ARKIB : 31/08/2005
Oleh ROSNI HASSAN (Wartawan
Utusan)
Melaka mencatat banyak
peristiwa penting dalam sejarah kemerdekaan negara. Paling penting tarikh 20
Februari 1956 yang menyaksikan rakyat bersama-sama pejuang kemerdekaan meraikan
kejayaan negara bebas daripada kuasa penjajah Inggeris.
Pada tarikh itu di tempat yang
paling bermakna yang kini dikenali sebagai Padang Pahlawan rakyat berkumpul
menyambut kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London untuk berunding dengan
Inggeris mengenai kemerdekaan negara.
Kepulangan bekas Perdana
Menteri pertama Malaysia yang membawa bersama dokumen kemerdekaan tanah Melayu
dari London ditunggu-tunggu oleh rakyat yang tidak sabar untuk membebaskan diri
daripada cengkaman penjajah.
Lebih 100,000 orang dikatakan
berkumpul di Padang Pahlawan dan melaungkan merdeka berulang-ulang kali sebaik
sahaja Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara dan mengumumkan
tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Kebangkitan semangat rakyat
ketika itu menjadikan Padang Pahlawan dibanjiri lautan manusia yang ingin
menyaksikan peristiwa terpenting yang kini menjadi catatan penting dalam
lipatan sejarah kemerdekaan negara.
Pelbagai reaksi dapat dilihat
ketika itu, ada yang menangis dan bersorak kegembiraan sambil melaungkan
merdeka. Kini Padang Pahlawan yang terletak di Bandar Hilir, dianggap sebagai
monumen penting dalam sejarah kebangkitan bangsa yang merdeka kerana di sinilah
perisytiharan kemerdekaan negara diumumkan.
``Ribuan manusia dari seluruh
negara berhimpun di Padang Pahlawan menunggu ketibaan Tunku Abdul Rahman dengan
penuh semangat umpama kata pepatah `yang patah datang bertongkat, yang buta
datang berpimpin,'' kata budayawan negara yang juga veteran UMNO, Tan Sri Abdul
Aziz Tapa, 77, kepada Utusan Malaysia.
Suasana pada masa itu, jelas
beliau, sukar digambarkan dengan perkataan, terutama apabila Tunku mengumumkan
tarikh kemerdekaan negara.
Ada yang menitiskan air mata
kerana terlalu gembira, kerana kemerdekaan bermakna kita tidak lagi menjadi
bangsa yang dijajah.
Aziz memberitahu, kemerdekaan
negara tidak diperoleh dengan mudah walaupun ia tidak melalui pertumpahan
darah, justeru ulang tahun kemerdekaan bukan sekadar mesti disambut setiap
tahun oleh semua pihak.
Sebaliknya generasi hari ini
juga perlu dididik supaya menghayati semangat kemerdekaan agar mereka
menghargai nikmat yang diperoleh sekarang adalah hasil perjuangan dan susah
payah generasi terdahulu yang `melawan' Inggeris dengan cara mereka sendiri -
tanpa menghunus senjata.
Menurutnya, sesetengah negara
memperoleh kemerdekaan menerusi peperangan tetapi negara bernasib baik kerana
kemerdekaan diperoleh tanpa pertumpahan darah sebaliknya menerusi kebijaksanaan
pemimpin kita yang berjaya meyakinkan Inggeris.
``Ramai yang bertanya macam
mana Tunku Abdul Rahman meyakinkan Inggeris supaya memberi kemerdekaan kepada
kita, ini sesuatu yang perlu dikaji secara mendalam. Yang saya tahu Tunku
memang bijak, sebelum menemui Inggeris beliau dapatkan pandangan pelbagai pihak
dan membawa kaum-kaum lain menyertai perjumpaan yang diadakan di London itu.
``Ini kerana Almarhum mahu
pihak Inggeris melihat bahawa semua kaum di negara ini bersatu dan mahukan
kemerdekaan,'' katanya sambil mengakui kepayahan yang dialami oleh Tunku dan
rombongannya sebelum ke London adalah sesuatu yang perlu dihayati dan dihargai
oleh generasi sekarang.
Menurut Aziz, generasi sekarang
ada yang menghargai kemerdekaan tetapi masih ramai yang tidak tahu menjaga dan
memelihara nikmat yang diperoleh apabila dengan mudah terpengaruh dengan
nilai-nilai negatif.
``Dulu mana ada orang buang
anak dalam plastik, tidak amanah dan rasuah, semua ini nilai-nilai yang tidak
baik. Jika amalan seperti ini tidak ditangani negara pun boleh jual,'' katanya.
Sehubungan itu, menurutnya,
adalah penting anak-anak sekarang bermula di peringkat sekolah rendah lagi
hingga ke peringkat pengajian tinggi dididik supaya menghayati sejarah
kemerdekaan negara.
Mereka perlu mengetahui betapa
peritnya perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan kemerdekaan negara,
dalam serba kekurangan terutama dari segi kewangan.
Selain itu mereka juga perlu
merenung kembali bagaimana pemimpin terdahulu mengangkat kedudukan orang Melayu
menerusi UMNO. Yang mana perjuangan mereka adalah berlandaskan kesedaran untuk
membela nasib orang Melayu bukannya kepentingan peribadi atau mengharapkan
sesuatu habuan. ``Saya masih ingat sekitar tahun 1950-an dan 1960-an, untuk
menghadiri Perhimpunan Agung UMNO, kami sewa bilik hotel di ibu negara, RM4
satu malam, kami kongsi lapan orang iaitu seorang 50 sen, tak termasuk belanja
makan dan minum. Berbeza dengan sekarang semuanya disediakan, hotel bagus dan
mewah.
``Tak apalah sebab sekarang
kita sudah maju, tetapi pada masa yang sama jangan lupa perjuangan pemimpin
terdahulu.
Kita perlu mengisi kemerdekaan
yang diperoleh dengan perkara yang berfaedah dan boleh dibanggakan, jangan jadi
orang yang menyusahkan negara,'' katanya yang pernah menjadi Bendahari UMNO
Melaka selama 18 tahun.
Pengalaman beliau itu turut
dipersetujui oleh seorang lagi veteran UMNO, Datuk Wira Borhan Md. Yaman, 76,
yang melahirkan rasa syukur berikutan kejayaan negara mengisi kemerdekaan
dengan membina kemajuan untuk faedah rakyat.
Begitupun yang menjadi
kebimbangan beliau ialah jika generasi sekarang alpa dengan nikmat kemerdekaan
yang diperoleh kerana mudah terpengaruh dengan budaya luar.
``Kewajipan generasi sekarang
ialah memelihara kemerdekaan dengan membina kemajuan dan mewujudkan lebih ramai
Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang,'' katanya yang mula menyertai UMNO
dalam tahun 1951, ketika berusia 22 tahun sebelum diberi kepercayaan memegang
jawatan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO negeri pada tahun 1954.
Mengimbas semula detik tarikh
kemerdekaan diisytiharkan, beliau berkata, laungan kemerdekaan di Padang
Pahlawan dan kesediaan rakyat melucutkan barang kemas di badan serta
menyerahkan wang ringgit mereka bagi menampung perbelanjaan Tunku Abdul Rahman
ke London dalam misi mendapatkan kemerdekaan negara masih segar dalam
ingatannya.
Kata, peristiwa kaum ibu
melucutkan barang kemas yang mereka pakai dan ramai lagi yang meletakkan wang
di atas hamparan bendera UMNO di Dewan Meng Seng di bandar Melaka pada tahun
1954 begitu menyayatkan hati beliau.
Semua itu jelas beliau,
dilakukan dengan rela hati kerana rakyat mahukan kemerdekaan dan memberi
sepenuh kepercayaan kepada Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan mesej tersebut
kepada Inggeris di London.
Usaha mengumpulkan dana bagi membantu
misi kemerdekaan menurutnya, dilakukan melalui `Derma Merdeka' yang dilakukan
di seluruh pelosok negeri yang mana beliau bersama rakan-rakan menjalankan
kutipan derma dan menjual barang-barang apabila berlangsungnya majlis keramaian
termasuk pertunjukan bangsawan.
Derma Merdeka jelas beliau,
mendapat sokongan rakyat apabila orang kampung dan yang miskin sanggup menderma
dengan memberi padi, buah-buahan, pakaian malah penoreh getah yang memberi
sekeping daripada empat keping getah mereka pada setiap hari untuk dijual bagi
mengisi tabung itu.
``Semangat mahukan kemerdekaan
pada masa itu begitu terasa sekali bagaimanapun perjalanannya amat sukar kerana
mereka hidup dalam serba kekurangan selain menerima tekanan daripada
penjajah,'' ujarnya.
Beliau berkata, sebagai
generasi selepas merdeka, orang Melayu mesti menjadi bangsa yang berprinsip dan
jangan sesekali membenarkan jiwa serta minda mereka dijajah walau dalam apa
bentuk sekalipun. Kerana kemerdekaan yang diperoleh tidak memberi apa-apa makna
jika orang Melayu membenarkan pihak luar mempengaruhi pemikiran mereka.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4ivj5xqa1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan