Jumaat, 23 Jun 2017

Ken Nee lakar sejarah



ARKIB : 23/03/2006

MELBOURNE - Malaysia mencipta sejarah pertama memenangi pingat dalam Sukan Komanwel menerusi acara terjun apabila Yeoh Ken Nee menampilkan aksi cemerlang untuk membawa pulang pingat perak acara 1 meter papan anjal yang berlangsung di Melbourne Sports and Aquatic Centre di sini, semalam.

Ken Nee 23, bagaimanapun terpaksa akur apabila tewas kepada juara berganda dunia, Alexandre Despatie dari Kanada dan hanya dipisahkan dengan 8.55 mata selepas kiraan mata keseluruhan.

Pemenang pingat Sukan SEA di Manila Disember lalu itu melepasi peringkat kelayakan pada sebelah pagi sebelum bersaing satu dengan satu menentang Despatie dengan 10 lagi peserta lain ketinggalan jauh.

Ken Nee mengumpul 844.95 mata sementara Dispatie, juara dunia acara 1 dan 3 meter papan anjal dunia tahun lalu itu mengumpul 853.0 mata. Pemenang perak, Steven John Barnett ketinggalan 75.65 mata di belakang pemenang emas.

``Saya tidak menduga dapat merangkul pingat perak. Ini merupakan satu pencapaian terbaik bagi saya,'' kata Ken Nee yang dipanggil semula oleh Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk menyertai pasukan negara sejurus berakhir Sukan SEA di Manila khusus untuk menghadapi temasya ini.

Dia yang sebelum ini menjalani latihan di China, dipanggil untuk menyertai kem latihan pasukan terjun negara di Adelaide, Australia.

``Latihan di Australia banyak membantu meningkatkan prestasi saya. Adelaide membantu saya menyiapkan diri dari segi mental sementara di China saya hanya berlatih setiap hari,'' kata Ken Nee yang akan bersaing dalam satu lagi acara 3 meter papan anjal hari ini.

Berdasarkan rekod temasya ini, Malaysia belum pernah memenangi sebarang pingat dalam acara terjun dan kejayaan ini membuka lembaran baru dalam sukan di Maaysia.

Seorang lagi penerjun negara, Khairul Safwan Mansur yang bersaing dalam acara ini hanya menduduki tempat kesembilan daripada 12 peserta dengan mengumpul 235.40 mata.

Terdahulu, pasangan Cheoung Jun Hoong dan Leong Mun Yee hanya menduduki tempat keenam dan terakhir acara 3 meter papan anjal seirama.

Pasangan Malaysia itu mengumpul 243.90 mata ketinggalan 52.17 mata di belakang pemenang pingat emas, Cole Bree Chastine dan Stratton Sharleen Marie dari Australia.

- Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4kpWGXAup
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan