ARKIB : 13/11/2005
Allahyarham Sulaiman Rejab.
KUALA TERENGGANU - Bekas pemain
bola sepak kebangsaan era 60-an dan 70-an, Sulaiman Rejab, 56, meninggal dunia
pagi ini selepas diserang angin ahmar yang dihidapi sejak enam bulan lalu.
Allahyarham menghembuskan nafas
terakhir kira-kira pukul 11.15 pagi semalam di sisi isterinya, Zakiah Ali dan
enam orang anak berusia 11 hingga 31 tahun.
Kematian Sulaiman akibat
komplikasi jantung itu disahkan oleh seorang pembantu perubatan Hospital Kuala
Terengganu yang membuat pemeriksaan ke atas Allahyarham di rumahnya di Jalan
Kenangan, Batu Buruk dekat sini.
Sementara itu, Zakiah ketika
dihubungi di sini berkata, dia redha dengan pemergian Allahyarham yang banyak
meninggalkan jasa kepada keluarga dan negara.
Sepanjang karier, Sulaiman
pernah menjadi penolong jurulatih Semi Pro Terengganu pada tahun 1992.
Allahyarham yang berasal dari
Wakaf Mek Zainab, Kelantan itu pernah mewakili Majlis Sukan-Sukan Malaysia
Kelantan.
Kecemerlangan dalam bidang
sukan bola sepak telah melayakkan Allahyarham mewakili Kelantan untuk Piala
Berney seterusnya Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Piala Emas
Raja-Raja dan Piala Malaysia.
Allahyarham yang mula mewakili
Terengganu pada tahun 1968 hingga 1979, pernah mewakili negara antaranya Piala
Raja Thai dalam Sukan SEAP pada ketika itu (kini dikenali Sukan SEA), Piala
Jakartaraya dan Piala Kemerdekaan Vietnam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jEtfTIQl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan