ARKIB : 09/08/2006
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD
ALBAKRI
SYEIKH Sya'rawi di dalam
tafsirnya berkata: Ayat ini untuk menyucikan dan membersihkan masalah
penghadapan Muhammad s.a.w. dan umat Islam ke Kaabah, ganti dari Bait
al-Maqdis.
Ini perkara yang dinasakhkan di
dalam al-Quran. Allah menghendaki di sini untuk memberi inayah yang selayaknya
kerana ia sudah pasti menjadi punca keraguan dan perdebatan yang hangat dari
setiap yang menentang dan ingkar kepada Islam.
Orang-orang bodoh (yang kurang
akal pertimbangan) akan berkata: Apa sebabnya yang menjadikan orang Islam
berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Katakanlah wahai
Muhammad: Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka kemana sahaja kita
diperintahkan Allah mengadapnya wajiblah kita mematuhi-Nya); Allah yang
memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan
yang lurus. (al-Baqarah: 142)
Firman Allah s.w.t: Orang-orang
bodoh (yang kurang akal pertimbangan) akan berkata iaitu golongan yang lemah
akalnya. Asal perkataan bodoh atau safah pada bahasa Arab memberi maksud ringan
dan nipis. Dikatakan baju yang yang safih apabila jahitan atau tenunannya nipis
atau cepat rosak. Angin yang safah bermaksud bertiup dan condong. Yang
dimaksudkan lemah disini ialah lemah daripada mendapati kebenaran sekalipun
cerdik dari segi keduniaan.
Bagi menjelaskan lagi maksud
bodoh dinyatakan di sini beberapa pendapat ulama. Seperti yang disebut dalam
Kamus Dewan Edisi Ketiga, bodoh membawa maksud sukar mengerti atau mempelajari
sesuatu, bebal, dungu, atau tolol. Seterusnya dinaqalkan pendapat Nabi
Muhammad, sahabat, ulama dan cerdik pandai:
Pertama: Sabda Rasulullah yang
bermaksud: Dan orang yang lemah (bodoh) siapa yang mengikut hawa nafsunya, dan
bercita-cita ke atas Allah dengan berangan-angan.
Hadis ini diriwayatkan oleh
Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Hakim, al-Qudaie dan al-Askari.
Kedua: Abu Hazim, Salamah bin
Dinar pernah ditanya oleh Khalifah Sulaiman bin Abd. al-Malik beberapa
persoalan, antaranya: Siapakah yang paling bodoh di kalangan manusia? Jawabnya:
Lelaki yang mengikut hawa nafsu sahabatnya sedangkan sahabatnya zalim, maka
beliau menjual akhiratnya dengan dunia yang lainnya.
Ketiga: Pujangga berkata, orang
yang bodoh adalah orang yang memerlukan orang untuk mencelanya, orang yang
fakir adalah orang yang menganggap sedikit terhadap sesuatu yang banyak, dan
orang yang buta adalah orang yang tidak boleh melihat cela dirinya.
Keempat: Masruq berkata: Cukup
seseorang menjadi bodoh, sombong dengan amalnya.
Kelima: Pujangga berkata: Tanda
kebodohan itu adalah membuang waktu, menangguh-nangguhkan taubat, bergantung
kepada orang lain, derhaka kepada ibu bapa, dan menyebarkan rahsia orang lain.
Keenam: Pujangga berkata:
Terlalu banyak bergaul adalah kebodohan, percaya kepada siapa sahaja adalah
kebodohan dan meminta tolong kepada mereka adalah kesialan.
Ketujuh: Ahli Hikmah berkata:
Enam perkara menunjukkan kebodohan:
a. Marah tidak pada tempatnya.
Seperti marah pada seseorang, binatang atau lain-lainnya.
b. Bicara yang tidak berguna,
kerana itu seharusnya seorang yang berakal tidak berkata kecuali jika penting
dan berguna.
c. Pemberian yang tidak pada
tempatnya seperti boros harta atau memberi kepada orang yang tidak akan berguna
baginya.
d. Membuka rahsia kepada orang
lain.
e. Percaya kepada semua orang.
f. Tidak membezakan antara
kawan dengan lawan, kerana itu harus mengetahui siapa musuh dan siapa kawan.
Kawan untuk ditaati dan musuh untuk diawasi, dan musuh yang utama ialah
syaitan, yang benar-benar harus dijauhinya.
Ibn al-Jauzi berkata terdapat
tiga pendapat berkenaan dengan golongan yang dianggap bodoh:
i. Mereka adalah golongan
Yahudi. Inilah pendapat al-Bara bin `Azib, Mujahid dan Sa'id bin Jubair.
ii. Mereka adalah ahli Mekah
seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn `Abbas.
iii. Mereka adalah golongan
munafikin, telah menyebutnya oleh al-Suddi dari Ibn Masud dan Ibn Abbas.
Imam al-Nasafi berkata: Golongan
Yahudi dianggap bodoh kerana mereka benci mengadap Kaabah dan tidak melihat
masalah nasakh, golongan munafikin dianggap bodoh kerana loba mereka untuk
menghina dan mencerca Islam atau golongan Musyrikin dianggap bodoh kerana
ucapan mereka yang benci kiblat nenek moyang mereka.
Al-Sobuni menaqalkan pendapat
al-Zamakhsyari berkenaan dengan faedah mengkhabarkan sebelum berlakunya: Faedah
mengkhabarkan hal ucapan mereka yang belum berlaku sebagai meletakkan jiwa
kerana kedatangan secara mengejut perkara yang dibenci adalah lebih teruk dan
menyediakan jawapan adalah perlu untuk memutuskan hujah lawan seperti kata
pepatah, sebelum memanah disediakan anak panah.
Apa sebabnya yang menjadikan
orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini? Sayid
Qutb berkata, adalah keterangan ini merupakan permulaan bagi perisytiharan
perubahan kiblat yang akan disebut di dalam ayat selepas ini, di samping ia
merupakan sebagai keterangan untuk menghapuskan desas-desus dan
pertanyaan-pertanyaan yang diketahui Allah akan digembar-gemburkan oleh
orang-orang yang bodoh, atau sebagai jawapan terhadap desas-desus yang telah
dihamburkan mereka sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis yang telah lepas.
Al-Quran menggunakan
pengungkapan akan berkata untuk menyarankan bahawa apa yang telah diketahui
rancangannya dan memang telah disediakan jawapannya. Ia merupakan salah satu
cara yang memberi kesan yang amat mendalam.
Imam al-Baghawi berkata,
diturunkan kepada golongan Yahudi dan Musyrikin Mekah yang melemparkan tuduhan
berhubung dengan pertukaran kiblat daripada Bait al-Maqdis ke Mekah mereka
berkata kepada golongan musyrikin Mekah sesungguhnya Muhammad telah terkeliru
berkenaan dengan agamanya, justeru ia amat suka kepada tempat kelahirannya dan
kembali mengadap negeri mu dan dia akan kembali kepada agamamu, lantas Allah
menurunkan ayat ini.
Katakanlah wahai Muhammad:
Timur dan barat adalah kepunyaan Allah (maka kemana sahaja kita diperintahkan
Allah mengadapnya wajiblah kita mematuhi-Nya) Allah menerima penghadapan kita
kepadanya sama ada timur atau barat. Lima pendapat berkenaan masa solat Nabi ke
Bait al-Maqdis selepas hijrah.
i. Enam belas bulan. Inilah
pendapat al-Bara Bin Azib.
ii. Tujuh belas bulan. Inilah
pendapat Ibn Abbas
iii. Tiga belas bulan. Inilah
pendapat Muaz bin Jabal.
iv. Sembilan bulan. Inilah
pendapat Anas Bin Malik.
v. Lapan belas bulan. Inilah
pendapat Qatadah. Beliau juga berpendapat dengan enam belas bulan.
Allah yang memberikan petunjuk
hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus. Iaitu
kepada hamba-Nya yang beriman ke jalan yang benar yang membawa kebaikan kepada
dua negeri. Al-Samarqandi menaqalkan riwayat daripada Abu al-Rayyahi yang
berkata: Aku lihat masjid Nabi Allah Soleh sedangkan kiblatnya mengadap Kaabah,
begitu juga katanya adalah Musa a.s. solat daripada batu Sakhrah mengadap ke
Kaabah, sebenarnya Kaah merupakan kiblat para Nabi semuanya.
Antara pengajaran ayat ialah:
i. Sifat orang yang bodoh
adalah sama, iaitu mengulang kebodohannya walaupun sudah diberitahu.
ii. Golongan kafir terutamanya
Yahudi sentiasa mencari jalan memusuhi Islam.
iii. Hidayah yang sebenarnya
datangnya daripada Allah, justeru hendaklah kita memohon kepada-Nya untuk
mendapat hidayah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4lUevBGdL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan