9 Jun 2017
Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin
Raja Omar
ARENA bola sepak negara
kehilangan seorang tokoh yang disegani dengan pemergian bekas naib presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.
Nama Raja Ahmad Zainuddin
sememangnya sudah sinonim dengan arena bola sepak tempatan kerana kritikan
lantang dan pendapat bernas yang dilontarkan turut membantu membuka mata
segenap pihak yang mahu melihat skuad negara kembali gah di persada
antarabangsa.
Biarpun lebih sedekad tidak
memegang jawatan dalam barisan kepimpinan FAM, namun minatnya terhadap
perkembangan bola sepak negara tidak pernah luntur daripada jiwanya.
Malah, bulan lepas, Allahyarham
semasa ditemu bual Bernama, menyatakan pandangan bahawa FAM perlu menghantar
pemain muda bermain dalam liga luar negara bagi meningkatkan kualiti permainan
mereka.
Menurutnya, pendekatan itu
harus dilaksanakan segera kerana kualti pasukan negara terlalu jauh berbanding
dengan negara seperti Jepun dan Korea Selatan.
Itulah keberanian Allahyarham
yang tidak pernah kedekut dengan ilmu dan pandangan ikhlas bagi memajukan sukan
bola sepak negara walapun pernah digantung oleh FAM selama tiga tahun pada 1991
kerana mengkritik badan induk sukan itu.
Personaliti bola sepak negara
itu meninggal dunia pada kira-kira jam 8.30 pagi ini di Hospital KPJ Ipoh,
Perak. Allahyarham, berusia 61 tahun itu dimasukkan ke hospital itu semalam
akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan tekanan darah rendah.
Allahyarham meninggalkan
isteri, Datin Seri Sabaniah Ahmad Sabri, 56, serta anak lelaki Raja Ahmad
Zhafir, 28, dan dua anak perempuan, Raja Nur Dzafirah, 23, dan Raja Nur
Dzhoriifah, 20.
Berita pemergiannya bukan
sahaja mengejutkan warga bola sepak tanah air malah rakyat negeri Perak apabila
Allahyarham banyak menabur budi dan jasa kepada rakyat semasa menjadi Ahli
Parlimen Larut selama dua penggal (1991-2008) serta Anggota Dewan Undangan
Negeri (ADUN), Batu Kurau dan Kubu Gajah.
Semasa menjadi pengurus skuad
pasukan Perak, slogan 'kejor yeop kejor' menjadi sebutan ramai dan Allahyarham
beberapa kali menggalas cabaran sebagai pengurus pasukan skuad negara pada era
1990-an.
Timbalan Presiden FAM, Datuk
Yusoff Mahadi ketika dihubungi Bernama berkata Allahyarham adalah seorang
individu yang telah banyak mencurahkan bakti dalam menaikkan imej bola sepak
negara.
"Peranan arwah memang
besar apabila menjenamakan bola sepak negeri dengan membawa Perak muncul juara
Piala Malaysia pada 1998, selepas 28 tahun.
Ini merupakan pencapaian yang
dianggap sebagai kenangan cukup bermakna yang tidak mungkin dilupakan, sekali
gus mengangkat beliau sebagai pengurus skuad 'The Boss Gaurus' paling berjaya,
katanya.
"Pemergian Allahyarham adalah
satu berita yang sedih dan pastinya akan memberikan kesan kepada seluruh warga
bola sepak tempatan dan Perak khususnya. Allahyarham telah mengharumkan nama
Perak dalam persada arena bola sepak negara menerusi pelbagai kejuaraan yang
dimenangi sekitar 90-an.
"Saya mengucapkan takziah
kepada keluarga Allayarham dan berdoa semoga Allah SWT merahmati roh
Allayarham," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung
FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kecintaan Raja Ahmad Zainuddin terhadap
bola sepak amat mendalam kerana beliau tidak pernah berhenti bercakap mengenai
bola sepak walau di mana berada meskipun tidak lagi terlibat secara langsung
dalam mana-mana badan bola sepak tempatan.
"Saya pernah bersama-sama
dengan Datuk Raja ketika beliau menjadi naib presiden FAM dan saya berada dalam
barisan exco. DI mana-mana sahaja beliau akan bercakap mengenai macam mana
hendak memajukan bola sepak.
"Apa yang saya boleh
gambarkan tentang Datuk Raja, beliau sangat minat terhadap bola sepak dari dulu
sampai sekarang dan rasanya sampai bila-bila. Saya baru berhubung dengan beliau
minggu lepas,di mana beliau menyuarakan pandangan demi pembangunan skuad
kebangsaan," katanya.
Selepas gagal dalam perebutan
jawatan naib presiden pada Kongres FAM pada 2010, presiden ketika itu Sultan
Ahmad Shah melantiknya mengetuai Jawatankuasa Kewangan dan Jawatankuasa
Pertandingan FAM bagi penggal 2010-2014.
Selain bidang politik dan
sukan, Allahyarham pernah menceburi
bidang kewartawanan apabila menjadi penulis di akhbar Berita Harian sejak 2002
dan kolumnis 'Oriental', ketua editor Berita Perak (1988-1999), penasihat Jabatan Pengarang Mingguan Watan
serta wartawan sambilan dengan Bernama.
Jelasnya, jasa yang ditaburkan
oleh Allahyarham dalam dunia bola sepak negara kekal sehingga ke akhir
hayatnya. – Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 9
JUN 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan