ARKIB : 12/07/2006
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD
ALBAKRI
Al-Quran menggambarkan
pemandangan bagaimana Ibrahim dan Ismail melaksanakan perintah Allah supaya
menyediakan Baitullah dan membersihkannya untuk (para pengunjung) bertawaf dan
untuk penduduk-penduduk yang menetap di situ untuk orang-orang yang mendirikan
ibadat solat.
Dan (ingatlah) ketika Nabi
Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah
(Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami!
Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha
Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah
kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah
daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan
tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah
taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani. (Al-Baqarah: 127 & 128)
Firman Allah Taala: Dan
(ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan
asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, ingatlah Hai Muhammad berkenaan
perkara yang begitu pelik di mana dua Rasul, Ibrahim dan anaknya Ismail telah
membina asas Baitullah dan mengangkat binaannya, kemudian berdoa dengan penuh
rendah diri dan membesarkan Tuhannya. Sewaktu kita menunggu-nunggu cerita
selanjutnya tiba-tiba ia memperlihatkan Ibrahim dan Ismail kepada kita
seolah-olah kita dapat melihat mereka dengan mata kita bukannya dengan mata
khayal.
Kedua-duanya berada di hadapan
kita dan telinga kita hampir-hampir mendengar suara mereka sedang berdoa kepada
Allah. Al-Samarqandi menaqalkan pendapat Muqatil: ayat ini susunannya ke
kadapan dan ke belakang, maknanya ialah dan ingatlah ketika Ibrahim dan Ismail
mengangkat asas-asas binaan daripada Kaabah. Dan dikatakan bahawa Ibrahim yang
membina Kaabah sedangkan Ismail yang menolongnya. Para malaikat memberi
batu-batu kepada Ismail, mereka memindahkan batu dari lima bukit iaitu Thur
Sina, Thur Zita', Judi, Lubnan dan Hira'.
Al-Alusi berkata, disebut oleh
ahli sejarah berkenaan dengan Baitullah dan juga perkara yang lain seperti
pintunya daripada apa, berapa kali Adam mengerjakan haji, apakah binaan yang
dibina oleh Ibrahim, siapa yang membantunya dan dari mana datangnya hajar
al-aswad? Hal-hal seperti ini tidaklah disebut dalam al-Quran begitu juga dalam
hadis yang sahih dan sebahagiannya menafikan sebahagian yang lain, ini kerana
menjadi adapun ahli sejarah dalam menaqalkan memasukkan beberapa perkara.
Selepas beliau menyebut sedikit naqalan daripada ahli sejarah lantas berkata,
khabar seumpama ini jika benar di sini ahlillah (wali Allah) merupakan isyarat
dan perlambangan bagi siapa yang diberikan pendengaran sedangkan ia
menyaksikannya.
Sambil keduanya berdoa dengan
berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami). Apakah yang
terkandung di celah-celah doa itu? Itulah adab sopan seorang nabi, keimanan
seorang nabi dan perasaan seorang nabi, terhadap nilai akidah di alam wujud ini.
Itulah adab sopan, keimanan dan perasaan yang mahu diajar oleh al-Quran kepada
pewaris-pewaris para anbiya dan mahu ditanamkannya ke dalam hati dan perasaan
mereka dengan saranan ini.
Sesungguhnya Engkaulah yang
Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Matlamat yang diharap-harapkan ialah
keredaan dan limpah perkenan daripada Allah. Harapan mendapat perkenan Ilahi
itu adalah bergantung kepada sifat Allah yang Maha mendengar doa (para
hamba-Nya) dan Maha mengetahui dengan segala niat dan perasaan di sebalik doa
itu. Di mana kedua-duanya membina dan berdoa dengan doa ini. Kemudian menambah
doanya.
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah
kami berdua: Itulah harapan mereka berdua untuk mendapat bantuan daripada Allah
agar memberi hidayah kepada Islam dan itulah perasaan mereka yang menyedari
bahawa hati mereka terletak di antara jari-jari, kudrat dan iradat Allah yang
Maha Penyayang dan bahawa hidayah yang sebenar ialah Allah dan bahawa kedua
mereka tidak mempunyai daya upaya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.
Mereka berdua bertawajjuh dan berdoa kepada Allah. Hanya kepada Allah yang
wajar dipohon pertolongan.
Di samping itu, sifat umat
muslim ialah bersatu padu yakni seluruh generasi mereka bersatu padu dalam satu
akidah. Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. Jadikanlah kami
tunduk dan patuh dengan segala hukum-Mu. Itulah doa yang menggambarkan
perhatian-perhatian berat hati orang yang beriman. Persoalan agama dan akidah
inilah yang menjadi perhatiannya yang utama.
Keturunan
Dan jadikanlah daripada
keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan jadikanlah
daripada zuriat kami yang berserah diri kepadamu dan tunduk dengan kebesaran-Mu
dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami. Ajarkanlah kami
segala syariat ibadat kami serta ibadat haji kami. Inilah pendapat Qatadah dan
Al-Suddi. Sedangkan Mujahid dan Atha' pula berpendapat sebagai tempat
sembelihan kami. Al-Mawardi berkata: maksud perkataan al-manasik dua wajah:
1. Kerana ia menjadi adat dan
sentiasa manusia mengunjunginya dalam ibadat haji dan umrah.
2. Bahawa nusuk ibadat kepada
Allah justeru dinamakan orang yang zuhud sebagai orang yang bernusuk kerana
ibadat kepada tuhannya.
Dan terimalah taubat kami;
sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. Terimalah
taubat kami dan rahmatlah kami kerana sesungguhnya Kamu Maha Besar keampunan
dan luas kerahmatan. Di sini suka dinaqalkan pendapat Ibn Qayyim berkenaan
dengan wajib segera bertaubat, beliau pernah berkata: bersegera bertaubat dari
dosa adalah kefarduan yang mesti disegerakan. Tidak harus melambatkannya.
Jika ia dilambatkan maka ia
dikira berdosa kerana menangguhkannya. Jika ia bertaubat dari dosa tersebut dia
masih mempunyai satu taubat lagi iaitu taubat kerana melambatkan taubatnya.
Jarang sekali perkara ini difikirkan oleh orang yang bertaubat. Sebaliknya jika
seseorang itu bertaubat dari dosa dia menyangka dia sudah tidak perlu lagi
bertaubat sedangkan dia masih berhutang satu lagi taubat iaitu bertaubat kerana
melambatkan taubat. Dr. Yusof Al-Qaradhawi berkata: perkara yang paling
merbahaya bagi orang yang melakukan maksiat ialah menangguh taubatnya dengan
berkata nanti aku akan kembali, nanti aku akan bertaubat, akhirnya dia
tidak juga bertaubat. Oleh sebab itu dikatakan ungkapan nanti adalah salah
satu tentera syaitan.
Apabila Ibrahim dan Ismail
selesai melaksanakan perintah Allah membina Baitullah dan membersihkannya,
kedua-duanya berdoa agar Allah jadikan mereka dan zuriat keturunan mereka umat
Islam (yang menyerah diri kepada Allah), dan agar Allah bangkitkan dari
kalangan keluarga mereka seorang rasul. Lalu Allah memperkenankan doa mereka
dan mengutuskan dari kalangan keluarga mereka seorang rasul, Muhammad bin
Abdullah s.a.w. dan bangga dengan jasa usahanya beliau telah merealisasikan
kemunculan umat muslimin yang menjunjung perintah Allah dan mewarisi agama
Allah.
Iktibar dan pengajaran ayat.
Antaranya;
i. Perasaan Ibrahim dan Ismail
terhadap nikmat keimanan yang dikurniakan Allah kepada mereka telah mendorong
mereka mengharapkan pengurniaan yang sama kepada zuriat keturunan mereka dan
berdoa supaya Allah tidak menafikan pengurniaan yang tiada tolok bandingnya itu
kepada anak-anak cucu mereka.
ii. Allah Maha Pemurah. Justeru
janji-Nya bahawa Ia akan memakbulkan doa, thabit dalam al-Quran dan hadis
tetapi perlu mengikut dan mematuhi adab-adab doa sama ada adab zahir mahupun
batin.
iii. Memohon supaya sentiasa
dikekalkan dalam hidayah dan taufik serta istiqamah dengan Islam merupakan
permintaan para Nabi yang terdahulu. Justeru sewajarnya kita memohon dan
meminta kepada Allah supaya ditetapkan hati-hati kita dalam ketaatan dan
agama-Nya yang sebenar sehingga ke hujung usia.
iv. Al-Samarqandi berkata: Ayat
di atas menjadi dalil bahawa manusia apabila melakukan kebaikan sayugia berdoa
terhadap Allah supaya diterima. Dan dikatakan, hendaklah manusia merasa takut
atas penerimaan amal selepas selesainya lebih daripada amalan itu sendiri, ini
kerana Allah mensyaratkan penerimaan doa semata-mata dari orang-orang yang
bertakwa sahaja seperti dalam nas al-Quran.
- DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ialah pensyarah di Kolej Uniti, Seremban, Negeri Sembilan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4lHtGmVrl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan