ARKIB : 26/12/2008
Oleh Raja Syahrir Abu Bakar
(Yang mengikuti lawatan
Jawatankuasa Keluarga
Dato Jenaton ke Medan
dan Batu Bara, Sumatera,
Indonesia baru-baru ini)
SEJARAH pembukaan Pulau Pinang
perlu dikaji semula bagi memastikan kesahihan dakwaan bahawa orang Melayu
terlebih awal meneroka pulau itu berbanding Francis Light pada 1986.
PERKARA berkaitan sejarah
seperti memperbetulkan' fakta, acap kali mendapat perhatian kerajaan-kerajaan
di dunia, media, ahli politik, keturunan sesuatu bangsa, sehingga ke peringkat
individu berkaitan subjek yang dibahaskan.
Sering kali juga, sesebuah
diskusi sejarah menarik minat orang perseorangan yang merasakan diri terlibat
dengan subjek itu, sekurang-kurangnya berdasarkan sentimen-sentimen tertentu.
Dalam kes-kes yang ekstrem,
pertikaian sesuatu fakta sejarah membawa kepada pertempuran angkatan-angkatan
tentera kerajaan berjiran, seperti yang tercetus di antara Kemboja dengan
Thailand beberapa bulan lalu.
Konflik berkenaan merupakan
rentetan daripada perbalahan puluhan tahun berhubung pemilikan sebuah kawasan
hutan dekat Candi Preah Vihear, di sempadan kedua-dua negara.
Pertikaian itu hidup semula
selepas kuil purba berkenaan diisytihar sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia oleh
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)
tahun ini.
Berdasarkan contoh itu, pembaca
mampu membayangkan betapa sensitif serta kompleksnya usaha untuk menyelesai dan
membuktikan sesuatu fakta sejarah.
Kerana itu juga, para sejarawan
serta pihak berkuasa dipercayai menangguhkan penyelesaian sesuatu tuntutan tersebut,
sehingga kadang-kala terlupa untuk mengkajinya kembali.
Tetapi bagi Profesor Dr. Ahmad
Murad Merican, kerumitan merungkaikan sesuatu fakta sejarah adalah perkara yang
mencabar tahap intelek dan ketahanan fizikal seseorang, serta mengujakan.
Lebih penting, memperbetulkan
fakta sejarah adalah usaha untuk meletakkan sesuatu kepada haknya, katanya
kepada Mega di Batu Bara, baru-baru ini.
Mengakui bahawa sejarah
bukanlah bidang kemahirannya, pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Petronas itu tidak gentar untuk berhadapan dengan
tanggapan yang mengatakan beliau tidak layak memperkatakan sesuatu isu sejarah.
Saya telah mengkaji sejarah
pembukaan Pulau Pinang sejak akhir tahun 1990-an lagi dan kaedah (mengkaji)
yang saya gunakan adalah sama dengan sejarawan lain.
Apa yang saya dapati, pulau
(Pinang) itu telah didiami oleh Dato Jenaton Bin Raja Labu sejak tahun 1749,
tegasnya.
Justeru beliau mendakwa,
catatan sejarah bahawa Pulau Pinang dibuka oleh kelasi Inggeris, Francis Light
pada 1786 tidak boleh diterima.
Menurutnya, sejarah itu adalah resipi
British yang menidakkan pembukaan Pulau Mutiara tersebut oleh orang Melayu.
Keluarga Dato Jenaton
Dengan bukti-bukti sejarah
seperti buku, artikel dan salasilah, Ahmad Murad memberitahu, Dato Jenaton
berasal dari Pagar Ruyung di Sumatera, Indonesia, sebelum beliau berpindah pula
ke Batu Bara yang juga terletak di Sumatera.
Menurutnya, pasangan Dato Jenaton
dengan isteri pertamanya, Ambun Suri dari Pagar Ruyung tidak dikurniakan anak.
Kemudian, apabila berhijrah ke
Baru Bara, Dato Jenaton berkahwin pula dengan Tuan Gadih atau Cik Puang, anak
pembesar di sana dan dikurniakan seorang anak, tambahnya.
Ahmad Murad mendakwa, selepas
berhijrah dan membuka Pulau Pinang pada tahun 1749, Dato' Jenaton melalui
perkahwinan ketiganya dengan seorang wanita berketurunan Arab-China, seterusnya
dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.
Namun, satu perkara yang
dikesalkan Ahmad Murad dan seorang lagi pengkaji sejarah Pulau Pinang serta
salasilah Dato Jenaton, Fazil Shuhaimi Talib, nama isteri ketiga individu yang
membuka Pulau Pinang seperti didakwa mereka itu sehingga kini masih belum
ditemui.
Namun kita akan terus mengkaji
dan mendapatkan nama individu wanita, isteri ketiga Dato Jenaton itu kerana
beliau merupakan asal-usul keturunan Dato Jenaton di Malaysia, termasuk kami,
ujar Fazil.
Ahmad Murad dan Fazil yang juga
sepupunya boleh dikatakan dua orang kuat dalam mencari, melengkap dan
memperbetulkan sejarah Dato Jenaton, seterusnya membawa kepada penubuhan
sebuah persatuan tidak berdaftar dinamakan Jawatankuasa Keluarga Dato' Jenaton
pada tahun 2002.
Berdasarkan salasilah yang
dikemukakan kepada penulis, mereka berdua merupakan generasi keenam waris Dato
Jenaton hasil perkahwinan dengan isteri ketiganya di Pulau Pinang sekitar
pertengahan 1950-an.
Salasilah itu juga mencatat
beberapa nama besar waris Dato Jenaton di sini seperti Menteri Wilayah Persekutuan,
Datuk Seri Zulhasnan Rafique ; Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air
Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail dan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan
Malaysia, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh.
Rozali merupakan pengerusi
jawatankuasa keluarga itu, sementara presidennya pula ialah Rahmah Abdul Aziz
dan Ahmad Murad serta Fazil merupakan ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.
Akhir bulan lalu, seramai 30
orang daripada kira-kira 500 ahli persatuan itu di Malaysia telah ke Batu Bara
untuk berjumpa dan bermesra dengan waris Dato Jenaton di sana.
Waris-waris Dato Jenaton dari
Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu juga berkesempatan melawat
pusara, bangunan serta tinggalan yang mempunyai kaitan dengan individu itu atau
warisnya.
Di sana, perancangan perjalanan
program lawatan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan wakil keluarga Dato
Jenaton sebelah Indonesia, M. Yusuf Morna atau dikenali dengan panggilan
Buyung.
Fazil dan Buyung bertemu di
Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor secara serius pada tahun 2005 selepas
Fazil beberapa kali melawat Sumatera untuk mencari waris Dato Jenaton di sana.
Setelah kami diperkenalkan
melalui seorang kawan, saya dengan Fazil pada awalnya bertengkar membincangkan
identiti Dato Jenaton.
Ini kerana kajian kami (waris
Jenaton di Indonesia) mendapati individu yang dimaksudkan bernama Jenan dan
bukannya Jenaton seperti didakwa Fazil namun kami akhirnya sepakat bahawa
individu yang dicari adalah orang yang sama, jelas Buyung
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz51FGLhxVF
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan