Isnin, 5 Jun 2017

Sukan badminton terhutang budi Sidek



ARKIB : 18/10/2005
KUALA LUMPUR - Sukan badminton tanahair terhutang budi kepada Datuk Sidek Abdullah Kamar yang telah memainkan peranan besar dalam pembangunan badminton negara sejak awal 1980 an.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya lewat pagi semalam dianggap `Bapa Badminton Moden' kerana kejayaan membimbing anak-anaknya seperti Misbun, Razif, Jalani dan Rashid bergelar jaguh dunia.

Bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada badan badminton tanah air itu kerana beliau tidak lokek memberikan pandangan dan nasihat.

Malah, dua anak lelaki Allahyarham, Misbun dan Rashid kini menjadi tenaga penting dalam kejurulatihan BAM, manakala Razif pula pernah menyandang jawatan ketua jurulatih pada awal 1990an.

``Setiap kali bertemu, tidak sah kalau Datuk Sidek pulang tanpa memberi nasihat. Beliau memang tidak lokek memberi pandangan kerana beliau mahu berkongsi pengalamannya untuk pembangunan badminton,'' kata setiausaha BAM, Gangga Rao.

``Pada saya Datuk Sidek merupakan bapa badminton moden. Beliau memainkan peranan besar ketika mengembalikan kecemerlangan badminton tanahair di awal 1980 an menerusi anak-anaknya.

``Kejayaan besar buat keluarga Sidek adalah ketika Malaysia merampas Piala Thomas pada 1992 hasil sumbangan Razif, Jalani serta Rashid. Malah, ketiga-tiga beradik ini juga telah menyumbang pingat kepada negara pada Sukan Olimpik.''

Menurut Gangga, kejayaan Allahyarham membawa anak-anaknya menjadi jaguh dunia menjadikan beliau bapa contoh dan mendorong ibu bapa lain untuk menggalakkan anak mereka memilih badminton sebagai karier.

``Beliau telah membuktikan betapa seseorang yang datang dari latar belakang orang biasa juga boleh mencapai tahap dunia tetapi apa yang lebih penting, Datuk Sidek merupakan bapa contoh yang telah memberi keyakinan kepada orang ramai untuk menggalakkan anak mereka bermain badminton.''

Sementara itu, bekas setiausaha BAM, Datuk Mohd. Al Amin Majid berkata, pemergiaan Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada sukan badminton tanahair.

Kecekalan dan kegigihan beliau membesarkan anak-anaknya sehingga menjadi jaguh dunia sesuatu yang meninggalkan kesan besar kepada sukan badminton tanahair.

``Sukar untuk melihat orang segigih Allahyarham. Keazamannya amat tinggi dan beliau adalah contoh kepada pembangunan sukan badminton tanahair.

``Walaupun saya telah lama meninggalkan sukan badminton tetapi saya tetap berasa kehilangan dengan perginya Datuk Sidek. Saya dapat bayangkan bagaimana kehilangan yang dirasai oleh warga sukan tanahair lain, terutamanya badminton,'' katanya.

Kesedihan kedua-dua pemimpin dan bekas pemimpin BAM itu turut dikongsi oleh jaguh veteran, Roslin Hashim yang dianggap seperti sebahagian daripada anggota keluarga Sidek.

Roslin dan dua adiknya, Muhammad Hafiz dan Muhammad boleh dikatakan membesar dalam `keluarga Sidek', apatah lagi mendapat sentuhan bimbingan anak-anak Allahyarham seperti Misbun, Rashid dan Rahman.

Malah, Hafiz muncul juara Seluruh England 2003 di bawah bimbingan Misbun, Roslin juga pernah bergelar pemain nombor satu dunia dan kini menjalani latihan bersama Kelab Nusa Mahsuri milik Jalani tetapi dibimbing oleh Rahman.

Hasil perkahwinannya dengan Datin Rukinah Sulaiman, yang meninggal dunia 30 Januari, 2003, pada 1954, Allahyarham dikurniakan lapan orang anak Rozita, Mohd. Misbun, Mohd. Razif, Mohd. Jalani, Abdul Rahman, Abdul Rashid, Zamaliah dan Mohd. Shahrizan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j7dFyXjE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan