Isnin, 18 Disember 2017

Malaysia terima kapal selam pertama negara

ARKIB : 29/01/2009

Abdul Aziz Jaafar menyematkan lencana Pegawai Memerintah pada baju Pegawai Memerintah KD Tunku Abdul Rahman pada majlis penyerahan kapal selam itu di Toulon, Perancis, Sabtu lalu. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasminya menerima kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman pada satu majlis di Toulun, Perancis, Isnin lalu.

Semalam, KD Tunku Abdul Rahman juga mencatatkan sejarah apabila ditauliahkan sebagai kapal selam pertama yang menyertai perkhidmatan TLDM.

TLDM dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, kedua-dua majlis berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Perancis di Toulun dengan disaksikan Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar.

Penerimaan diketuai Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Nazri Siron dan disertai Ketua Pengarah Kejuruteraan, Laksamana Pertama Khairudin Khalid dan Pasukan Projek Angkatan Kapal Selam TLDM.

Katanya, DCNS pula diwakili Pengarah Projek Scorpene, Didier Husson dan Pengarah Urusan Limbungan Navantia Cartagena, Sepanyol, Menuel Filgureira.

“Majlis penerimaan yang berlangsung dengan penuh istiadat tentera laut itu diadakan di dalam kapal selam berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelayaran pulang KD Tunku Abdul Rahman itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh krew kapal selam TLDM yang mahir dan terlatih.

“Pada majlis itu, Panglima Tentera Laut mengucapkan tahniah kepada krew tersebut kerana berjaya melepasi semua rintangan sehingga berjaya melayakkan diri menjadi krew kapal selam pertama negara,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, kapal selam berkenaan dijangka tiba di tanah air pada Julai depan serta berpangkalan di Markas Angkatan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, Sabah.

Kapal selam Scorpene jenis tempur konvensional itu dibina di Cherbourg, Perancis oleh DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia dari Sepanyol.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_03.htm#ixzz51b9eo29Q

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan