejarah besar negara ini. Malah kerana tidak menghayati sejarah juga membuatkan
sesetengah pihak menanggapi sesuatu isu yang melibatkan kaum terkeluar daripada
kerangka sejarahnya. Mereka tidak melihat sejarah sebagai asas untuk memberi
dan menerima dalam sesuatu perkara. Maka asas perpaduan di negara berbilang
kaum seperti Malaysia adalah memahami, menghayati dan memanfaatkan sejarah.
Dalam konteks ini langkah
Kementerian Pelajaran menimbang untuk menjadikan sejarah sebagai satu subjek
khusus adalah suatu yang proaktif. Pengumuman menterinya, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein untuk memberikan penekanan subjek sejarah di peringkat
sekolah rendah dilihat satu anjakan besar untuk melahirkan generasi yang tahu
menghormati dan menghayati sejarah negara.
Ketika ini subjek sejarah agak
terpinggir disebabkan tidak menjadi subjek khusus. Malah di peringkat sekolah
rendah, sejarah hanya diperkenalkan pada tahun empat. Sementara di peringkat
menengah pula pendekatan pembelajaran sejarah kelihatan tidak dinamik, masih
dengan pendekatan menghafal tarikh-tarikh dan peristiwa tertentu kecuali di
peringkat tingkatan enam.
Banyak tanggapan sebelum ini
bahawa subjek sejarah gagal menarik minat pelajar berbanding subjek lain.
Tanggapan ini barangkali ada benarnya kalau pendekatan tidak diubah supaya
lebih interaktif dan mengesan wujudnya elemen-elemen dinamik daripada sejarah.
Sekarang ini seorang pelajar boleh memilih sama ada belajar bersungguh-sungguh
atau sambil lewa terhadap subjek sejarah. Ini kerana subjek ini tidak
memberikan apa-apa kesan terhadap keputusan dalam peperiksaan khususnya di
peringkat menengah.
perpaduan
Kita kena mengakui bahawa
sejarah sesebuah negara adalah akar tunjang sesuatu bangsa. Kerana itu subjek
sejarah sememangnya kunci perpaduan dan persafahaman antara kaum di negara ini.
Tetapi agak malang apabila tidak ada pihak yang bangkit dan membetulkan
pendekatan pengajaran sejarah supaya tidak dianggap sebagai "melihat
kembali benda-benda mati."
Dengan anjakan besar yang
dibayangkan oleh Hishammuddin, banyak sejarah kegemilangan silam serta
peninggalan khazanah intelektual orang-orang Melayu akan ditampilkan kepada
generasi muda masa kini. Pengajaran subjek sejarah mesti bermula di peringkat
awal yakni di sekolah rendah. Semua ini bertujuan mengubah persepsi bahawa
sejarah bukan belajar tentang "benda-benda mati" atau menghafal
tarikh-tarikh yang tidak relevan dengan keperluan semasa.
Mempelajari subjek sejarah
adalah menyelongkar atau menyusuri lapis demi lapis kebijaksanaan silam.
Kegagalan mengenal sejarah yang berkaitan dengan negara sendiri akan
melunturkan kecintaan kepada tanah air. Definisi subjek sejarah bukan saja
mengingati beberapa tarikh penting, peristiwa tertentu malah tokoh- tokoh yang
bertanggungjawab melakukan anjakan pemikiran kepada bangsanya pada zaman
lampau.
Sejarah mengenai orang Melayu
dan dunia Melayu bukanlah sekadar kebangkitan dan kejatuhan empayar Sri Vijaya,
Majapahit, Sumatera-Pasai, Melaka atau Johor-Riau. Sejarah Melayu mengenai
sumbangan para intelektual silam yang terus relevan hingga kini.
Maka persepsi tentang
pembelajaran dan pengajaran subjek sejarah boleh di atasi sekiranya kita
kembali menoleh sumbangan intelektual tokoh-tokoh seperti Munshi Abdullah yang
menulis Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah pada zaman Stamford
Raffles. Jangan lupa, Munshi Abdullah pernah dianggap oleh sesetengah orang
Melayu sebagai "Budak Raffles" kerana mengkritik sikap sesetengah
orang Melayu. Munshi Abdullah dianggap pengkhianat Melayu kerana kritikannya
yang tajam itu.
Tetapi sejarah juga membuktikan
Munshi Abdullah bukan pengkhianat apabila intelektual Melayu selepasnya
daripada kalangan nasionalis menulis perkara yang sama mengenai masalah orang
Melayu.
Dalam konteks yang lebih luas,
subjek sejarah perlu bebas daripada kepungan fahaman politik yang sempit. Ini
merugikan kerana disebabkan berbeza fahaman politik, sesetengah tokoh dalam
sejarah bangsa dipadamkan dari senarai khususnya setiap kali ulang tahun
kemerdekaan negara.
mempertahankan
Kementerian Pelajaran mesti
mempertahankan langkah menjadikan sejarah sebagai subjek khusus di peringkat
rendah dan juga menengah. Kita tidak mahu ada kalangan generasi muda yang lebih
kenal sejarah negara lain daripada tanah air bertuah tempat mereka berteduh
ini. Kalangan bukan Melayu khususnya mesti diperjelaskan bahawa mengkaji
sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada melihat sejarah orang
Melayu. Sejarah negara adalah sejarah Melayu yang bersifat kebangsaan yakni
meliputi semua kaum. Ini sama dengan perjuangan kemerdekaan yang digerakkan
oleh nasionalis Melayu, tetapi ini perjuangan kebangsaan untuk semua kaum.
Sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada tiga perkara; orang Melayu,
institusi Raja-Raja Melayu dan agama Islam.
Kalau kembali kepada sejarah,
sudah tentu tidak wujud prasangka antara kaum di negara ini kerana sejarah telah
menggariskan hak masing-masing tanpa berkorban apa-apa atau mengambil apa-apa
daripada orang lain. Apabila mereka tahu sejarah asal usul masing-masing, tidak
timbul lagi sekian banyak tuntutan yang tidak masuk akal.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_10.htm#ixzz51EF8zfoS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan