Ahad, 11 Jun 2017

Saintis AL-Razi aktif menulis



ARKIB : 10/02/2006

ABU Bakr Muhammad Ibnu Zakariyya ar-Razi atau terkenal sebagai Al-Razi merupakan penulis Muslim pertama yang mengarang buku tentang masalah perubatan. Karyanya yang terkenal adalah Comprehensive Book yang meliputi semua pengetahuan perubatan Asia Barat, India dan Yunani.

Al-Razi adalah saintis pertama yang mengklasifikasikan pelbagai zat kimia ke dalam tiga bahagian iaitu mineral, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Menurut konsep Al-Razi bahan logam terbahagi kepada jiwa, tubuh, batu, vitriol, borax dan garam. Unsur-unsur yang mudah meruap termasuk dalam golongan tubuh manakala yang susah meruap diklasifikasikan sebagai jiwa atau spirit yang meliputi sulfur, merkuri, arsenik dan salmiac (baru bara, ragi dan zat lemak).

Beliau banyak melakukan eksperimen proses kimia seperti penyulingan, penghabluran, penurasan dan pemejalwapan serta analisis kimia yang melibatkan penimbangan.

Al-Razi turut menulis banyak buku tentang bahan, ruang, nutrien, waktu, gerak, optik, iklim dan alkemi. Sebagai ahli kimia, karyanya bertajuk Al-Kimya merupakan buku yang terpenting dalam ilmu kimia.

Sepanjang hayatnya, Al-Razi mengarang 200 buah buku. Antara yang paling terkenal ialah Al-Hawi yang mengandungi 20 jilid. Buku itu menjadi asas dalam bidang perubatan.

Raja Charles I dari Anyou, pejuang perang Salib, dan Raja Naple telah memerintahkan agar Al-Hawi diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Ia dilakukan oleh seorang doktor dari Sicily, Faray Ibnu Salim dengan bantuan Gir Farragut. Buku tersebut kemudian diberi judul Continens. Masyarakat Eropah mengenali al-Razi sebagai doktor muslim teragung melalui Continens.

Ketokohannya sebagai ahli perubatan terbukti dengan penemuan air raksa (Hg) yang digunakan dalam dunia perubatan. Di Eropah, air raksa atau merkuri dikenali semasa pemerintahan Czar Rusia, Alexei Mikhailovitsy pada tahun 1645-1676.

Di samping itu, beliau juga merupakan orang pertama yang melakukan diagnosis mengenai penyakit cacar yang terbahagi kepada cacar air dan cacar merah serta menulis sebuah buku mengenai penyakit kanak-kanak dengan menggunakan injeksi urethal (saluran kencing dan sperma).

Al-Razi ialah orang pertama pertama melakukan perubatan khas menggunakan pemanasan saraf. Beliau merupakan ahli perubatan pertama yang mendiagnosis tekanan darah tinggi dan menggunakan kaedah perubatan akupuntur sebagai rangsangan saraf.

Bukunya, Aj-Judari wa al-Hasbah, telah diterjemahkan oleh J. Ruska dengan tajuk Ar-Razi’s Buch: Geheimnis der Geheimnisse. Selain edisi bahasa Inggeris sejak 1498, ia telah diulang cetak sebanyak empat kali dan menjadi rujukan para doktor di Eropah mengenai penyakit cacar dan campak.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_08.htm#ixzz4jl19uX86
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan