Ahad, 11 Jun 2017

Allahyarham Tun Hussein miliki sifat kemanusiaan tinggi



 
ARKIB : 11/02/2006
HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN memberi penerangan kepada Abdullah Ahmad Badawi sambil diperhatikan oleh Najib Tun Razak mengenai bintang kebesaran yang diperoleh Allahyarham bapanya selepas majlis perasmian Memorial Tun Hussein di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Perdana Menteri ketiga negara, Allahyarham Tun Hussein Onn merupakan seorang yang merendah diri, ikhlas dan mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri memberitahu, Allahyarham juga tidak membezakan sesiapa sahaja yang datang berjumpa dengannya sama ada di rumah atau pun di pejabat.

``Allahyarham juga merupakan seorang yang begitu menghargai pandangan orang lain dan beliau sedia menunggu pandangan daripada seramai orang yang mungkin sebelum membuat keputusan terakhir dan muktamad tentang sesuatu perkara,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Memorial Tun Hussein Onn, di Jalan Dato Onn, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli keluarga Allahyarham yang diketuai oleh anaknya, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Memorial itu mempunyai hampir 16,000 bahan koleksi berkaitan dengan Allahyarham Tun Hussein, bertempat di blok A, bekas kompleks pejabat Perdana Menteri yang digunakan empat Perdana Menteri Malaysia sebelum pusat pentadbiran Kerajaan Pusat berpindah ke Putrajaya pada 1999.

Abdullah berharap rakyat akan dapat mengenali ketokohan serta kewibawaan Perdana Menteri ketiga itu terutama dalam agenda mengukuhkan perpaduan kaum sehingga mendapat gelaran `Bapa Perpaduan'.

Perdana Menteri menegaskan, nikmat perpaduan kaum dan keamanan yang dicapai oleh negara sekarang banyak disumbangkan oleh Allahyarham Tun Hussein yang mempunyai sifat kemanusiaan yang tinggi.

``Allahyarham Tun Hussein juga mempunyai sikap kesabaran yang tinggi dan apabila seseorang itu bercakap, Allahyarham akan mendengar tanpa jemu sehingga selesai dan setelah itu barulah beliau memberi pandangannya.

``Allahyarham merupakan seorang yang teliti sebelum membuat sebarang keputusan kerana beliau mahu keputusan yang dibuat mestilah yang terbaik dengan mengambil kira pandangan setiap orang,'' katanya.

Perdana Menteri memberitahu, sifat-sifat terpuji inilah yang membuatkan beliau kagum dengan Allahyarham.

Terdahulu, Hishammuddin yang mewakili keluarga Allahyarham berterima kasih kepada kerajaan serta Arkib Negara atas usaha yang bersungguh-sungguh membuka memorial itu sejak cadangan awal untuk menubuhkannya di Bukit Senyum Johor Bahru.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4jl8o5R4G
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan